Adakah PRU15 akan bertumpu kepada membebaskan Najib dari penjara atau membebaskan rakyat Malaysia dari kemiskinan, exploitasi, ketidaksamaan, dan ketidakadilan dan meletakkan Malaysia di tempatnya untuk menjadi sebuah negara hebat majmuk bertaraf dunia?

Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, telah membuat satu ucapan yang berterus terang di Kongres MIC pada hari Isnin, beberapa ketika sebelum Perdana Menteri, Ismail Sabri, muncul di televisyen untuk mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberikan laluan untuk mengadakan pilihan raya umum ke-15.

Ucapan Zahid adalah satu pengakuan jelas yang pimpinan UMNO mahu mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 secepat mungkin bukan untuk UMNO, orang Melayu, rakyat Malaysia, mahupun negara, tetapi hanya untuk menyelamatkan “Kluster Mahkamah” dalam UMNO dan Barisan Nasional dari didakwa di mahkamah.

Apa yang lebih mengejutkan adalah Zahid membuat pendedahan yang mengatakan bukan sahaja ada “Kluster Mahkamah” UMNO, tetapi ada juga “Kluster Mahkamah” Barisan Nasional, menyebut nama seorang demi seorang yang dalam “senarai menunggu” untuk didakwa di mahkamah sekiranya UMNO-BN tidak memenangi pilihan raya, orang-orang seperti Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hassan; Menteri UMNO, Hishammuddin Hussein; Presiden MCA, Wee Ka Siong; Presiden MIC, S.A. Vigneswaran; dan Timbalan Presiden MIC, M. Saravanan.

Kesunyian mereka semua ini sejak hari Isnin sangatlah membingitkan.

Zahid mungkin tahu lebih banyak perkara berbanding orang ramai, tetapi kini lima pemimpin UMNO, MCA, dan MIC yang disebutkan Zahid ini perlulah mempertahankan diri mereka dari apa yang dikatakan Zahid.

Selepas ucapan berterus terang Zahid di Kongres MIC ini, tidak ada keperluan untuk mengadakan apa-apa manifesto lain untuk Barisan Nasional dalam PRU15, selain dari “Bebaskan Kluster Mahkamah UMNO dan Barisan Nasional dari didakwa di mahkamah dan dihantar ke penjara!”.

Lim Kit Siang Veteran DAP