Perdana Menteri sementara merendah-rendahkan kedudukan Peguam Negara dengan mengarahkannya untuk menyiasat bekas Peguam Negara, Tommy Thomas
Perdana Menteri sementara, Ismail Sabri, sedang merendah-rendahkan kedudukan dalam perlembagaan Peguam Negara dengan mengarahkannya untuk mendakwa bekas Peguam Negara, Tommy Thomas, kerana bukunya yang bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness”.
Ismail Sabri sedang membawa kemunduran terhadap keadilan di negara dengan mengarahkan Peguam Negara untuk mendakwa Tommy Thomas sedangkan di bawah peruntukan Perkara 145(3) Perlembagaan, Peguam Negara “mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah Syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.”
Ismail Sabri sepatutnya menjunjung Perlembagaan dan bukannya merendahkan Perlembagaan seperti yang dilakukannya dalam ucapannya di Bagan Datuk, di mana dia telah mengarahkan Peguam Negara, Idris Harun, untuk mengambil tindakan terhadap Thomas di bawah peruntukan Akta Rahsia Rasmi (OSA), undang-undang fitnah, dan undang-undang lain dan bahawa dia telah menyah-rahsiakan laporan siasatan ke atas buku Thomas supaya laporan ini dapat digunakan sebagai “peluru” politik untuk menyerang Pakatan Harapan.
Ismail Sabri sedang memperbodohkan peruntukan perlembagaan mengenai kebebasan Peguam Negara untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding.
Perkara ini adalah satu contoh jelas kes penindasan politik yang disorokkan di sebalik satu siasatan dan pendakwaan.