Harapan supaya lima kerusi yang saya pernah wakili sebagai Ahli Parlimen sepanjang 57 tahun saya menceburi politik Malaysia akan menjadi kubu kuat Impian Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebuah negara majmuk hebat bertaraf dunia dalam tiga ke empat dekad yang akan datang
Dalam 57 tahun kegiatan politik saya, saya telah bertanding di lima negeri, Melaka, Selangor, Pulau Pinang, Perak, dan Johor – semuanya untuk mengejar Impian Malaysia untuk Malaysia menjadi sebuah negara majmuk yang hebat, yang berjaya memenuhi cita-cita Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, untuk Malaysia menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu”.
Saya berharap, lima kawasan parlimen yang pernah diwakili saya dalam enam dekad yang lepas – Kota Melaka, Petaling di Selangor, Tanjong di Pulau Pinang, Ipoh Timur di Perak, dan Iskandar Puteri di Johor – akan menjadi kubu kuat untuk menyebarkan cita-cita Impian Malaysia, di mana terdapatnya perpaduan dalam kepelbagaian, di mana semua orang melihat diri mereka pertamanya sebagai rakyat Malaysia, walaupun mereka adalah orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Dayak, atau Islam, Buddha, Hindu, Kristian, Sikh, Tao, sama ada mereka dari Semenanjung, Sabah, atau Sarawak.
Malaysia mempunyai potensi untuk menjadi di antara negara terbaik di dunia, memandangkan kita berada di titik pertemuan empat tamadun hebat dunia – Melayu/Islam, Cina, India, dan Barat – tetapi kita masih belum berjaya menggunakan nilai-nilai terbaik dari keempat-empat tamadun ini dan telah tersesat jalan dalam usaha pembinaan negara bangsa dalam enam dekad yang lepas.
Kita bermula dengan baik dalam hari-hari awal negara kita, di mana prinsip-prinsip pembinaan negara bangsa yang baik telah diterapkan dalam Perlembagaan dan Rukun Negara, yang mana sekiranya diikuti, akan menjadikan Malaysia sebuah negara majmuk hebat yang bertaraf dunia – prinsip-prinsip negara beraja berperlembagaan, doktrin pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, demokrasi berparlimen, badan kehakiman yang bebas, tadbir urus yang baik, integriti awam dengan rasuah yang minima, hormat terhadap hak asasi manusia, dan perpaduan dalam kepelbagaian dari masyarakat majmuk berbilang kaum, bahasa, budaya, dan agama.
Namun, kita telah tersilap langkah dalam usaha pembinaan negara dan sebaliknya menjadi negara yang biasa-biasa sahaja, yang mana jika tidak diperbetulkan, kita akan terus merosot menjadi negara gagal seperti Sri Lanka dan Zimbabwe dalam masa tiga ke empat dekad yang akan datang.
Kita telah ditinggalkan di belakang Taiwan, Singapura, Hong Kong, Korea Selatan, dan Vietnam, dan melainkan kita berubah, kita akan terus ditinggalkan di belakang lebih banyak negara-negara lain lagi.
Pada tahun 1965, satu Dolar Singapura adalah bersamaan dengan satu Ringgit Malaysia. Kini, satu Dolar Singapura bersamaan dengan 3.345 Ringgit Malaysia.
Semasa Transparency International (TI) mula menerbitkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada tahun 1995, kita berada jauh di hadapan China, India, dan Indonesia dengan kerajaan yang bersih, jujur, dan kurang korup; tetapi China dijangka mengatasi kedudukan Malaysia menjelang penghujung dekad ini, manakala India dan Indonesia pula dijangka mengatasi kedudukan Malaysia dalam dekad yang akan datang, sekiranya para pemimpin politik dalam negara kita terus menerus menipu dan cuba menafikan yang skandal 1MDB ini adalah “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk” dengan rasuah yang berleluasa dalam kehidupan harian.
Sekolah-sekolah dan universiti-universiti kita merupakan antara yang terbaik di dunia, namun kedudukannya terus merosot, dengan Malaysia kini berada dalam sepertiga terendah carta penilaian sains dan matematik antarabangsa.
Saya telah meminta para pengundi di Malaysia untuk bertanya dua soalan pada Hari Mengundi, 19 November 2022: sama ada Malaysia boleh diselamatkan dan sama ada berbaloi untuk diselamatkan.
Sekiranya Malaysia tidak boleh atau tidak berbaloi diselamatkan, maka itulah pengakhiran kisahnya.
Namun, Malaysia masih boleh diselamatkan dan patut diselamatkan.
Malaysia belum mencapai tahap sebuah negara yang rosak, gagal, dan berpecah belah sepenuhnya seperti Sri Lanka atau Zimbabwe, walaupun kita telah gagal untuk mencapai cita-cita untuk menjadi sebuah negara majmuk hebat bertaraf dunia.
Namun usaha ini bukanlah satu usaha jangka pendek yang mengambil masa satu atau lima tahun, sebaliknya, usaha jangka panjang yang memakan masa berdekad lamanya dan melangkaui beberapa kitaran pilihan raya umum. Tetapi, kita perlu mula sekarang.
Saya menyeru kepada para pengundi di lima kawasan parlimen yang pernah saya wakili sebelum ini sebagai seorang Ahli Parlimen – Kota Melaka, Petaling, Tanjong, Ipoh Timur, dan Iskandar Puteri – untuk memainkan peranan utama dalam kempen nasional untuk menyelamatkan dan menjadikan Malaysia sebuah negara majmuk hebat bertaraf dunia yang diiktiraf di seluruh dunia sebagai salah satu negara yang terbaik – bukannya dihina dan dibenci sebagai sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, atau negara yang bakal gagal.