Annuar Musa tidak sepatutnya membuat kenyataan “berani” mengenai menjadi lebih proaktif dalam menangani jenayah siber apabila dia sendiri terus berpura-pura bodoh mengenai dakwaan yang pihak polis menjalankan “ladang toyol internet” yang didedahkan sebulan lepas
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa tidak sepatutnya membuat kenyataan “berani” mengenai menjadi lebih proaktif dalam menangani jenayah siber apabila dia sendiri terus berpura-pura bodoh mengenai dakwaan yang pihak polis menjalankan “ladang toyol internet” yang didedahkan sebulan lepas.
Adakah aktiviti ladang toyol internet pihak polis ini termasuk dalam definisi apa yang Annuar katakan di Melaka semalam sebagai “langkah-langkah ofensif, defensif dan advokasi” oleh kerajaan dalam isu keselamatan siber negara?
Adakah Annuar akan memberikan laporan kepada Parlimen mengenai isu ini apabila Parlimen bersidang semula pada 3 Oktober?
Gergasi media, Meta, telah mendakwa yang Polis Diraja Malaysia terlibat dalam usaha memanipulasi perbincangan awam dengan membentuk “ladang toyol internet”.
Meta, yang memiliki laman media sosial Facebook dan Instagram, mendakwa dalam Laporan Ancaman Jahat (Adversarial Threat Report) yang diterbitkan setiap suku tahun yang syarikat tersebut telah membuang ratusan akaun, laman, dan kumpulan di Facebook dan Instagram, yang didakwa merupakan sebagai sebahagian daripada ladang toyol internet yang dikendalikan pihak Polis yang menyasarkan pengguna media sosial di Malaysia.
Meta membuang 596 akaun, 180 laman muka, dan 11 kumpulan dari Facebook, dan 72 akaun dari Instagram yang menyasarkan pengguna domestik di Malaysia.
Laporan Meta tersebut mengatakan:
“Individu di sebalik rancangan ini mengusahakan satu “ladang toyol internet” (troll farm) – satu usaha tersusun oleh operator yang berada di tempat yang berbeza untuk mencemarkan dan memanipulasikan perbahasan awam dengan menggunakan akaun palsu dan mengelirukan orang ramai mengenai siapa di sebalik akaun-akaun ini.
“Mereka aktif di seluruh internet, termasuklah di Facebook, TikTok, Twitter, dan Instagram, dengan menyiarkan meme dalam bahasa Melayu dan menunjukkan sokongan terhadap gabungan kerajaan sedia ada sambil menuduh terdapat korupsi dalam kalangan pengkritiknya.
“Di Facebook, jaringan ini menguruskan laman-laman, termasuklah sesetengah yang berpura-pura sebagai entiti berita bebas, dan mempromosikan dasar sambil mengkritik pihak pembangkang.
“Kami menemui rangkaian ini selepas meneliti maklumat dari sebahagian kecil aktiviti ini – yang pada mulanya disyaki berasal dari China – yang ditemui oleh penyelidik di Clemson University. Walaupun dalang di sebalik operasi ini cuba untuk menyembunyikan identiti dan usaha mereka, penyiasatan kami mendapati kaitan dengan pihak Polis Diraja Malaysia.”
Selain daripada penafian yang lemah dan tidak meyakinkan oleh pihak Polis, dengan janji untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara itu, tidak ada apa-apa jawapan kukuh mengenai isu ini selama hampir sebulan.
Bolehkah Annuar menjawab mengenai perkara ini?