Bukan saya sahaja yang mengatakan UMNO telah terpesong dari prinsip asal pembinaan negara yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara
Bukan saya sahaja yang mengatakan UMNO telah terpesong dari prinsip asal pembinaan negara yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara.
Empat orang Presiden UMNO yang terawal, Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein, dan Hussein Onn, tidak akan sama sekali membuat kenyataan berterus terang yang dibuat Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, di Perhimpunan MIC pada minggu lepas – bahawa pilihan raya umum yang akan datang ini adalah untuk menyelamatkan “Kluster Mahkamah” UMNO dan Barisan Nasional dari didakwa di mahkamah dan dipenjarakan.
Tidak ada seorang pun dari empat orang Presiden UMNO terawal ini akan membiarkan terkenal Malaysia sebagai sebuah kleptokrasi di seluruh dunia, apatah lagi pula dikenali sebagai “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk”!
Dalam hari-hari awal UMNO, apabila UMNO tidak mempunyai wang, Tunku Abdul Rahman telah menjual rumahnya di Pulau Pinang untuk mendanai urusan UMNO.
Kisah “kolam renang” Razak Hussein pula sudah terkenal selepas diceritakan oleh anak bongsunya, Nazir, di mana bapanya bertanya sambil mengangkat keningnya: “Bagaimanakah rupanya sekiranya Perdana Menteri membelanjakan wang awam untuk membina kolam renang untuk keluarganya?”
Pada tahun 1979, dalam Perhimpunan Agung UMNO, Perdana Menteri ketika itu, Hussein Onn, telah memberikan amaran yang Malaysia akan musnah sekiranya pemimpinnya “tidak jujur, tidak boleh dipercayai, dan korup” dan menyatakan harapannya supaya skandal Bank Rakyat akan menjadi “pengajaran pahit kepada institusi dan agensi kerajaan yang lain, termasuklah syarikat dan anak syarikat yang dibentuk oleh kerajaan”.
Namun, dari skandal Bank Rakyat yang melibatkan RM100 juta, masalah kita terus membesar kepada skandal 1MDB yang melibatkan RM50 billion tiga dekad kemudian, bersama dengan pelbagai lagi skandal mega, termasuklah skandal kapal tempur pesisir (LCS) yang melibatkan RM9 billion baru-baru ini.
Dalam tahun-tahun awal UMNO, pemimpin UMNO meminta orang Melayu dan rakyat untuk berkorban demi masa hadapan negara.
Namun Selepas enam dekad, pemimpin UMNO meminta orang Melayu dan rakyat untuk mengundi UMNO / Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-15 untuk menyelamatkan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional dari penjara.
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Musa Hitam, adalah salah seorang pemimpin yang datang daripada UMNO yang telah menggesa ahli Umno untuk mengemudi parti ke arah yang betul kerana ia telah hanyut daripada “membawa semangat nasionalisme kepada nafsu materialisme, kekayaan dan kepentingan individu”.
Dalam forum anjuran persatuan bekas wakil rakyat UMNO, (Mubarak) di Johor, Musa bimbang Umno tidak akan memenangi jumlah kerusi yang mencukupi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan persekutuan dan menjadi minoriti selepas pilihan raya umum yang akan datang.
Dia berkata kepentingan rakyat tidak lagi diutamakan dalam UMNO yang kini sedang mengalami krisis kepimpinan “yang belum pernah dilihat sebelum ini”.
Musa berkata ahli Umno tidak boleh lagi berdiam diri untuk menjaga kedudukan mereka sendiri dan menegaskan: “Jika kita tidak melakukan sesuatu atau tidak bijak dalam memilih (pemimpin)… Gunakan hanya emosi, sentimen atau wang untuk mengumpul kuasa seperti masa lepas, maka habislah Umno selepas ditolak oleh rakyat”.
Adakah ramalan Musa untuk UMNO akan menjadi kenyataan dalam Pilihan Raya Umum ke-15?
Satu lagi perkara yang tidak akan diterima oleh empat orang Presiden terawal UMNO ini adalah serangan yang dibuat terhadap kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman yang dibuat oleh para pemimpin UMNO hari ini.
Dalam hari-hari awal negara kita, Malaysia melahirkan Ketua Hakim yang merupakan tokoh hebat perundangan, seperti Suffian, Azlan Shah, dan Salleh Abas, kemudian terdapat kelompongan apabila doktrin pemisahan kuasa dan prinsip badan kehakiman yang bebas diselubungi awan ketidaktentuan. Namun pemenjaraan Najib pada 23 Ogos 2022 telah menandakan satu era baharu, di mana badan kehakiman menunjukkan yang mereka tidak akan ditakutkan dari memainkan peranan bebasnya di bawah pimpinan Ketua Hakim Tengku Maimun Tuan Mat.
Empat Presiden terawal UMNO tidak akan menyerang kebebasan badan kehakiman seperti mana yang dilakukan oleh pemimpin UMNO hari ini.
Zahid mendakwa yang dia bimbang mengenai hakisan integriti badan kehakiman dan kononnya perbicaraan SRC International Najib akan tidak lama lagi dirujuk oleh negara-negara Komanwel sebagai satu perbicaraan yang tidak adil.
Bilakah Zahid mula bimbang mengenai reputasi buruk Malaysia di mata dunia, sama ada mengenai kebebasan kehakiman atau kleptokrasi di Malaysia?
Sebagai permulaan, sekiranya Zahid peduli mengenai pendapat dunia, adakah dia akan menjelaskan mengapa dia sebagai Menteri Pertahanan pada bulan Julai 2011, telah mengubah keputusannya sendiri – yang dicadangkan oleh pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) – daripada untuk menempah enam buah LCS Sigma buatan Belanda kepada LCS Gowind keluaran pembuat kapal selam Scorpene dalam masa tiga hari tanpa merujuk dahulu perkara ini dengan pihak TLDM sebagai pengguna akhir – yang kini menjadi punca masalah utama dalam skandal LCS yang melibatkan RM9 billion?
Adakah UMNO mampu untuk kembali kepada prinsip pembinaan negara yang diterapkan oleh tokoh-tokoh penubuhan negara dalam Perlembagaan dan Rukun Negara – raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, badan kehakiman yang bebas, tadbir urus yang baik, integriti awam dengan rasuah yang minima, meritokrasi, hormat terhadap hak asasi manusia, dan perpaduan negara dari masyarakat majmuk pelbagai kaum, bahasa, agama, dan budaya, di mana tidak ada perbezaan di antara rakyat kelas pertama atau kelas kedua berdasarkan kaum, agama, atau kawasan.
Inilah intipati Pilihan Raya Umum ke-15.