Zahid Hamidi tidak patut bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 sekiranya dia mahu orang ramai untuk percaya dengan janjinya yang Ismail Sabri akan menjadi Perdana Menteri selepas UMNO-BN menang
Presiden UMNO, Zahid Hamidi, telah mengatakan yang Ismail Sabri akan menjadi Perdana Menteri sekiranya gabungan UMNO-BN menang Pilihan Raya Umum ke-15 yang akan berlangsung pada 19 November 2022 ini.
Saya tidak merasakan yang Ismail Sabri benar-benar mempercayai Zahid Hamidi, namun dia perlu berpura-pura untuk menjadi “poster-boy” untuk menjadi Perdana Menteri gabungan UMNO-BN selepas Pilihan Raya Umum ke-15.
Bukannya tidak pernah berlaku sebelum ini di mana Zahid memungkiri janji “poster-boy” yang dibuat sebelum pilihan raya, di mana selepas pilihan raya, “poster boy” ini diabaikan sama sekali.
Siapakah yang akan percaya yang perkara sebegini tidak akan berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke-15?
Satu-satunya cara Zahid Hamidi boleh menjamin yang Ismail Sabri akan menjadi Perdana Menteri sekiranya UMNO-BN menang Pilihan Raya Umum ke-15 adalah dengan dia memilih untuk tidak bertanding sebagai calon pilihan raya parlimen pada hari penamaan calon, 5 November 2022 yang akan datang.
Kita akan saksikan pada 5 November sama ada Zahid menjadi calon pilihan raya parlimen atau tidak, dan selagi mana dia menjadi calon, Ismail Sabri tidak akan mendapat kepastian yang dia akan menjadi calon Perdana Menteri UMNO-BN selepas Pilihan Raya Umum ke-15 – melainkan sekiranya Zahid kalah dalam PRU15 ini.
Pilihan Raya Umum ke-15 ini adalah pilihan raya untuk membentuk Kerajaan Persekutuan Malaysia dan bukannya Kerajaan Negeri di Sarawak.
Setakat ini, hanya ada tiga gabungan politik yang boleh membentuk Kerajaan Persekutuan di Putrajaya selepas hari mengundi pada 19 November 2022: pertamanya gabungan UMNO-Barisan Nasional; kedua, gabungan Bersatu dan PAS dalam Perikatan Nasional; dan ketiga, gabungan PKR, DAP, Amanah, dan UPKO dalam Pakatan Harapan.
Calon-calon Perdana Menteri ke-10 kini sudah jelas: Zahid Hamidi atau Ismail Sabri untuk gabungan UMNO/BN; Muhyiddin Yassin atau Hadi Awang untuk Perikatan Nasional yang dianggotai Bersatu dan PAS; dan Anwar Ibrahim untuk Pakatan Harapan.
Tidak ada sebarang keraguan, daripada senarai calon-calon ini, Anwar Ibrahim adalah calon yang jauh lebih baik berbanding dengan Zahid Hamidi atau Ismail Sabru dari UMNO/BN, Muhyiddin Yassin atau Hadi Awang dari Perikatan Nasional.
Pengundi Malaysia telah menolak gabungan UMNO-BN dalam PRU14 pada tahun 2018, kerana para pemimpin UMNO/BN telah mengkhianati prinsip asas penubuhan Malaysia untuk menjadikan negara kita sebagai sebuah negara majmuk hebat yang bertaraf dunia, sebagai satu “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu” seperti yang dicita-citakan oleh Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman.
Daripada menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu”, kita telah terpesong jauh dan hanya menambahkan kegelapan dalam dunia dengan menjadi “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk”, bukan sahaja dengan skandal 1MDB, tetapi juga skandal-skandal kewangan yang lain, termasuklah dengan skandal kapal tempur pesisir (LCS) yang melibatkan RM9 billion yang didedahkan baru-baru ini.
Apa yang lebih buruk lagi, gabungan UMNO/BN terus mendokong idea “Ketuanan Melayu”, sedangkan selepas enam dekad membina negara, kita seharusnya bercakap mengenai “Ketuanan Malaysia” dan “Malaysian First” walaupun kita masing-masing kekal sebagai orang Melayu, Cina, India, Kadazan, atau Dayak.
Zahid Hamidi mendakwa yang UMNO/BN telah membawa pelbagai perkara hebat untuk Malaysia, jadi dia patut memberikan penjelasan mengenai perkara-perkara berikut:
1. Pada tahun 1965, satu Dolar Singapura adalah bersamaan dengan satu Ringgit Malaysia. Selepas enam puluh tahun, satu Dolar Singapura kini bernilai 3.3 Ringgit Malaysia. Adakah ini yang dikatakan Zahid sebagai kemajuan?
2. Sejak dari tahun-tahun awal penubuhan negara, kita terus-menerus ditinggalkan di belakang Taiwan, Singapura, Korea Selatan, Hong Kong, dan Vietnam. Pada kadar semasa, kita akan terus ditinggalkan di belakang lebih banyak negara. Mengapakah begini?
3. Apabila Transparency International (TI) mula menerbitkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada tahun 1995, kita berada jauh di hadapan China, India, dan Indonesia. Namun, kini China, India, dan Indonesia telah merapatkan jurang ini dengan kerajaan yang bersih dan jujur dan berkemungkinan besar China akan mengatasi kedudukan Malaysia dalam carta TI CPI dalam dekad ini, dengan India dan Indonesia mengatasi kedudukan Malaysia dalam dekad yang akan datang. Mengapakah begini?
4. Kita mempunyai sekolah-sekolah dan universiti-universiti yang bagus dalam dekad-dekad awal negara kita, namun mereka kini ditinggalkan di belakang negara lain, dengan Malaysia berada dalam sepertiga terendah di dunia dalam pendidikan matematik dan sains.
Adakah kita mahu Muhyiddin “si penikam belakang” atau Hadi Awang, yang merupakan pelampau Islamis, menjadi Perdana Menteri – Hadi yang mengatakan rasuah dalam kalangan orang Islam tidak apa tetapi tidak boleh dalam kalangan orang bukan Islam?
Kedua-dua gabungan politik ini tidak menerima Malaysia sebagai masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum, bahasa, agama, dan budaya. Hanya Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan sahaja yang mendokong konsep Malaysia majmuk untuk semua masyarakat pelbagai kaum dan agama yang telah menjadi Malaysia sebagai rumah mereka, bahawa untuk Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia, kita perlu satukan semua kaum, agama, dan kawasan di dalam negara.
Kerana inilah Anwar Ibrahim adalah calon Perdana Menteri ke-10 yang lebih baik berbanding dengan calon-calon lain dari dua gabungan politik UMNO/BN dan Perikatan Nasional.