Hadi sendirilah punca mengapa sayap bukan-Islam PAS gagal mendapatkan sokongan orang Cina
Semalam, presiden PAS, Hadi Awang, bertanya mengapa sayap bukan-Islam PAS gagal untuk mendapatkan sokongan orang Cina dan mengatakan tidak ada sebab untuk parti tersebut gagal mendapatkan sokongan golongan bukan-Islam dengan menunjukkan rekod DAP yang berjaya mendapatkan undian untuk Ahli Parlimen India di kerusi majoriti Cina.
Dalam bertanya persoalan ini, Hadi hanya mendedahkan satu kelemahan besar kepimpinan politiknya, kerana Hadi sendirilah punca mengapa sayap bukan-Islam PAS dan juga PAS sendiri gagal untuk memenangi sokongan orang Cina atau sokongan dari golongan bukan-Islam.
Bagaimanakah mungkin untuk PAS mendapatkan sokongan orang Cina atau golongan bukan-Islam dengan pandangan Hadi yang bersifat ekstremis, taksub, dan tidak rasional, seperti kenyataannya baru-baru ini yang menuduh orang bukan-Islam dan bukan-Bumiputera sebagai punca kepada rasuah di Malaysia.
Apa yang lagi teruk, Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) ini diketuai oleh orang yang tidak mempunyai keberanian untuk tidak bersetuju dengan pandangan ekstrem Hadi.
Malah, orang Islam yang berfikir sendiri pun tertolak dengan pandangan ekstrem Hadi.
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Mohammad Mohan, telah menyelar Hadi kerana mempunyai pandangan mengenai rasuah yang sebegitu sempit.
Dia mengatakan, rasuah tidak mengambil kira warna kulit, dan komen sebegini yang dibuat dalam demokrasi yang terdiri daripada pelbagai kaum, etnik, dan kepercayaan merupakan satu perkara yang “terkutuk, rasis, memfitnah, dan menghasut”.
Dia mengatakan, kenyataan Hadi ini menunjukkan pandangan terhadap rasuah yang bersifat sempit dan membangkitkan perasaan yang bertentangan dengan konsep Keluarga Malaysia Perdana Menteri, dan amatlah menyedihkan dan memalukan untuk mendengari komen yang tidak berasas dan provokatif sebegini dalam bulan Kemerdekaan.
Hadi berada dalam kedudukan yang unik sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah tapi pada masa yang sama diharamkan dari melawat salah satu negara Timur Tengah yang paling penting, Arab Saudi.
Bolehkah Hadi menjelaskan bagaimana dia boleh menjadi Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah sedangkan dia diharamkan daripada melawat salah satu negara Timur Tengah yang paling penting, Arab Saudi? Tambahan lagi, benarkah Arab Saudi bukan satu-satunya negara Timur Tengah yang melarang Hadi dari melawati negara mereka?
Bukankah sepatutnya seorang pemimpin politik yang bermaruah meletakkan jawatan lantikannya dalam keadaan sebegini? Atau adakah dia lebih tertarik dengan emolumen dan manfaat daripada pelantikan ini tanpa perlu melakukan apa-apa tugasnya?
Sekiranya Hadi ingin PAS untuk mula menembusi kawasan bukan-Islam, Hadi perlu mengetepikan pandangan taksub dan ekstremisnya.
Adakah dia bersedia untuk mencontohi DAP untuk mengutamakan identitinya sebagai rakyat Malaysia, sebelum lain-lain identiti kaum, agama, atau budaya?
Hadi sudah ditinggalkan zaman namun masih terus mengeluarkan pendapat yang tidak rasional, bersifat ekstreme, malah rasis.
Dia tidak sedar yang Islam tidak melihat perbezaan di antara kaum, agama, budaya, atau kewarganegaraan apabila berhadapan dengan isu rasuah.
Terdapat kira-kira 1.8 billion orang Islam di seluruh dunia setakat tahun 2015 – kira 24% populasi dunia – dan majoriti orang Islam ini (62%) berada di kawasan serantau Asia Pasifik seperti Indonesia, India, Pakistan, Bangladesh, Iran, dan Turki, manakala hanya kira-kira 20% berada di kawasan Timur Tengah-Afrika Utara, di mana agama ini bermula pada abad ketujuh.
Tidak ada satu pun negara majoriti Islam dalam kalangan 10 negara yang dianggap paling tidak korup, manakala tiga pula negara majoriti Islam berada dalam kalangan 10 negara yang dianggap sebagai paling korup di dunia.
Tidak ada keperluan untuk menghukum memandangkan orang awam sudah pun melihat Hadi sebagai seorang pentaksub dan ekstremis yang tidak bersedia untuk menjadi seorang rakyat Malaysia, sebaliknya melihat segalanya melalui kaca mata yang amat rasis dan bersifat pelampau keagamaan.
Semasa Transparency International (TI) mula menerbitkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada tahun 1995, Malaysia berada jauh di hadapan India, China, dan Indonesia, yang masing-masing berada di tempat ke-35 dengan 2.78 mata (India), tempat ke-40 dengan 2.16 mata (China), dan tempat ke-41 dengan 1.94 mata (Indonesia) dari 41 negara yang ditinjau. Malaysia berada di tempat ke-23 dengan 5.28 mata dari 10 mata.
Selepas 27 tahun, dalam TI CPI 2021, Malaysia berada di tempat ke-62 dari 180 buah negara, dengan markah 48/100 mata, berbanding dengan China yang kini berada di tempat ke-66 dengan 45 mata, India di tempat ke-85 dengan 40 mata, dan Indonesia di tempat ke-96 dengan 38 mata.
Semua ketiga-tiga negara China, India, dan Indonesia telah mencapai peningkatan dalam usaha memerangi rasuah, manakala Malaysia pula ketinggalan di belakang dan berada dalam kedudukan yang lebih buruk berbanding dengan semasa tahun 1995.
Bolehkah Hadi menjelaskan fenomena ini melalui logik tidak rasional dan ekstremisnya?