Lima sebab Zahid Hamidi perlu letak jawatan Presiden UMNO
Terdapat lima sebab mengapa Zahid Hamidi perlu meletakkan jawatannya sebagai Presiden UMNO.
Pertama, semua parti politik dalam Pilihan Raya Umum ke-15 perlu mengecam skandal kewangan 1MDB yang melibatkan RM50 billion dan menjadikan usaha untuk menyelamatkan Malaysia dari menjadi sebuah kleptokrasi satu agenda utama janji pilihan raya mereka.
Adakah Zahid bersedia untuk berbuat demikian?
Bekas Ketua Hakim, Abdul Hamid Mohamad, mengatakan yang sistem perundangan dan kehakiman negara akan menjadi bahan ketawa dunia sekiranya bekas perdana menteri Najib Razak diberikan pengampunan.
Adakah Zahid bersetuju dengan perkara ini?
Abdul Hamid mengatakan, sekiranya Lembaga Pengampunan bersetuju untuk membebaskan Najib, perkara ini akan membazirkan kerja keras bertahun lamanya oleh SPRM dan pegawai kehakiman dalam membina kes terhadapnya.
Abdul Hamid mengatakan: “SPRM meluangkan bertahun-tahun menyiasat, pendakwa raya meluangkan masa berbulan meneliti kertas siasatan, hakim meluangkan masa bertahun membicarakan orang tertuduh, mengkaji dan menulis beratus muka surat penghakiman, dan memanggil ramai saksi.
“Kemudian, tidak sampai dua bulan selepas Najib disabitkan bersalah dan dihukum penjara dan didenda berjuta ringgit, ahli Lembaga Pengampunan, dengan satu pen mereka, mengampunkan semua pertuduhan ini.”
Adakah Zahid bersetuju dengan Abdul Hamid?
Kedua, kegagalan Presiden UMNO untuk menjadi saksi untuk memberikan keterangan dalam perbicaraan Najib Razak bahawa dia telah berjumpa dengan penderma dari Arab yang mendermakan RM2.6 billion kepada Najib. Dia mengatakan perkara ini secara terbuka pada bulan Ogos 2015. Kegagalannya untuk memberikan keterangan ini dalam perbicaraan Najib menunjukkan bahawa dia tidak menceritakan kebenaran pada bulan Ogos 2015.
Ketiga, kegagalannya untuk membersihkan namanya dari tanggungjawab besar dalam skandal kapal tempur pesisir (LCS) yang melibatkan RM9 billion dan cubaannya untuk menyalahkan Hishammuddin Hussein, penggantinya sebagai Menteri Pertahanan untuk skandal LCS ini.
Zahid telah menafikan yang dia bertanggungjawab ke atas skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini dan mengatakan bahawa tidak masuk akal untuk menyalahkannya atas kegagalan perolehan kapal tempur pesisir (LCS) ini kerana dia bukanlah menteri pertahanan ketika projek ini dianugerahkan.
Walaupun Zahid memegang jawatan menteri pertahanan dari April 2009 sehingga Mei 2013 dan kemudiannya diganti oleh Hishammuddin, dan kontrak LCS ini ditangguh dan hanya dimeterai pada 17 Julai 2014, dua laporan yang dinyah-rahsia mengenai skandal LCS ini menunjukkan Zahid perlu menanggung tanggungjawab yang lebih besar terhadap skandal ini berbanding dengan Hishammuddin.
Surat Niat (LOI) untuk bekalan enam LCS yang berjumlah RM9 billion dikeluarkan pada 15 Oktober 2010 dan Surat Anugerah (LOA) pula dikeluarkan pada 16 Disember 2011, namun kontrak ini dilengahkan selama dua tahun setengah dan hanya dimeterai pada 17 Julai 2014.
Namun, di antara masa pengeluaran LOA dan pemeteraian kontrak, terdapat 21 LOA yang bernilai kira-kira RM5 billion dikeluarkan untuk memperoleh perkakasan dan sistem, yang dikeluarkan semasa Zahid menjadi Menteri Pertahanan. Memandangkan LOA yang dikeluarkan semasa Hishammuddin Hussein menjadi Menteri Pertahanan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 tidak melebihi nilai RM700 juta, Zahid perlu menanggung tanggungjawab yang lebih besar dalam skandal ini berbanding dengan Hishammuddin.
Keempat, kegagalan Zahid untuk menjelaskan mengapa dia mengubah keputusannya pada tahun 2011 seperti yang dicadangkan oleh pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk memperoleh enam LCS Sigma buatan Belanda kepada LCS Gowind buatan Perancis dari syarikat pengeluar Scorpene tanpa merujuk dahulu dengan pihak pengguna akhir, TLDM.
Kelima, kegagalan Zahid untuk menyatakan dengan jelas dan khusus, sama ada Najib Razak, sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, tidak bertanggungjawab atas skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini, terutamanya apabila memandangkan yang perolehan LCS ini bermula seawal ketika Najib masih menjadi Menteri Pertahanan dalam Kabinet Abdullah Badawi.