Adakah pemenjaraan Najib Razak akan menjadi titik perubahan untuk orang Melayu, yang membentuk kumpulan majoriti utama di Malaysia, untuk sedar bahawa kita semua perlu utamakan identiti Malaysia dan bukannya Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Iban untuk Malaysia berjaya sebagai negara hebat bertaraf dunia?

Sejak pemenjaraan Najib Razak atas sabitan skandal kewangan mega 1MDB dengan penolakan rayuan akhirnya di Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022, saya telah bergelut dengan persoalan berikut:

Sama ada pemenjaraan bekas Perdana Menteri, Najib Razak, akan menjadi titik perubahan untuk orang Melayu, yang membentuk kumpulan majoriti utama di Malaysia, untuk sedar bahawa kita semua perlu utamakan identiti Malaysia dan bukannya Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Iban untuk Malaysia berjaya sebagai negara hebat bertaraf dunia?

DAP mempunyai dua tugas, pertamanya, untuk meyakinkan orang bukan Melayu di Malaysia untuk menjadi Malaysian First – bukan untuk melupakan identiti etnik dan budaya masing-masing, tetapi untuk mengutamakan identiti mereka sebagai rakyat Malaysia, sebelum identiti etnik, baik Cina, India, Kadazan, atau Iban. Komitmen ini boleh berubah-ubah, namun penting untuk komitmen terhadap idea mengutamakan identiti Malaysia ini kekal tidak berubah dan tidak berganjak.

Namun, tugas ini tidak mencukupi sekiranya kita tidak dapat meyakinkan orang Melayu, yang merupakan majoriti dominan, untuk bersama menjadi Malaysian First.

Kemudian, datang tugas kedua, untuk meyakinkan orang Melayu untuk menjadi Malaysian First dengan mengutamakan identiti mereka sebagai rakyat Malaysia sebelum identiti etnik mereka.

Kita telah berjaya dengan tugas pertama sebelum ini, namun masih belum berjaya dengan tugas kedua ini.

“Titik perubahan” didefinisikan sebagai “titik di mana satu siri perubahan kecil atau kejadian yang menjadi cukup penting untuk menyebabkan satu perubahan yang lebih besar atau lebih penting” atau “satu masa di mana satu aktiviti, proses, di mana keputusan penting perlu dibuat atau di mana situasi berubah sepenuhnya”.

Masih terlalu awal untuk mengatakan sama ada pemenjaraan Najib ini akan menjadi satu “titik perubahan”. Namun, tidak ada sebarang keraguan lagi yang selepas 30 bulan yang suram mengenai kemungkinan untuk Malaysia berubah menjadi lebih baik, pemenjaraan Najib Razak dan sabitan bersalah Rosmah Mansor telah memberikan rakyat Malaysia harapan baharu apabila kita semua kini dapat melihat cahaya di hujung terowong kegelapan.

Kita kini mempunyai harapan bahawa Malaysia masih boleh diselamatkan dari menjadi sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, atau sebuah negara gagal, sekiranya kita berjaya menetapkan semula prinsip dan dasar pembinaan negara kepada prinsip dan dasar yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara, iaitu, sistem raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, doktrin pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, integriti awam, meritokrasi, hormat terhadap hak asasi manusia, dan perpaduan negara daripada masyarakat berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya di Malaysia, di mana tidak ada pemisahan di antara rakyat kelas pertama atau kelas kedua berdasarkan kaum, agama, atau kawasan.

Dalam tahun-tahun awal negara kita, Malaysia hampir menjadi sebuah Harimau ekonomi. Sejak daripada zaman ini, kita terus menerus ditinggalkan oleh satu demi satu negara – baik Taiwan, Korea Selatan, Singapura, Hong Kong, atau Vietnam.

Dari semua petunjuk yang ada, kita berhadapan dengan kemungkinan untuk ditinggalkan oleh semakin banyak negara, dengan China yang bakal memintasi kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) terbitan Transparency International (TI) sebelum penghujung dekad ini, dan melainkan kita berubah dengan cepat dan mengisytiharkan perang secara besar-besaran terhadap rasuah, kita juga bakal ditinggalkan di belakang India dan Indonesia dalam penerbitan TI-CPI yang akan datang.

DAP, dengan matlamat Malaysian Malaysia, sentiasa menjadi parti politik yang mengutamakan Malaysia. Perkara ini tidak bermakna orang Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Iban perlu melupakan identiti etnik dan budaya mereka, sebaliknya, dalam memelihara identiti dan hubungan etnik dan budaya kita, kita mengakui yang kita semua mempunyai titik persamaan dan identiti yang dikongsi bersama di antara pelbagai kumpulan etnik sebagai rakyat Malaysia.

Dalam tahun-tahun awal DAP, kita telah menolak dasar asimilasi budaya dan berjuang untuk dasar integrasi budaya, kerana kepelbagaian kaum, bahasa, agama, dan budaya di Malaysia ini sepatutnya menjadi satu sumber kekuatan negara, bukannya satu kelemahan.

Walaupun kerajaan UMNO telah lama menghentikan dasar asimilasi budaya pada tahun 90-an, masih terdapat sekumpulan golongan pelampau yang masih tidak berputus asa dengan matlamat asimilasi ini.

Saya baru-baru ini menerima dokumen yang telah dinyahrahsiakan yang menunjukkan pemimpin DAP sentiasa konsisten dan setia kepada cita-cita dan kepercayaan mereka.

Dokumen ini merupakan keterangan saya semasa dalam tahanan di Balai Polis Kuala Selangor di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri sejurus selepas saya pulang ke Malaysia pada 18 Mei 1969.

Saya ditanyakan mengenai pandangan politik saya dan saya telah katakan perkara seperti berikut yang dicatatkan dalam dokumen ini:

(a) Malaysia adalah sebuah masyarakat pelbagai kaum, bahasa, dan budaya, dan sebuah bangsa Malaysia yang berdaya maju hanya boleh dibentuk sekiranya semua kaum dan kumpulan dalam negara ini diberikan kepentingan yang sama.

(b) bahawa dalam masyarakat pelbagai kaum seperti di Malaysia, keganasan dan sebarang ideologi paksaan, misalnya seperti yang dibawa oleh PKM, yang akan membawa kepada kemusnahan negara kerana perkara ini akan secara pantas membawa kepada konflik perkauman. Oleh itu, saya mengecam paksaan dan keganasan dalam semua bentuk.

(c) bahawa dalam masyarakat pelbagai kaum, sekiranya ada mana-mana kumpulan kaum berasa yang mereka ketinggalan, baik dari pendidikan, ekonomi, budaya, bahasa, atau politik, maka antagonisme perkauman akan wujud. Segala usaha diperlukan untuk menghapuskan ketidakseimbangan di antara kaum dan kumpulan ini.

(d) bahawa kemiskinan bukanlah masalah perkauman. Ia adalah masalah sosio-ekonomi. Untuk menganggap kemiskinan sebagai masalah perkauman hanya akan meningkatkan antagonisme perkauman di dalam negara ini.

(e) bahawa sosialisme demokratik boleh menutup jurang di antara mereka yang berada dan mereka yang tidak berada dari kalangan semua kaum.

(f) bahawa saya mahukan kerajaan yang bersih, jujur, efisien, berdaya tahan terhadap rasuah, dan berkesan.

(g) bahawa hanya demokrasi berparlimen sahaja yang boleh mengelakkan pertembungan perkauman. Sebarang bentuk kerajaan yang lain hanya akan membawa kepada syak wasangka perkauman.

(h) bahawa komunisme tidak kondusif dalam masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Saya telah ditanya oleh pihak polis mengenai kepercayaan politik dan rancangan saya. Berikut adalah apa yang saya katakan 53 tahun yang lepas:

(a) di mana semua rakyat, tanpa mengira kaum, bahasa, atau agama, menganggap dirinya sebagai pertamanya rakyat Malaysia dan meletakkan identiti kaum di tempat kedua;

(b) di mana rakyat Malaysia dari semua kaum mempunyai lebih banyak persamaan di antara satu sama lain berbanding dengan “saudara sedarah” mereka yang mungkin berada di China Merah/Nasionalis, India, atau Indonesia. Melainkan kita berjaya mencapai matlamat ini, Malaysia tidak boleh dikatakan sebagai telah menjadi “sebuah Negara Rakyat Malaysia”.

Saya telah mengatakan, di luar dan di dalam Parlimen, tema saya dan DAP adalah:

(a) bahawa semua rakyat Malaysia perlu mempunyai kesedaran Malaysia;

(b) untuk bekerjasama menjadi Malaysia sebuah negara yang bersatu padu, harmoni, dan makmur.

Saya kini berusia 81 tahun tahun. Saya percaya dalam 53 tahun yang lepas sejak tahun 1969, saya sentiasa berpegang dengan ideal dan komitmen ini. Semasa saya bertanding di lima negeri, di Melaka, Selangor, Pulau Pinang, Perak, dan Johor di peringkat Parlimen dalam lima dekad yang lepas, semuanya dilakukan untuk membawa cita-cita dan matlamat politik ini.

Semasa saya bertanding di kerusi parlimen Tanjong pada tahun 1986, perjuangannya adalah untuk menjadikan Pulau Pinang negeri barisan hadapan untuk mencapai cita-cita sebuah negara yang bersatu-padu, demokratik, bebas, adil, dan makmur.

Saya mengakui, yang saya tidak sedar sepenuhnya ketika ini, bahawa perjuangan ini adalah satu perjuangan politik yang akan mengambil masa melangkaui beberapa kitaran pilihan raya dan juga melangkaui generasi, memandangkan hanya pada tahun 2008 barulah kita berjaya memenangi kerajaan negeri Pulau Pinang.

Malam ini, saya menyeru kepada orang Pulau Pinang, untuk terus berada di barisan hadapan dalam dekad-dekad yang akan datang, untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia dengan menjadi semua orang, baik Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Iban, pertamanya rakyat Malaysia, dengan meletakkan identiti etnik mereka selepas identiti bersama kita semua sebagai rakyat Malaysia, yang merupakan resipi untuk kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri