Pilihan Raya Umum ke-15 adalah PRU yang paling penting dalam sejarah negara memandangkan ia adalah peluang terakhir untuk menyelamatkan dan menjadikan Malaysia sebuah negara majmuk yang hebat menjelang ulang tahun ke-100 negara dan bukannya sebuah negara biasa atau menjadi sebuah negara gagal seperti Sri Lanka dan Zimbabwe
Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022 ini adalah pilihan raya umum yang paling penting dalam 65 tahun sejarah negara.
Perkara ini adalah kerana PRU ini merupakan peluang terakhir untuk menyelamatkan dan menjadikan Malaysia sebuah negara majmuk hebat bertaraf dunia menjelang ulang tahun ke-100 negara kita dan bukannya membiarkan Malaysia menjadi hanya satu lagi negara yang biasa sahaja, atau lebih buruk lagi, sebuah negara gagal seperti Sri Lanka dan Zimbabwe.
Saya telah mengorbankan 57 tahun kehidupan saya demi politik Malaysia, termasuklah 15 bulan di Muar dalam Pusat Tahanan Muar dari tahun 1969 sehingga 1970, tetapi saya tidak berputus asa dengan Impian Malaysia, di mana semua rakyat Malaysia, tanpa mengira sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Dayak, sama ada Islam, Buddha, Hindu, Kristian, boleh mendapat kehidupan yang lebih baik dan bermakna di Malaysia – baik dari segi politik, ekonomi, sosial, atau alam sekitar.
Kita belum memenuhi Impian Malaysia kita dalam enam dekad yang lepas.
Sebaliknya, kita telah ditinggalkan dari segi ekonomi di belakang satu demi satu negara – Taiwan, Singapura, Korea Selatan, Hong Kong, dan Vietnam. Melainkan kita berubah, kita akan terus ditinggalkan di belakang lebih banyak negara lain.
Kita perlu mengiktiraf yang Malaysia kini berada dalam masalah, yang dapat dilihat dari nilai Ringgit Malaysia, di mana sebelum ini satu Ringgit Malaysia bernilai bersamaan dengan satu Dolar Singapura pada tahun 1965, kini telah hilang nilainya sehingga satu Dolar Singapura bersamaan dengan 3.345 Ringgit Malaysia.
Adakah perkara ini terjadi kerana Singapura mempunyai lebih banyak pekerja berbakat berbanding Malaysia? Tidak mungkin, kerana Singapura hebat pada hari ini dari usaha bakat Malaysia yang telah ke negara pulau itu untuk mencari rezeki!
Mengapa mereka memilih untuk tidak berada di Malaysia untuk menjadikan Malaysia hebat dan merealisasikan Impian Malaysia untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan?
Semasa Transparency International (TI) mula menerbitkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada tahun 1995, kita berada jauh di hadapan China, India, dan Indonesia.
Sejak daripada tahun 1995, China, India, dan Indonesia terus menerus merapatkan jurang dengan sebuah kerajaan yang bersih dan jujur, dan besar kemungkinan China akan mengatasi kedudukan Malaysia dalam carta TI-CPI dalam dekad ini, manakala India dan Indonesia mungkin akan memintas kedudukan Malaysia dalam dekad yang akan datang.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, memberikan amaran pada bulan lepas kepada rakyat Malaysia untuk terus tidak cuba menafikan dan tidak “bersilat dengan segala helah untuk menafikan kewujudan ‘gajah’ rasuah yang nyata yang berlaku di depan mata kita” datang pada waktu yang amat tepat dan bersesuaian.
Ini kerana kita sedang berada di titik di mana rakyat malaysia perlu memutuskan sama ada kita mahu bersatu untuk menyelamatkan negara dari bencana rasuah dan kleptokrasi atau menyerah kalah dan membiarkan negara kita menjadi sebuah negara gagal dan sebuah rejim kleptokrat.
Dalam TI-CPI yang pertama pada tahun 1995, Malaysia adalah negara OIC yang berada di tempat teratas, tetapi setakat TI-CPI 2021, kita telah ditinggalkan di belakang lima negara OIC, iaitu, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Brunei, Oman, dan Arab Saudi.
Adakah Presiden UMNO, Zahid Hamidi, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, dan Presiden PAS, Hadi Awang, bersetuju yang laporan TI-CPI 2022 yang bakal diterbitkan pada bulan Januari yang akan datang akan menunjukkan prestasi yang lebih buruk berbanding dengan angka TI-CPI semasa 22 bulan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan?
Mengapakah begini? Adakah ia salah BN, PN, atau PH?
Saya minta semua rakyat Malaysia untuk bertanya diri mereka dua soalan apabila mereka membuang undi pada 19 November 2022; pertama, sama ada Malaysia masih boleh diselamatkan; dan kedua, sama ada Malaysia patut diselamatkan.
Malaysia masih “boleh diselamatkan” dan patut diselamatkan. Sekiranya Malaysia tidak dapat diselamatkan dan tidak berbaloi untuk diselamatkan, maka itulah penghujung ceritanya.
Namun, Malaysia masih belum mencapai tahap negara berpecah belah dan gagal walaupun kita telah ketinggalan agak terkebelakang dari jangkaan kita untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia.
Malaysia adalah titik pertemuan empat tamadun hebat dunia – Melayu/Islam, Cina, India, dan Barat.
Bolehkah Malaysia menggunakan nilai-nilai terbaik dari empat tamadun hebat ini untuk menjadikan Malaysia “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu” seperti yang dikatakan oleh Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman?
Sekiranya kita boleh berbuat demikian, Malaysia masih berpeluang untuk menjadi sebuah negara majmuk hebat bertaraf dunia dan kita boleh menyelamatkan Malaysia dari menjadi sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan negara gagal dalam tiga ke empat dekad yang akan datang.
Inilah cabaran kita dalam Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022 ini.