Adakah Zahid sedar yang dia mungkin telah melakukan tiga kesalahan jenayah dalam ucapannya di Perhimpunan MIC pada hari Isnin lepas?
Adakah Presiden UMNO, Zahid Hamidi, sedar yang dia mungkin telah melakukan sekurang-kurangnya tiga kesalahan jenayah dalam ucapannya di Perhimpunan MIC pada hari Isnin lepas?
Zahid telah mempunyai tujuh hari untuk menjelaskannya namun dia gagal untuk memberikan bukti mengenai “perisytiharan perang” UMNO dan Barisan Nasional untuk Pilihan Raya Umum ke-15 semasa ucapannya di perhimpunan MIC.
Dia mengatakan:
“Calon dari MIC, UMNO, MCA, dan PBRS perlu menang dengan dominan. Pilihan Raya ini adalah ibu kepada semua pilihan raya. Kalau kita kecundang, nasib kita lebih buruk daripada pilihan raya yang lepas.
“Bukan saya saja kena charge, Tok Mat (Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan), you are in the waiting list. Tan Sri Vicky (Presiden MIC SA Vigneswaran) don’t laugh… you are also included. What more Datuk Seri Saravanan (timbalan presiden MIC dan menteri sumber manusia).
“(Presiden MCA dan menteri pengangkutan Wee) Ka Siong? They won’t forget you. You’ll be charged as well. (Menteri pertahanan) Hisham you don’t smile…
“Bagi mengelakkan ini, kita wajib menang dengan dominan di dalam Pilihan Raya Umum ke-15 ini saudara dan saudari,”
Perkara ini merupakan perisytiharan perang UMNO dan BN terhadap kedaulatan undang-undang dan badan kehakiman yang bebas – bertentangan dengan usaha untuk menetapkan semula dan mengembalikan negara kepada prinsip dan dasar pembinaan negara yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara di mana sepatutnya ada tadbir urus yang baik dan rasuah yang minima.
Walaupun Zahid telah mengadu mengatakan yang ucapannya di Perhimpunan MIC ini telah “diputar belit” oleh pihak lawannya, dia gagal untuk menjelaskan bagaimana ucapan ini telah “diputar belit” oleh “pihak lawannya” sehinggakan Mufti Perlis, Mohd Asri Zainal Abidin, juga telah “terkesima” dengan ucapannya ini.
Zahid juga gagal untuk menjelaskan, Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hassan, Menteri UMNO Hishammuddin Hussein, Presiden MCA, Wee Ka Siong, Presiden dan Timbalan Presiden MIC, SA Vigneswaran dan M Saravanan semua ini berada di dalam “senarai menunggu” siapa dan apakah tuduhan yang akan dibawa terhadap mereka – sama ada mereka berada dalam senarai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis, atau Pejabat Peguam Negara?
Adakah Zahid hanya mencerita pembohongan semata-mata dalam “perisytiharan perang” UMNO dan Barisan Nasional untuk Pilihan Raya Umum ke-15 ini?
Zahid patut sedar yang dia boleh didakwa atas sekurang-kurangnya tiga kesalahan, pertamanya Seksyen 1241 Kanun Keseksaan, yang menyatakan:
“124I. Mana-mana orang yang, melalui mulut ke mulut atau bertulis atau dalam mana-mana akhbar, berkala, buku, pekeliling, atau penerbitan bercetak lain atau melalui apa-apa cara lain termasuk cara elektronik menyebarkan laporan palsu atau membuat kenyataan palsu yang berkemungkinan menyebabkan kebimbangan awam, hendaklah dihukum dengan penjara selama tempoh yang boleh dilanjutkan sehingga lima tahun.”
Kedua, di bawah Seksyen 203 Kanun Keseksaan yang berbunyi:
“203. Sesiapa, mengetahui atau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa sesuatu kesalahan telah dilakukan, memberikan apa-apa maklumat berkenaan dengan kesalahan itu yang dia tahu atau percaya sebagai palsu, hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh dilanjutkan sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.”
Dan ketiga, kerana menerbitkan “berita palsu” di bawah Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, yang menyatakan:
“8A. (1) Jika dalam mana-mana penerbitan terdapat dengan niat jahat menerbitkan apa-apa berita palsu, pencetak, penerbit, editor dan penulisnya adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah, apabila disabitkan, boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau kedua-duanya.
“(2) Bagi maksud seksyen ini, niat jahat hendaklah dianggap sebagai keingkaran bukti yang menunjukkan bahawa, sebelum penyiaran, tertuduh mengambil langkah yang munasabah untuk mengesahkan kebenaran berita itu.
“(3) Tiada pendakwaan bagi sesuatu kesalahan di bawah seksyen ini boleh dimulakan tanpa kebenaran bertulis daripada Pendakwa Raya.”
Sebelum terlambat, Zahid harus menjelaskan sama ada dia berbohong dan sama ada dia boleh dipercayai dengan apa yang dia katakan pada Perhimpunan MIC Isnin lalu.