Bolehkah Hadi beri satu contoh di mana martabat Islam direndahkan di mana-mana dari 55 negara OIC yang telah meratifikasi ICERD atau satu contoh di mana sistem monarki dari 36 negara yang mempunyai raja yang telah terkesan akibat ratifikasi ICERD?
Tentera siber politik toksik yang berasaskan penipuan, kebencian, dan sentimen perkauman dan keagamaan telah bekerja keras untuk menyerang saya kerana kenyataan saya mengenai Hadi dan ICERD yang diterbitkan dari Kuching pagi tadi.
Mereka bertindak pantas dan menyerang saya dengan kata-kata seperti:
“Lim Kit Siang hari ini berkata DAP tidak tahu menahu mengenai Icerd dan Rome Statue.
“Sebab uncle mudah lupa, kita up balik artikel ni. TTKM dan lama bersedia sejak 4.5 tahun lalu, Kit Siang je yang lalai”.
Pertama sekali, saya tidak pernah mengatakan yang saya tidak tahu apa-apa mengenai ICERD dan Statut Rom. Saya mengatakan yang saya tidak tahu yang Kerajaan Pakatan Harapan sedang mencuba untuk meratifikasi ICERD dan Statut Rom pada tahun 2018.
Mereka menerbitkan kenyataan oleh para pemimpin DAP dalam masa lepas mengenai ratifikasi ICERD, namun mengapa mereka meninggalkan kenyataan saya pada bulan November 2018 (yang boleh dibaca di laman web saya) di mana saya menyatakan yang “Malaysia tidak patut meratifikasi ICERD sehinggalah majoriti kaum dan agama di Malaysia menyokongnya dan memahami yang perkara ini bukanlah satu ancaman kepada pelbagai kaum, agama, atau Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya merupakan satu langkah ke hadapan untuk menyertai dunia dalam mempromosikan hak asasi manusia”?
Saya bersedia untuk menyemak semula pendirian saya mengenai ICERD (bahawa ICERD patut diratifikasi tetapi hanya selepas majoriti kaum faham yang perkara ini bukanlah bersifat anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja) sekiranya Presiden PAS, Hadi Awang, dapat memberikan satu contoh di mana martabat Islam telah direndahkan di mana-mana 55 dari 57 negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang telah meratifikasi ICERD!
Atau untuk memudahkan lagi kerja Hadi, sekiranya Presiden PAS ini dapat memberikan satu contoh, di mana sistem monarki dari 36 negara beraja yang telah terkesan akibat ratifikasi ICERD.
Saya biarkan Hadi untuk memilih yang mana hendak dijawabnya, memandangkan sistem monarki di Arab Saudi, Jordan, United Kingdom, Norway, Sweden, Denmark, Belanda, Belgium, dan Jepun masih tidak tergugat sama sekali dengan ratifikasi ICERD.
Dalam perkara ini juga, penjelasan dari Pengerusi Suhakam, Rahmat Mohamad, bahawa dia bukanlah penentang ICERD dan Statut Rom amatlah penting, memandangkan dia adalah salah seorang penulis bersama kertas yang membantah ratifikasi Statut Rom pada tahun 2018.
Rahmat mengatakan yang dia merasakan persediaan yang diperlukan masih belum selesai ketika itu.
Dia mengatakan: “Orang salah faham saya, (mereka fikir) saya penentang Statut Rom. Tidak, bukan begitu,”
Rahmat mengatakan bagus untuk Pakatan Harapan mahu Malaysia dikenali sebagai negara yang mesra hak asasi manusia, tetapi sesetengah proses perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum menandatangani perjanjian antarabangsa.
Kebimbangannya ketika itu adalah negara kita masih belum melalui proses ini dan oleh itu dianggapnya sebagai belum bersedia untuk menandatangani perjanjian ini.
Itu juga merupakan pendirian saya ketika itu.
Saya telah katakan pada tahun 2018, bahawa Malaysia tidak patut meratifikasi ICERD sehinggalah majoriti kaum dan agama di Malaysia menyokongnya dan memahami bahawa perjanjian ini tidak menjadi ancaman kepada pelbagai kaum, agama, atau Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya merupakan satu langkah ke hadapan untuk Malaysia menyertai dunia dalam mempromosikan hak asasi manusia.
Apakah yang Hadi akan katakan mengenai pendirian Pengerusi Suhakam terhadap ratifikasi ICERD dan Statut Rom ini?