Zahid tidak boleh mengambil ringan ucapannya di MIC dan sebaliknya perlu menjelaskan niat dan makna sebenar ucapan ini memandangkan ucapan ini adalah merupakan “pengisytiharan perang” UMNO dan BN untuk PRU15
Presiden UMNO dan Barisan Nasional, Zahid Hamidi, tidak boleh mengambil ringan ucapannya di perhimpunan MIC dan sebaliknya perlu menjelaskan niat dan makna sebenar ucapan ini memandangkan ucapan ini adalah merupakan “pengisytiharan perang” UMNO dan Barisan Nasional untuk Pilihan Raya Umum ke-15.
Semasa Zahid bercakap seminggu yang lepas pada hari Isnin, dia tahu yang Parlimen akan dibubarkan pada hari itu, dan dia menjelaskan apakah perjuangan sebenar dalam Pilihan Raya Umum ke-15 untuk UMNO dan BN:
Dia mengatakan:
“Calon dari MIC, UMNO, MCA, dan PBRS perlu menang dengan dominan. Pilihan Raya ini adalah ibu kepada semua pilihan raya. Kalau kita kecundang, nasib kita lebih buruk daripada pilihan raya yang lepas.
“Bukan saya saja kena charge, Tok Mat (Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan), you are in the waiting list. Tan Sri Vicky (Presiden MIC SA Vigneswaran) don’t laugh… you are also included. What more Datuk Seri Saravanan (timbalan presiden MIC dan menteri sumber manusia).
“(Presiden MCA dan menteri pengangkutan Wee) Ka Siong? They won’t forget you. You’ll be charged as well. (Menteri pertahanan) Hisham you don’t smile…
“Bagi mengelakkan ini, kita wajib menang dengan dominan di dalam Pilihan Raya Umum ke-15 ini saudara dan saudari,”
Zahid mengatakan yang ucapannya ini telah “diputar belit” oleh pihak lawannya.
Saya tidak sedar pula Mufti Perlis, Mohd Asri Zainal juga merupakan salah seorang “pihak lawannya” memandangkan Mufti Perlis ini telah menulis di Twitter:
“Terkesima mendengar, bagaimana secara terang orang politik boleh mengaku tujuan untuk menang PRU adalah bagi mengelakkan kes rasuah mereka dibicarakan di mahkamah. Jika itu berlaku, negara ini akan jadi SYURGA RASUAH”
Kedua, dia mengatakan ucapannya di perhimpunan MIC telah dimanipulasi dan diambil secebis-cebis dan digunakan untuk memfitnahnya sedangkan “konteks sebenar” ucapan ini adalah pemimpin BN berhadapan dengan risiko penindasan politik sekiranya pihak pembangkang menang dalam PRU15.
Seminggu sudah berlalu tetapi Zahid masih gagal menjelaskan bagaimana ucapannya ini “diputar belit”!
Bagaimanakah nasib pemimpin UMNO dan BN akan menjadi “lebih buruk berbanding dengan pilihan raya yang lepas” sekiranya UMNO dan BN gagal untuk membentuk kerajaan?
Apa yang sudah berlaku sebenarnya adalah Zahid sendiri yang memutar belit ucapannya di perhimpunan MIC.
Mana-mana orang yang waras yang menonton ucapan Zahid ini dapat melihat dengan jelas yang perbuatan Zahid dalam menamakan seorang demi seorang pemimpin UMNO dan BN sebagai suatu perkara yang serius, yang menunjukkan Zahid tahu mengenai kesalahan mereka sehingga mereka berada dalam “senarai menunggu” untuk didakwa di mahkamah.
Zahid perlu menjelaskan sama ada Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hassan, Menteri UMNO, Hishammuddin Hussein, Presiden MCA, Wee Ka Siong, dan Presiden serta Timbalan Presiden MIC, SA Vigneswaran dan M Saravanan sedang berada dalam “senarai menunggu” untuk didakwa di mahkamah, dan jika ya, atas kesalahan apa dan dalam “senarai menunggu” siapakah mereka ini – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, pihak Polis, atau Pejabat Pendakwa Raya?
Atau adakah Zahid hanya menceritakan satu penipuan dalam “pengisytiharan perang” UMNO dan Barisan Nasional untuk pilihan raya umum ke-15 ini, dan bahawa apa-apa yang dikatakannya sepatutnya tidak dipandang serius?