Adakah pemimpin berlima UMNO-BN berada dalam senarai menunggu untuk didakwa atau tidak? Sekiranya ya, atas tuduhan apa?
Presiden UMNO, Zahid Hamidi, telah menuduh “pihak lawannya” sebagai “memutar belit” ucapan MICnya.
Dia mengatakan yang dia bercakap mengenai penindasan politik dan pendakwaan terpilih dan risiko yang dihadapi pemimpin BN.
Penjelasan lanjut oleh Zahid diperlukan. Adakah lima pemimpin UMNO-Barisan Nasional yang disebutkannya seorang demi seorang dalam Perhimpunan MIC pada hari Isnin berada dalam “senarai menunggu” untuk didakwa di mahkamah atau tidak, atau adakah perkara ini hanya satu imaginasinya sahaja?
Tambahan lagi, sekiranya mereka ini sedang berada dalam “senarai menunggu” untuk didakwa di mahkamah, apakah tuduhan yang akan dibawa terhadap mereka?
Tambahan lagi, “senarai menunggu” siapakah yang dimaksudkan Zahid?
Lima pemimpin UMNO-Barisan Nasional yang dinamakan Zahid dalam ucapannya di perhimpunan MIC adalah Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hassan, Menteri UMNO, Hishammuddin Hussein, Presiden MCA, Wee Ka Siong, Presiden dan Timbalan Presiden MIC, S. A. Vigneswaran dan M. Saravanan.
Kenyataan presiden MIC, SA Vigneswaran yang cuba membela ucapan Zahid ini tidak membantu, apabila dia mendakwa yang Zahid merujuk kepada “politik dendam” Pakatan Harapan selepas pilihan raya umum yang lepas.
Vigneswaran patut menjelaskan apakah yang dimaksudkan sebagai “politik dendam” Pakatan Harapan, adakah dia merujuk kepada pendakwaan bekas Perdana Menteri Najib Razak, atas tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram dalam skandal 1MDB yang melibatkan RM50 billion.
Penting untuk diperingati, tidak ada satu pun parti BN, sama ada UMNO, MCA, atau MIC, yang pernah mengambil pendirian terhadap skandal 1MDB – sama ada mereka menyokong atau menentang skandal 1MDB, yang telah membawa nama buruk kepada Malaysia sehingga dikenali di seluruh dunia sebagai “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk”.
Adakah dia cuba mengatakan yang sembilan orang hakim di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan, dan Mahkamah Persekutuan semuanya salah apabila mereka mendapati Najib bersalah atas tuduhan rasuah ini dan menghantar Najib ke penjara?
Adakah Vigneswaran dan pemimpin UMNO-BN yang lain sedar yang dalam masa tiga minggu lagi, Malaysia akan dimalukan lagi di seluruh dunia apabila perbicaraan penyanyi Pras Michael dan Jho Low atas cubaan mereka untuk mempengaruhi dasar AS mengenai skandal 1MDB bermula di New York – bagaimana Jho Low dan Najib telah melantik Pras untuk membantu mereka mencuba mencemar dan mempengaruhi tokoh-tokoh politik dari kedua-dua belah parti Demokrat dan Republikan.
Terdapat senarai yang mengandungi tidak kurang dari 72 orang saksi, yang merangkumi pelobi politik untuk Obama dan Trump; nama-nama besar seperti bintang Hollywood, Leo di Caprio; dan tokoh politik dari pentadbiran Trump yang dijangkakan memberikan keterangan dalam perbicaraan di New York yang berkaitan dengan skandal 1MDB ini.
Adakah perbicaraan 1MDB di New York ini menjadi antara sebab Zahid mahukan “kemenangan besar” untuk UMNO dan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-15?