Mufti Perlis, Mohd Asri, juga “terkesima” dengan matlamat UMNO dan BN dalam PRU15 untuk menjadikan Malaysia “syurga rasuah”
Mufti Perlis, Mohd Asri Zainal Abidin, juga “terkesima” dengan matlamat UMNO dan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-15 untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah “syurga rasuah”, seperti yang dikatakan oleh Presiden UMNO yang merupakan Pengerusi Barisan Nasional, Zahid Hamidi, dalam ucapannya di Perhimpunan MIC pada hari Isnin.
Mohd Asri berciap semalam: “Terkesima mendengar, bagaimana secara terang orang politik boleh mengaku tujuan untuk menang PRU adalah bagi mengelakkan kes rasuah mereka dibicarakan di mahkamah. Jika itu berlaku, negara ini akan jadi SYURGA RASUAH”
Perkara ini terjadi selepas Zahid mendakwa yang ucapannya dalam perhimpunan perwakilan MIC pada hari Isnin telah “diputar belit” oleh pihak lawannya.
Saya tidak sedar pula sekiranya Mohd Asri ini dikira sebagai berada dalam kategori “pihak lawan” Zahid dan perkara ini menjadi bukti kuat yang Zahid gagal menjelaskan pengakuan “berterus-terang” dalam ucapan MICnya yang telah menunjukkan bahawa:
(i) Bukan sahaja ada “Kluster Mahkamah” UMNO, tetapi ada juga “Kluster Mahkamah” BN;
(ii) Dia menamakan pemimpin UMNO/BN yang berada dalam “senarai menunggu” untuk didakwa atas kesalahan yang telah dilakukan mereka – orang-orang seperti Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hassan, Menteri UMNO Hishammuddin Hussein, Presiden MCA Wee Ka Siong, Presiden MIC, S.A. Vigneswaran, dan Timbalan Presiden MIC M. Saravanan.
Saya tidak tahu apakah bentuk tuduhan rasuah atau tuduhan lain yang boleh dibawa terhadap Mohamad Hassan, Hishammuddin Hussein, Wee Ka Siong, S. A. Vigneswaran, atau M. Saravanan, tetapi Zahid sepatutnya lebih tahu.
Apa yang membuatkan tuduhan Zahid ini lebih berat adalah apabila mereka berlima ini terus berdiam diri selepas ucapan Zahid yang mengatakan mereka berada dalam “senarai menunggu” untuk dituduh di mahkamah.
Saya telah katakan yang ucapan Zahid di majlis MIC ini merupakan contoh utama perbezaan di antara UMNO pada hari ini dengan UMNO dalam hari-hari awal parti tersebut di bawah pimpinan Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein, dan Hussein Onn.
Dalam hari-hari awal UMNO, ketika UMNO tidak mempunyai wang, Tunku telah menjual rumahnya di Pulau Pinang untuk mendanai urusan UMNO, manakala kisah “kolam renang” Razak Hussein pula sudah terkenal, di mana seorang Perdana Menteri tidak membelanjakan wang rakyat untuk membina kolam renang untuk keluarganya.
Hussein Onn, yang terkenal dengan integritinya, telah memberikan amaran kepada UMNO pada tahun 1979, bahawa Malaysia akan hancur sekiranya pemimpinnya “tidak jujur, tidak boleh dipercayai, dan korup” dan menyatakan harapannya supaya skandal Bank Rakyat akan menjadi satu “pengajaran pahit kepada institusi dan agensi kerajaan yang lain, termasuklah syarikat dan anak syarikat yang dibentuk oleh Kerajaan”.
Adakah kita sedang menghampiri senario yang dikatakan oleh Hussein Onn memandangkan amaran “pengajaran pahit” skandal Bank Rakyat yang melibatkan RM100 juta ini jelas tidak berjaya dan rasuah terus berkembang meluas tiga dekad kemudian sehingga kita kini berhadapan dengan skandal 1MDB yang melibatkan RM50 billion, dan juga pelbagai lagi skandal mega lain – untuk menjadi apa yang dikatakan oleh Mufti Perlis sebagai “syurga rasuah”?
Dalam tahun-tahun awal UMNO, pemimpin UMNO meminta orang Melayu dan rakyat Malaysia untuk berkorban demi masa hadapan negara.
Selepas enam dekad, pemimpin UMNO meminta orang Melayu dan rakyat untuk mengundi UMNO / Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-15 untuk menyelamatkan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional dari penjara.
Adakah ini takdir Malaysia?
Zahid mendakwa yang ucapan MICnya “diputar belit” oleh pihak lawannya.
Saya telah cadangkan yang Zahid patut membenarkan panel bebas yang dipersetujui bersama oleh Barisan Nasional, Perikatan Nasional, dan Pakatan Harapan, untuk menentukan sama ada ucapan Zahid di perhimpunan MIC ini telah “diputar belit” oleh pihak lawannya atau sebenarnya merupakan pengakuan “berterus terangnya” sendiri terhadap liabiliti jenayah pemimpin UMNO dan Barisan Nasional.
Para pengamal media sudah tentunya sesuai untuk menjadi ahli panel bebas sebegini.