Adakah UMNO telah berubah dari parti pejuang kemerdekaan kepada sebuah parti kleptokrat?
Adakah UMNO telah berubah dari parti pejuang kemerdekaan kepada sebuah parti kleptokrat?
Seorang pemerhati UMNO telah mengatakan: “Pada tahun-tahun awal UMNO, sukar untuk mencari jutawan dalam kalangan ketua bahagian UMNO. Selepas lebih dari enam dekad Merdeka, sukar untuk mencari ketua bahagian UMNO yang bukan seorang jutawan.”
Presiden UMNO kelima percaya yang UMNO tidak boleh lagi diselamatkan. Dia mengatakan, UMNO korup sepenuhnya dan sabitan bersalah dan hukuman untuk Najib Razak kerana menyeleweng dana dalam skandal mega 1MDB ini tidak berkemungkinan akan membersihkan nama parti.
Adakah benar apa yang dikatakan Presiden UMNO kelima ini, bahawa UMNO tidak dapat lagi diselamatkan, dan satu-satunya cara untuk menghapuskan rasuah yang disebarkan UMNO adalah dengan membunuh UMNO sepenuhnya?
Pilihan Raya Umum ke-15 akan menentukan sama ada UMNO mampu untuk berhenti dari menjadi sebuah parti kleptokrat dan sama ada Malaysia akan terus berada dalam hala tuju menjadi sebuah kleptokrasi.
Sehingga kini, UMNO mahupun mana-mana pemimpin utama UMNO masih belum mengecam skandal kewangan 1MDB yang melibatkan RM50 billion, atau apa-apa skandal mega lain yang terus menghantui negara kita.
UMNO telah berubah terlalu banyak berbanding dengan hari-hari awalnya sehingga empat presiden terawal UMNO, Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein, dan Hussein Onn, tidak akan kenal atau bersetuju dengan UMNO yang ada hari ini sekiranya mereka masih hidup.
Tidak ada seorang pun dari mereka ini yang akan membiarkan Malaysia dikenali sebagai sebuah kleptokrasi di seluruh dunia, apatah lagi sebagai sebuah “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk”.
Tun Razak terkenal dengan kisah “kolam renang” yang diceritakan oleh anak bongsunya, Nazir Razak, di mana dia bertanya kepada anak-anaknya: “Bagaimanakah rupanya, sekiranya Perdana Menteri membelanjakan wang rakyat untuk membina kolam renang untuk keluarganya?”
Pada tahun 1979, dalam Perhimpunan Agung UMNO, Hussein Onn memberikan amaran yang Malaysia akan hancur sekiranya pemimpinnya “tidak jujur, tidak boleh dipercayai, dan korup” dan menyatakan harapannya supaya skandal Bank Rakyat akan menjadi satu “pengajaran pahit kepada institusi dan agensi kerajaan yang lain, termasuklah syarikat dan anak syarikat yang dibentuk oleh Kerajaan”.
Kata-kata Hussein Onn ini tepat dan UMNO kini sedang rosak dan negara sedang dirosakkan dengan adanya pemimpin yang “tidak jujur, tidak boleh dipercayai, dan korup” untuk 30 tahun yang lepas, sebuah skandal Bank Rakyat yang melibatkan RM100 juta telah membesar menjadi skandal 1MDB yang melibatkan RM50 billion!
Bolehkah UMNO diselamatkan untuk memastikan Malaysia dapat diselamatkan?
Atau adakah UMNO tidak dapat diselamatkan, tetapi Malaysia masih boleh diselamat!
Atau adakah kita telah sampai ke satu titik tragis, di mana kedua-dua UMNO dan Malaysia tidak dapat diselamat?
Saya tidak percaya dengan kenyataan yang terakhir itu, kerana dua minggu yang lepas menunjukkan yang harapan kekal membara dalam jiwa manusia.
Tidak ramai yang menjangkakan Pilihan Raya Umum ke-14 akan membawa kepada kejatuhan kerajaan UMNO-BN, dan sehingga lewat tengahari pada Hari Mengundi, 9 Mei 2018, Najib Razak menjangkakan bukan sahaja kemenangan besar untuk UMNO-BN, tetapi kemenangan majoriti dua-pertiga di Parlimen yang telah terlepas dari tangan UMNO-BN dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada tahun 2008.
Namun, 9 Mei 2018 ini menjadi kejutan kepada semua orang, sehingga mereka yang ragu-ragu bahawa hegemoni politik UMNO-BN bakal berakhir dalam PRU-14 ini meyakinkan diri mereka sendiri bahawa mereka memang sudah jangka kerajaan UMNO-BN akan tumbang pada hari itu.
Mereka yang berani untuk bermimpi, berharap, dan bertindak, seperti mereka yang bersusah payah dari Diaspora Malaysia di seluruh dunia, sama ada di Singapura, London, New York, Los Angeles, Montreal, Sydney, Melbourne, Wellington, atau Auckland, tidak mensia-siakan usaha mereka untuk memastikan setiap undi mereka dikira, kerana jika tidak, skandal 1MDB dan skandal-skandal lain, seperti skandal kapal tempur pesisir (LCS) yang melibatkan RM9 billion yang didedahkan baru-baru ini akan terus terkubur.
Kita perlu berterima kasih kepada 5.6 juta orang pengundi yang mengundi Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 kerana memilih untuk mendedahkan skandal 1MDB dan skandal-skandal mega lain. Namun, kita telah membuat kesilapan besar apabila kita tidak sedar bahawa apa yang dicapai pada 9 Mei 2018 ini hanyalah satu langkah pertama dalam perjalanan panjang untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia.
Adakah rakyat Malaysia bersedia untuk meneruskan kempen yang bermula pada 9 Mei 2018, yang telah disabotaj oleh konspirasi Langkah Sheraton 22 bulan kemudian, untuk meneruskan perjuangan untuk menambah baik negara ini, sehingga kita berjaya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia?
Zahid Hamidi telah mengatakan yang UMNO-BN akan kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 sekiranya PRU ini tidak diadakan dalam beberapa bulan yang akan datang.
Saya katakan yang UMNO-BN akan kalah dalam PRU-15 sekiranya PRU ini diadakan dalam beberapa bulan yang akan datang jika UMNO gagal untuk meyakinkan para pengundi yang parti tersebut telah berubah dan bukan lagi sebuah parti kleptokrat.
Zahid memang tepat dalam mengatakan bahawa hanya ada satu kumpulan yang berkuasa dalam UMNO – “kumpulan mahkamah” – yang mana satu-satunya matlamat mereka adalah untuk membebaskan para pemimpin korup dalam UMNO dari pelbagai pertuduhan yang dihadapi mereka, dan bukannya untuk membebaskan UMNO dan negara kita dari cengkaman kleptokrasi.
Zahid hanya mengesahkan bahawa UMNO memang telah berubah secara drastik berbanding dengan hari-hari awal parti tersebut dan sudah terpesong dari perjuangan dan pengorbanan tokoh awal parti tersebut dengan menjadi sebuah parti kleptokrat.