Cabaran kepada Bagan dan Pulau Pinang sebagai negeri barisan hadapan untuk Impian Malaysia, untuk mendapatkan jumlah keluar mengundi tertinggi dalam negara dalam PRU15
Dua puluh tujuh tahun yang lepas, saya menyeru pengundi Bagan dalam Pilihan Raya Kecil Bagan untuk melakar sejarah dan menjadikan Bagan “Bandar Demokrasi” dengan memberikan calon DAP, Lim Hock Seng, majoriti 5,000 undi memandangkan pendahulunya, pemimpin DAP P. Patto, telah menang kerusi parlimen bagan dalam Pilihan Raya Umum April 1995 dengan majoriti tipis dan malangnya meninggal dunia.
Pada masa itu, untuk DAP mendapatkan majoriti 5,000 undi dianggap sebagai satu perkara yang luar biasa dan mustahil baik oleh rakan-rakan DAP mahupun musuh DAP. Tetapi para pengundi Bagan memutuskan bahawa 5,000 undi adalah tidak cukup untuk Bagan melakar sejarah dan menuntut gelaran “Bandar Demokrasi”. Mereka berusaha untuk memberikan lebih dari dua kali daripada majoriti 5,000 undi yang saya minta. Angka majoriti yang diperolehi dalam pilihan raya kecil ini adalah 11,802.
Kini, Bagan berhadapan dengan cabaran baharu.
Kebimbangan terbesar dalam Pilihan Raya Umum ke-15 adalah kadar keluar mengundi yang rendah pada Hari Mengundi, 19 November 2022.
Saya mencabar Bagan dan Pulau Pinang sebagai negeri barisan hadapan untuk Impian Malaysia, di mana keadilan, kebebasan, kesaksamaan, kemakmuran, dan kehidupan yang lebih baik terjamin untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, mahupun kawasan, untuk mencipta sejarah dengan mendapatkan jumlah keluar mengundi tertinggi dalam negara dalam Pilihan Raya Umum ke-15 – untuk kedua-dua kerusi parlimen dan Dewan Undangan Negeri.
Perkara ini tidak akan menjadi satu perkara yang mudah, memandangkan terdapat 21 juta orang pengundi dalam pilihan raya umum ini, dengan hampir 1.4 juta pengundi yang berusia di antara 18-21 tahun yang mengundi buat kali pertama, bersama dengan masalah yang muncul apabila pilihan raya diadakan semasa musim tengkujuh, di mana terdapat risiko hujan lebat dan bencana banjir.
Terdapat empat orang calon Perdana Menteri ke-10 untuk Malaysia – Anwar Ibrahim dari Pakatan Harapan, Zahid Hamidi dari UMNO dan Barisan Nasional, Muhyiddin Yassin dan Hadi Awang dari Perikatan Nasional.
Daripada keempat-empat calon ini, calon terbaik yang paling sesuai dan layak adalah Anwar Ibrahim, seorang calon yang memahami dan menghargai kepelbagaian di Malaysia dan keperluan untuk menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan untuk memenuhi potensi negara kita sebagai sebuah negara majmuk hebat yang bertaraf dunia.
Tiga calon yang lain ini adalah pilihan yang tidak baik – Zahid yang mahu menang pilihan raya umum ke-15 untuk membebaskan para pemimpin UMNO dan Barisan Nasional dari didakwa dan dipenjarakan atas kesalahan rasuah, serta matlamat tersirat untuk membebaskan Najib Razak dari Penjara Kajang tanpa menjalani hukuman penjara 12 tahunnya dan membayar denda RM210 jutanya.
Muhyiddin pula adalah protagonis utama konspirasi Langkah Sheraton yang telah menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan dan membawa masuk kerajaan pintu belakang yang tidak sah dan tidak demokratik, manakala Hadi pula telah mencemarkan nama Islam di Malaysia dengan mengatakan perkara-perkara yang mengejutkan – misalnya kononnya DAP ini komunis.
Adakah Hadi cuba untuk mengatakan yang Kerajaan Negeri Pulau Pinang ini sebuah kerajaan negeri komunis dalam 14 tahun yang lepas sejak 2008?
Pilihan Raya Umum ke-15 ini akan menyaksikan perang siber pada skala yang belum pernah dilihat sebelum ini dengan kebanjiran penipuan, berita palsu, dan fitnah di media sosial.
Misalnya, Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng, telah dituduh sebagai mengatakan bahawa dia bukan seorang Cina ketika dia menjadi Menteri Kewangan.
Guan Eng tidak pernah berkata seperti itu. Saya tidak rasa ada siapa-siapa di Malaysia yang akan katakan mereka bukan Cina, Melayu, India, Kadazan, atau Iban. Apa yang DAP mahu – dan inilah teras Impian Malaysia – adalah walaupun kita masing-masing adalah orang Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Iban, kita mempunyai identiti bersama sebagai rakyat Malaysia dan kita mesti mengutamakan identiti Malaysia ini.
Guan Eng mengatakan bahawa sebagai Menteri Kewangan, dia akan menjaga kepentingan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, namun perkara ini telah diputar belit kepada kononnya Guan Eng mengatakan yang dia bukan seorang Cina.
Rakyat Malaysia perlu sedar mengenai penipuan, berita palsu, dan fitnah yang akan membanjiri media sosial dalam tempoh Pilihan Raya Umum ke-15.