Saifuddin fikirkan ratifikasi konvensyen-konvensyen utama PBB akan menjadi pencapaian besarnya sebagai Menteri Luar Negeri, sebaliknya perkara ini menjadi kesilapan dan kegagalan terbesarnya
Terdapat banyak teori konspirasi mengenai mengapa Perdana Menteri Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad, pergi ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 28 September 2018 dan berjanji untuk meratifikasi semua perjanjian-perjanjian utama PBB yang berkenaan dengan perlindungan hak asasi manusia.
Saya tidak percaya dengan teori-teori konspirasi ini. Saya percaya kepada teori yang mudah.
Menteri Luar Negeri ketika itu, Saifuddin Abdullah, memikirkan yang ratifikasi konvensyen-konvensyen utama PBB yang berkenaan dengan perlindungan hak asasi manusia ini akan menjadi pencapaian terbesarnya sebagai Menteri Luar Negeri, sebaliknya perkara ini menjadi kesilapan dan kegagalan terbesarnya.
Saifuddin tidak sedar yang perkara ini menjadi talian hayat untuk PAS dan UMNO memainkan politik toksik penipuan, kebencian, dan sentimen perkauman serta keagamaan untuk menjadi relevan semula, walaupun Presiden PAS, Hadi Awang, tidak dapat memberikan satu contoh sekalipun dalam 55 dari 57 negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di mana martabat Islam tergugat atau dalam 36 negara beraja di dunia di mana sistem monarki telah tergugat akibat ratifikasi ICERD atau Statut Rom.
Saya berada dalam satu lawatan ke China semasa isu ICERD mula kecoh pada penghujung tahun 2018.
Pada 19 November, Mahathir mengatakan yang ratifikasi ICERD akan melibatkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan, yang merupakan satu “perkara yang mustahil” tanpa majoriti dua-pertiga di Parlimen.
Pada 24 November 2018, dalam satu ucapan di Majlis Makan Malam bersama Persatuan Malaysia Jiansu di Souchou, China, saya telah katakan tidak ada mana-mana rakyat Malaysia mahu Malaysia meratifikasi ICERD pada harga satu lagi rusuhan kaum 13 Mei, memandangkan tanpa ragu-ragu, terdapat sesetengah pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba untuk menghasut dan meningkatkan syakwasangka dan kebencian antara kaum untuk mengulangi tragedi 13 Mei di Malaysia.
Saya menekankan bahawa Malaysia tidak patut meratifikasi ICERD sehinggalah majoriti kaum dan agama di Malaysia menyokongnya dan memahami bahawa perkara ini tidaklah anti-Melayu, anti-Islam, atau anti-Raja.
Namun saya terkejut apabila Saifuddin kemudiannya bekerjasama dengan personaliti dan kuasa politik yang sama yang telah mengubah “pencapaian terbesarnya” sebagai Menteri Luar Negeri kepada satu kegagalan dan kesilapan terbesarnya.