Walaupun saya telah bersara daripada politik barisan hadapan selepas 57 tahun, saya akan meneruskan perjuangan politik untuk menjadikan Malaysia sebuah negara majmuk hebat bertaraf dunia sebelum ulang tahun ke-100 negara dalam empat dekad lagi, bermula dengan menjadikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10
Saya berada di Pusat Konvensyen Ipoh pada Khamis malam kerana saya menyokong matlamat Pakatan Harapan untuk menjadikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kesepuluh.
Cabaran terbesar dalam Pilihan Raya Umum ke-15 adalah sama ada Pakatan Harapan boleh berjaya menjadikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.
Saya menyeru para pengundi Malaysia, di dalam negara dan di Diaspora Malaysia di seluruh dunia, untuk bersatu hati dengan matlamat yang satu ini. Slogan baharu kita adalah: “Kita Boleh!”
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, saya berkempen di seluruh negara untuk Pakatan Harapan menjatuhkan hegemoni politik UMNO-Barisan Nasional di negara ini dan saya jarang berada di kawasan parlimen Iskandar Puteri yang saya tandingi.
Tetapi saya mahu berterus terang hari ini. Jika anda bertanya kepada saya pada pagi Hari Pengundian PRU 14 pada 9 Mei 2018 sama ada Pakatan Harapan akan menjatuhkan kerajaan pimpinan UMNO selama 61 tahun pada hari itu, saya akan menjawab “Tidak”.
Malah Najib Razak, Perdana Menteri ketika itu, yakin sehingga waktu penutupan pusat mengundi bahawa UMNO bukan sahaja pasti menang dalam PRU 14, tetapi meraih majoriti dua pertiga di parlimen.
Untuk menjadikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kesepuluh adalah satu cabaran yang sangat besar – sama sukar atau mungkin lebih sukar dengan usaha untuk menumbangkan hegemoni politik UMNO-BN pada PRU 14.
Tetapi jika pengundi Malaysia boleh melakukan “keajaiban politik” pada PRU-14, mereka boleh melakukan satu lagi “keajaiban politik” dalam PRU-15 pada 19 November 2022 ini.
Walaupun saya telah bersara daripada politik barisan hadapan selepas 57 tahun, saya akan meneruskan perjuangan politik untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat majmuk yang bertaraf dunia menjelang ulang tahun ke-100 negara dalam empat dekad lagi bermula dengan menjadikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.
Malaysia perlu berhadapan dengan cabaran negara untuk mencapai Impian Malaysia di mana kita menjadi, dalam kata-kata Bapa Malaysia Tunku Abdul Rahman, “sinar cahaya untuk dunia yang sukar dan terganggu”.
Cabaran pertama telah dicapai pada 9 Mei 2018 apabila kita mengejutkan dunia dengan membuktikan yang rakyat Malaysia boleh membawa peralihan kuasa secara aman dan demokratik.
Tetapi kita gagal dalam cabaran kedua – untuk membuktikan kepada dunia bahawa kita boleh mengubah Malaysia daripada sebuah kleptokrasi global kepada sebuah negara unggul berintegriti yang diakui dan dipuji oleh masyarakat antarabangsa dan bahawa PRU14 akan membawa kepada lebih banyak kebebasan, demokrasi, tadbir urus yang baik dan kehidupan yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia – untuk menjadi inspirasi kepada para demokrat dan demokrasi lain yang sedang bergelut di seluruh dunia.
Selepas 22 bulan, konspirasi politik Langkah Sheraton telah menggulingkan kerajaan Pakatan Harapan yang dipilih secara sah dan demokratik.
PRU15 akan menentukan sama ada kita akan terus ke hadapan dengan aspirasi Impian Malaysia untuk Malaysia Baharu pada 9 Mei 2018, atau kita kembali kepada hala tuju kleptokrasi, kakistokrasi dan menjadi negara gagal dalam beberapa dekad akan datang.
Selepas enam dekad yang suram, kita menjadi naif mengenai apa yang mampu untuk kita perbaiki dalam tempoh lima tahun daripada kerosakan yang berlaku selama enam dekad sebelum ini.
Kita komited kepada proses berparlimen dan demokrasi untuk memenangi hati dan minda rakyat, bukannya dengan memenggal kepala seperti dalam sebuah revolusi.
“Keajaiban politik” 9 Mei 2018, bagaimanapun, bukanlah kegagalan sepenuhnya – jika tidak Najib tidak akan berada dalam penjara hari ini.
Tetapi kita mesti meneruskan usaha untuk merealisasikan Impian Malaysia dengan menetapkan semula dan kembali semula kepada prinsip dan dasar asas pembinaan negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara – negara beraja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, integriti awam, meritokrasi, menghormati hak asasi manusia dan perpaduan negara dari masyarakat majmuk yang berbilang kaum, bahasa, agama dan budaya di mana tiada warga kelas pertama dan kelas kedua sama ada berdasarkan kaum, agama, atau kawasan.
Semua rakyat Malaysia mesti bertanya dua soalan dalam PRU15: Pertama, Adakah Malaysia wajar diselamatkan. Kedua, mampukah Malaysia diselamatkan.
Rakyat Malaysia perlu menyatakan dengan lantang dan jelas dalam PRU 15 bahawa mereka tidak mahu Malaysia menjadi kleptokrasi global.
Presiden UMNO, Zahid Hamidi, mahu menjadikan Pilihan Raya Umum Ke-15 sebagai pertempuran untuk memastikan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional tidak didakwa di mahkamah kerana rasuah dan dihantar ke penjara – bukannya untuk penjanaan semula Malaysia untuk menjadi “sinar cahaya kepada dunia yang sukar dan terganggu”.
Malaysia belum mencapai tahap negara yang benar-benar hancur, berpecah-belah dan gagal walaupun kita telah jatuh jauh daripada jangkaan kita terhadap sebuah negara majmuk besar bertaraf dunia.
Kita perlu menyedari yang Malaysia sedang berhadapan dengan masalah yang besar, yang dapat dilihat daripada nilai Ringgit Malaysia kita, di mana sebelum ini satu Ringgit dinilaikan bersamaan dengan satu Dolar Singapura 57 tahun yang lepas, kini telah merosot kepada 3.3 Ringgit untuk satu Dolar Singapura.
Tetapi, Malaysia masih “boleh diselamatkan” dan perlu diselamatkan.
Malaysia adalah titik pertemuan empat tamadun hebat dunia – Melayu/Islam, Cina, India dan Barat.
Bolehkah Malaysia memanfaatkan nilai terbaik dari empat tamadun hebat ini untuk menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu”.
DAP berjaya membuat kerajaan untuk meninggalkan dasar asimilasi di mana tarian singa dianggap sebagai bersifat “tidak Malaysia” dan menerima dasar integrasi, dan kewujudan sekolah rendah dan menengah Cina
Tetapi dalam beberapa dekad kebelakangan ini, kita telah tersalah langkah dalam usaha membina negara dan terpesong daripada prinsip dan dasar asas pembinaan negara yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara, sehingga kita mempunyai Menteri yang tidak menerima prinsip pembinaan negara dan Rukun Negara ini.
Malaysia tidak boleh menjadi “sinar cahaya kepada dunia yang sukar dan terganggu” melainkan kita menghapuskan kegelapan yang semakin meningkat di Malaysia – ekonomi yang sakit yang ditinggalkan di belakang semakin banyak negara dalam enam dekad yang lepas, ditinggalkan di belakang Taiwan, Singapura, Korea Selatan, Hong Kong dan Vietnam dan lebih banyak negara lagi pada masa hadapan; kelumpuhan negara dan kelumpuhan politik akibat pengkhianatan prinsip asas pembinaan negara dengan masyarakat majmuk (demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, badan kehakiman yang bebas, meritokrasi, tadbir urus yang baik, integriti awam dengan rasuah yang minima, hormat terhadap hak asasi manusia dan negara majmuk yang bersatu-padu); dan pecah amanah, salah guna kuasa dan rasuah yang semakin berleluasa sehinggalah Malaysia dikenali sebagai “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk” di pentas dunia di mana Malaysia berada di belakang China, India dan Indonesia dalam Indeks Persepsi Rasuah terbitan Tranparency International.
Inilah yang mesti kita lakukan dalam PRU15.
Pengundi di Malaysia perlu memainkan peranan sebagai Hakim Pao dan menerangi kegelapan dalam kehidupan di Malaysia, bermula dengan memastikan Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri ke-10 – tetapi proses penjanaan semula Malaysia menjadi negara majmuk bertaraf dunia yang hebat adalah satu kerja jangka panjang yang mengambil masa berdekad lamanya, dan bukan hanya untuk lima tahun dalam satu kitaran pilihan raya umum, dan ia tidak akan dicapai oleh Anwar, tetapi mesti diteruskan oleh generasi baharu pemimpin Malaysia yang komited untuk mengutamakan Malaysia.