Ismail Sabri tidak patut mencontohi langkah pembubaran Parlimen 1999 yang buruk dan salah di mana Parlimen dibubarkan selepas Belanjawan 2000 dibentang tetapi ia diluluskan Dewan
Salah satu topik perbualan yang sering timbul adalah mengenai bila Pilihan Raya Umum ke-15 akan diadakan.
Terdapat satu teori yang mengatakan yang Parlimen akan dibubarkan dalam masa sebulan selepas Belanjawan 2023 dibentangkan kepada Parlimen pada 7 Oktober 2022 tetapi sebelum Belanjawan ini diluluskan.
Tidak ada apa-apa perkara yang boleh menyekat Perdana Menteri, Ismail Sabri, dari menasihati Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong dari membubarkan Parlimen untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 selepas pembentangan Belanjawan 2023 pada 7 Oktober, namun perkara ini tidak patut dibuat dan akan menjadi contoh buruk seorang Perdana Menteri menyalahgunakan kuasanya.
Perkara ini pernah berlaku sekali sebelum ini, selepas Belanjawan 2000 dibentangkan di Dewan Rakyat pada hari Jumaat 29 Oktober 1999, Parlimen dibubarkan semasa perbahasan Belanjawan ini sedang berlangsung pada 10 November 1999, dan Belanjawan ini tidak dapat diluluskan oleh sidang tersebut.
Saya masih ingat hari tersebut, hari Selasa dan hari keenam perbahasan Belanjawan 2000, di mana Ahli-ahli Parlimen tidak berminat untuk membahaskan Belanjawan tersebut kerana ura-ura sudah berlegar bahawa Parlimen akan dibubarkan pada hari tersebut.
Saya masih ingat saya bertanya kepada Timbalan Speaker yang mempengerusikan Majlis sebelum Majlis berehat untuk makan tengahari pada 10 November 1999 sama ada Parlimen akan dibubarkan pada hari tersebut, dan Timbalan Speaker ketika itu yang kini menjadi Yang di Pertua Negeri Sabah mengatakan yang dia tidak tahu.
Apabila Dewan Rakyat bersidang semula selepas waktu makan tengahari pada jam 2:30 petang, Speaker mengumumkan bahawa dia telah dimaklumkan yang Parlimen telah dibubarkan oleh Yang di Pertuan Agong, dan perbahasan Belanjawan 2000 berakhir untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-10.
Perkara ini adalah satu contoh perkara buruk di mana Belanjawan dibentangkan kepada Parlimen tetapi Parlimen tidak diberikan ruang untuk membahas dan meluluskan Belanjawan ini, sebaliknya dibubarkan untuk mengadakan pilihan raya umum. Ismail Sabri tidak patut mencontohi perbuatan buruk seperti ini.
Perkara ini merupakan satu bentuk salah guna kuasa Perdana Menteri dan sekiranya Ismail Sabri menasihat Yang di Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen selepas 7 Oktober, Yang di Pertuan Agong patut menasihati Perdana Menteri untuk membiarkan Parlimen membahas dan meluluskan Belanjawan 2023 terlebih dahulu, melainkan satu usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri disokong oleh Dewan Rakyat.