Tiga senario untuk PRU15
Terdapat tiga senario untuk Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022 ini.
Pertama, UMNO dan Barisan Nasional menang PRU15 dan membentuk Kerajaan Persekutuan Malaysia. Walaupun UMNO dan Barisan Nasional mendakwa yang mereka adalah pilihan rakyat untuk memenangi PRU15, saya percaya keputusannya kelak berbeza.
Kedua, tidak ada mana-mana gabungan mendapat majoriti dan negara kita terhumban ke dalam satu situasi yang mengelirukan dan kucar-kacir selepas 19 Nov.
Ketiga, Pakatan Harapan menang PRU15 dan Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri ke-10.
Senario ketiga ini adalah senario yang terbaik untuk negara kerana daripada semua calon-calon Perdana Menteri yang ada, hanya Anwar yang terbaik kerana dia menerima bahawa Malaysia terbentuk daripada sebuah masyarakat majmuk dan kepelbagaian bahasa, agama, dan budaya adalah satu aset untuk Malaysia dan bukannya satu liabiliti.
Anwar adalah satu-satunya calon Perdana Menteri ke-10 yang boleh menghentikan kemerosotan negara dari sebuah negara bertaraf dunia kepada sebuah negara gagal seperti Sri Lanka atau Zimbabwe.
Zahid telah mengatakan yang PRU15 ini adalah ibu kepada segala pilihan raya yang akan menentukan sama ada para pemimpin UMNO dan Barisan Nasional akan didakwa di mahkamah dan dihantar ke penjara. Sekiranya Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri, maka Najib Razak akan berjalan bebas dari Penjara Kajang dan pastinya akan ada lebih banyak skandal-skandal seperti skandal 1MDB.
Muhyiddin pula adalah individu pemimpin konspirasi Langkah Sheraton yang menamatkan harapan dan aspirasi rakyat Malaysia — untuk membina semula Malaysia Baharu dalam tempoh lima tahun supaya Malaysia dapat menjadi salah satu dari negara yang terbaik di dunia — selepas hanya 22 bulan.
Hadi Awang pula adalah individu yang telah mencemarkan nama Islam di Malaysia apabila dia sanggup mengatakan penipuan dan fitnah yang tidak masuk akal, seperti kononnya DAP adalah komunis. Adakah Hadi benar-benar cuba mengatakan yang kerajaan negeri Pulau Pinang sejak tahun 2008 ini sebuah kerajaan komunis?
PRU15 ini adalah pilihan raya untuk membentuk kerajaan di Putrajaya dan bukannya satu pilihan raya untuk membentuk kerajaan negeri Sabah di Kota Kinabalu.
Warisan berhak untuk menamakan calon-calon mereka dan bertanding di Semenanjung Malaysia, walaupun saya percaya ramai daripada calon-calon Warisan ini bakal kehilangan deposit mereka.
Namun begitu, Shafie Apdal bukanlah salah seorang dari calon Perdana Menteri ke-10 Malaysia.