Malaysia masih “boleh diselamatkan” dan perlu diselamatkan
Perdana Menteri Malaysia yang keenam, Najib Razak, telah mengubah Malaysia menjadi sebuah “kleptokrasi” global.
Presiden UMNO, Zahid Hamidi, mungkin memegang rekod dunia apabila dia menjadikan satu pilihan raya umum sebagai pertempuran untuk menyelamatkan para pemimpin UMNO dan Barisan Nasional dari didakwa di mahkamah atas kesalahan rasuah.
Perdana Menteri kesembilan, Ismail Sabri, telah mengatakan yang dia patut memecat 12 orang Menteri Kabinet yang menghantar surat kepada Yang di Pertuan Agong untuk membantah pembubaran Parlimen, memberikan bukti tambahan yang dia adalah Perdana Menteri yang paling lemah dalam kalangan sembilan orang Perdana Menteri Malaysia.
Adakah Malaysia akan terus menjadi bahan jenaka dan cemuhan di kawasan serantau dan di peringkat antarabangsa, sedangkan kita sepatutnya menjadi negara contoh dalam dunia ketiga, “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu”, seperti yang dikatakan oleh Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman?
Niat Tawfik Ismail, anak sulung timbalan perdana menteri kedua negara, arwah Dr. Ismail Abdul Rahman, untuk mencabar Presiden UMNO Zahid Hamidi dalam pertempuran “rakyat menentang rasuah” menjadi penggambar intipati PRU15.
Saya berjalan di Bukit Kiara semalam dan semasa berjalan, ada dua orang telah mendekati saya dan bertanya sama ada saya adalah benar-benar saya, dan apabila saya mengiyakan, mereka bertanya sama ada selamat untuk saya berjalan bersendirian di Bukit Kiara. Saya katakan kepada mereka saya berasa benar-benar selamat.
Malaysia belum mencapai peringkat menjadi sebuah negara yang rosak, berpecah belah, dan gagal, walaupun kita telah jatuh jauh dari sasaran kita untuk menjadi sebuah negara majmuk hebat yang bertaraf dunia.
Malaysia masih “boleh diselamatkan” dan perlu diselamatkan.
Kita tidak mahu Malaysia menjadi sebuah kleptokrasi global.
Kita tidak mahu sebuah pilihan raya umum menjadi medan pertempuran untuk menyelamatkan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional dari didakwa di mahkamah akibat rasuah.
Kita tidak mahu seorang Perdana Menteri yang tidak berguna yang tidak tahu sama ada dia patut datang atau pergi.
Malaysia adalah titik pertemuan empat tamadun hebat dunia – Melayu/Islam, Cina, India, dan Barat.
Bolehkah Malaysia menggunakan nilai-nilai terbaik dari keempat-empat tamadun ini untuk menjadi Malaysia “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu”?
Dalam beberapa dekad yang lepas, kita telah tersilap langkah dalam usaha membina negara dan terpesong dari prinsip dan dasar pembinaan negara yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara, sehingga kita kini mempunyai Menteri yang tidak menerima prinsip-prinsip ini mahupun Rukun Negara.
Namun kita tidak boleh berputus asa.
Adakah tarikh 23 Ogos 2022 akan menandakan titik peralihan dalam usaha pembinaan negara, di mana seorang Perdana Menteri bukan sahaja dihantar ke penjara atas kesalahan rasuah, tetapi tarikh ini juga menandakan kembalinya prinsip dan dasar pembinaan negara yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara yang telah dilupakan oleh para pemimpin kerajaan sebelum ini – raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, badan kehakiman yang bebas, tadbir urus yang baik, integriti awam dengan rasuah yang minima, meritokrasi, hormat terhadap hak asasi manusia, dan perpaduan negara dari masyarakat majmuk pelbagai kaum, bahasa, agama, dan budaya di mana tidak ada perbezaan di antara rakyat kelas pertama atau kelas kedua berdasarkan kaum, agama, atau kawasan.
Sejak dari tahun 70an, lebih dari sejuta rakyat Malaysia telah berpindah ke serata dunia, ke negara-negara seperti United Kingdom, Australia, New Zealand, Kanada, dan Amerika Syarikat, namun mereka telah berusaha bertungkus lumus dalam Pilihan Raya Umum 2018 untuk menamatkan hegemoni politik dan kleptokrasi UMNO.
Bolehkah Diaspora Malaysia ini menjayakan usaha gagah berani sebegini lagi untuk PRU15, kerana Malaysia masih “boleh diselamatkan” dan perlu diselamatkan.