Biar sebuah panel bebas yang dipersetujui oleh BN, PN, dan PH putuskan sama ada ucapan Zahid di Perhimpunan MIC “diputar belit” oleh lawannya
Presiden UMNO yang juga merupakan Pengerusi Barisan Nasional, Ahmad Zahid Hamidi, telah mendakwa yang ucapannya di perhimpunan perwakilan MIC baru-baru ini telah “diputar belit” oleh pihak lawannya.
Dia mengatakan yang dia dengan jelas bercakap mengenai penindasan politik dan terpilih.
Dia mengatakan: “Itulah maksud saya risiko pemimpin BN jika musuh menang PRU-15.”
Zahid telah membuat cubaan yang amat lemah untuk menjelaskan pengakuan berterus terangnya dalam ucapan di perhimpunan MIC, satu perkara yang tidak dapat diterima oleh mana-mana orang yang berfikiran jelas.
Pengakuan “terus terang” Zahid adalah;
(i) Bukan sahaja ada “Kluster Mahkamah” UMNO, tetapi ada juga “Kluster Mahkamah” BN;
(ii) Dia menamakan pemimpin UMNO/BN yang berada dalam “senarai menunggu” untuk didakwa atas kesalahan yang telah dilakukan mereka – orang-orang seperti Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hassan, Menteri UMNO Hishammuddin Hussein, Presiden MCA Wee Ka Siong, Presiden MIC, S.A. Vigneswaran, dan Timbalan Presiden MIC M. Saravanan.
Saya tidak tahu apakah bentuk tuduhan rasuah atau tuduhan lain yang boleh dibawa terhadap Mohamad Hassan, Hishammuddin Hussein, Wee Ka Siong, S. A. Vigneswaran, atau M. Saravanan, tetapi Zahid sepatutnya lebih tahu.
Apa yang membuatkan tuduhan Zahid ini lebih berat adalah apabila mereka berlima ini terus berdiam diri selepas ucapan Zahid yang mengatakan mereka berada dalam “senarai menunggu” untuk dituduh di mahkamah.
Adakah mereka berlima ini memang ada dalam “senarai menunggu” untuk dituduh di mahkamah?
Saya tidak tahu tetapi kelihatan seperti Zahid lebih tahu. Mereka berlima juga mungkin tahu – dan sebab inilah perbuatan mereka untuk berdiam diri menjadi satu perkara yang tidak dijangka dan mencurigakan!
Berapa lama lagikah mereka akan terus berdiam diri mengenai dakwaan yang mereka berada dalam “senarai menunggu” untuk didakwa di mahkamah?
Ucapan Zahid ini adalah contoh terbaik bahawa UMNO pada hari ini jauh berbeza dengan UMNO dalam tahun-tahun awalnya semasa di bawah pimpinan Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein, dan Hussein Onn.
Veteran UMNO, Yussof Latiff telah menceritakan bahawa dalam hari-hari awal UMNO, ketika UMNO tidak mempunyai wang, Tunku telah menjual rumahnya di Pulau Pinang untuk mendanai urusan UMNO.
Kisah “kolam renang” Razak Hussein juga telah terkenal selepas diceritakan oleh anak bongsunya, Nazir, dalam bukunya yang bertajuk “What’s In a Name” (hal. 51) di mana Nazir menulis:
“Semasa kecil, saya bersama dengan abang-abang saya pernah ke pejabat bapa kami dengan satu permintaan: kami meminta kepadanya untuk membina sebuah kolam renang di dalam perkarangan Seri Taman. Abang sulung saya, Najib, merupakan ketua rombongan ini, mengumpulkan kami semua untuk meyakinkan bapa kami, sambil berdiri di hadapan meja bapa kami di pejabatnya. Bapa saya mendengar cadangan kami ini dengan teliti dan kemudiannya dengan tenang, menolaknya. “Bagaimanakah rupanya,” beliau bertanya, sambil mengangkat keningnya, “sekiranya Perdana Menteri membelanjakan wang rakyat untuk membina sebuah kolam renang untuk keluarganya?”
Pada tahun 1979, dalam Perhimpunan Agung UMNO, Hussein Onn telah memberikan amaran yang Malaysia akan hancur sekiranya pemimpinnya “tidak jujur, tidak boleh dipercayai, dan korup” dan menyatakan harapannya supaya skandal Bank Rakyat akan menjadi satu “pengajaran pahit kepada institusi dan agensi kerajaan yang lain, termasuklah syarikat dan anak syarikat yang dibentuk oleh Kerajaan”.
Dari skandal Bank Rakyat yang melibatkan RM100 juta pada tahun 1979, keadaan di negara kita telah menjadi semakin parah dengan skandal 1MDB yang melibatkan RM50 billion selepas tiga dekad kemudian, dengan pelbagai skandal mega lain juga.
Dalam tahun-tahun awal UMNO, pemimpin UMNO telah meminta orang Melayu dan rakyat untuk berkorban demi masa hadapan negara.
Selepas enam dekad, pemimpin UMNO meminta orang Melayu dan rakyat untuk mengundi UMNO / Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-15 untuk menyelamatkan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional dari penjara.
Zahid mendakwa yang ucapan MICnya “diputar belit” oleh pihak lawannya.
Sekiranya betul, Zahid patut membenarkan panel bebas yang dipersetujui bersama oleh Barisan Nasional, Perikatan Nasional, dan Pakatan Harapan, untuk menentukan sama ada ucapan Zahid di perhimpunan MIC ini telah “diputar belit” oleh pihak lawannya atau sebenarnya merupakan pengakuan “berterus terangnya” sendiri terhadap liabiliti jenayah pemimpin UMNO dan Barisan Nasional.