Peguam Negara perlu menyemak semula bahagian yang disunting dalam dua laporan mengenai skandal LCS yang dinyah-rahsia oleh Kabinet untuk mendedahkan bahagian ini secara terbuka atau berikan sebab mengapa bahagian ini perlu disunting

Peguam Negara, Idrus Harun, perlu menyemak semula bahagian yang disunting dalam dua laporan mengenai skandal LCS yang melibatkan RM9 billion – Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan LCS (JKSTUPKK) dan laporan audit forensik perolehan LCS (2011-2014) yang dijalankan oleh Alliance IFA (M) Sdn. Bhd. – yang telah dinyah-rahsia dan diterbitkan oleh Kabinet untuk mendedahkan bahagian yang disunting secara terbuka atau dia perlu memberikan sebab untuk suntingan tersebut.

Perkara ini perlu dibuat untuk menunjukkan yang Kerajaan kini bertindak mengikut norma tadbir urus yang baik dan tidak bertindak sewenang-wenangnya seperti sebelum ini yang telah menjadi punca skandal terbaru dalam negara – skandal LCS yang melibatkan RM9 bilion, yang kini mengambil bentuk sebagai skandal 1MDB baharu.

Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein, perlu memberikan Kenyataan Menteri kepada Parlimen apabila Parlimen bersidang semula pada 3 Oktober untuk menjelaskan bagaimana Kementerian Pertahanan telah melaksanakan cadangan dalam kedua-dua laporan mengenai skandal LCS ini.

Walaupun kedua-dua laporan itu telah disunting dengan teruk, pembacaan kedua-dua laporan itu akan menunjukkan bahawa Kerajaan Najib – yang mesti bertanggungjawab sepenuhnya ke atas skandal perolehan pertahanan terbesar dalam sejarah Malaysia – telah melakukan kelalaian yang amat serius dalam tugasnya untuk menjaga kepentingan anggota dan pesara tentera dan juga kepentingan negara.

Kita sepatutnya sudah mempunyai lima buah LCS bersama dengan Tentera Laut Diraja Malaysia untuk menjaga keselamatan dan kedaulatan negara tetapi kerana skandal LCS yang melibatkan RM9 bilion ini, Malaysia telah dibiarkan terdedah.

Walaupun dengan suntingan, pembacaan sub-tajuk laporan akan menunjukkan kesimpulan bahawa terdapat penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah yang teruk.

Perkara ini jelas, sebagai contoh, daripada tajuk kecil laporan audit forensik mengenai skandal LCS, seperti berikut:

  • Perwakilan Kuasa kepada MD dan Salah Guna Kuasa.
  • Melindungi kepentingan CAD pada kos BNS.
  • Anomali dikesan dalam Jadual Pembayaran untuk LOA.
  • LOA memihak kepada IHC Metalix BV dan proses pemilihan mereka.
  • Beberapa Petanda Penting Diabaikan.
  • Unsur Penting yang Menunjukkan Salah Urus dengan Niat.
  • Percubaan untuk Menyorokkan.

Bolehkah Hishammuddin menjelaskan mengapa tiada siapa yang bertanggungjawab terhadap skandal LCS yang melibatkan RM9 bilion walaupun laporan audit forensik telah disiapkan pada Julai 2020 manakala laporan Ambrin telah disiapkan pada Ogos 2019?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri