Janji kosong “tiada lagi kelewatan dalam projek LCS” tidak memadai – apakah tarikh penghantaran untuk keenam-enam LCS ini, adakah semasa Rancangan Malaysia ke-13 pada tahun 2026-2030 sedangkan Surat Niat (LoI) projek ini dikeluarkan seawal Rancangan Malaysia ke-9?

Janji kosong “tiada lagi kelewatan dalam projek LCS” tidak memadai.

Kapal tempur pesisir (LCS) pertama dari enam buah kapal ini dijadualkan siap pada bulan April 2019, dan setakat hari ini, kita sepatutnya sudah mempunyai lima buah LCS (dengan yang keenam dihantar menjelang bulan Jun tahun hadapan, tetapi pembinaannya langsung belum bermula) untuk melindungi keselamatan dan kedaulatan Malaysia.

Kini kita dibiarkan terdedah apabila pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak diberikan enam LCS ini sejak tahun 2019.

Walaupun ketua pegawai eksekutif Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS), Azhar Jumaat, mengatakan yang “tidak akan ada lagi kelewatan dalam projek LCS”, apakah tarikh-tarikh penghantaran untuk keenam-enam LCS ini – adakah enam LCS ini akan disiapkan dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-13 (2026-2030) sedangkan dua LCS terawal dijadualkan untuk dihantar kepada TLDM dalam tempoh RMK-11?

Projek LCS yang bernilai RM9 billion ini merupakan salah satu kegagalan terbesar dalam sejarah perolehan ketenteraan negara, memandangkan Surat Niat untuk projek ini telah dikeluarkan seawal tempoh Rancangan Malaysia ke-9 pada 15 Oktober 2010.

BNS telah menamatkan subkontrak kepada Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD) dan Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED), kedua-duanya merupakan orang tengah untuk membeli peralatan dari pihak pengeluar asal (OEM) untuk membina kapal ini, namun, adakah pihak pengeluar asal produk ini bersetuju untuk membekalkan perkakasan yang dijanjikan seperti dalam kontrak yang ditandatangani oleh mereka dengan CAD atau CED?

Azhar tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang tidak bermakna, seperti mengatakan yang BNS tidak menjangkakan kontrak CAD dan CED akan melewatkan projek ini, sedangkan projek ini sudah terlewat untuk terlalu lama.

Saya menyeru supaya Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Agensi di Jabatan Perdana Menteri untuk bersidang segera dan memanggil Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Azam Baki, untuk memberikan penjelasan mengapa SPRM gagal untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa pun mengenai skandal LCS ini walaupun badan tersebut telah menerima dua laporan – laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan, dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) LCS dan laporan audit forensik (2011-2014) yang dijalankan oleh Alliance IFA (M) Sdn Bhd bagi pihak Boustead Heavy Industries Corp Bhd (BHIC) – yang mengandungi pelbagai perkara yang boleh membawa kepada pertuduhan rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah, salah laku, dan penipuan.

Azam ada lebih dari dua tahun untuk mengambil tindakan atas kedua-dua laporan mengenai skandal LCS ini, yang telah diberikan kepadanya untuk tindakan lanjut, tetapi, sehingga hari ini, tidak ada satu tindakan pun dari SPRM mengenai perkara ini selepas dua tahun.

JPK Agensi di Jabatan Perdana Menteri perlu memanggil Azam untuk memberikan penjelasan mengenai perkara ini dan membentangkan laporan kepada Parlimen apabila Dewan bersidang semula pada 3 Oktober 2022.

Perkara ini menjadi lebih mustahak apabila ketiga-tiga pertuduhan terhadap bekas pengerusi BNS, Ahmad Mohd Nor, pada bulan lepas berkait dengan perkara yang berlaku sebelum skandal LCS dan tidak berkaitan dengan skandal ini, sebaliknya, mengenai perolehan ketenteraan yang berbeza.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri