Pilihan Raya Umum ke-15 adalah pertempuran di antara masa lepas dan masa hadapan – sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan negara gagal seperti Sri Lanka atau sebuah negara majmuk bertaraf dunia menjelang ulang tahun ke-100 Malaysia
Akhirnya ia sudah ditentukan.
Parlimen sudah dibubarkan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15.
Pilihan Raya Umum ke-15 ini akan menjadi medan pertempuran di antara masa lepas dan masa hadapan – sama ada Malaysia menjadi sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan negara gagal seperti Sri Lanka menjelang ulang tahun ke-100 negara, atau menjadi sebuah negara majmuk hebat yang bertaraf dunia.
Rakyat Malaysia kini perlu memilih, sama ada mahu melihat Malaysia mundur ke masa lampau – yang telah menyaksikan Malaysia sebagai negara kedua terkaya di Asia dalam tahun-tahun awal negara terus ketinggalan di belakang negara-negara seperti Taiwan, Singapura, Hong Kong, Korea Selatan, dan Vietnam, dan kini semakin hampir ditinggalkan di belakang China, Indonesia, dan India – atau memberanikan diri untuk membina masa hadapan baharu dengan menetapkan semula dan mengembalikan negara kepada prinsip dan dasar asas pembinaan negara yang telah diterapkan dalam Perlembagaan dan Rukun Negara, namun dilupakan oleh para pemimpin kerajaan di negara kita – prinsip dan dasar raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, badan kehakiman yang bebas, tadbir urus yang baik, integriti awam dengan seminima mungkin rasuah, meritokrasi, hormat terhadap hak asasi manusia, dan perpaduan negara dari masyarakat majmuk pelbagai kaum, bahasa, agama, dan budaya di Malaysia, di mana tidak ada pemisahan di antara rakyat kelas pertama atau kelas kedua, baik dari segi kaum, agama, atau kawasan.
Pilihannya tidaklah mudah.
Kerana politik toksik dan perkauman yang telah meracuni landskap politik Malaysia dalam enam dekad setengah yang lepas akan muncul menunjukkan sisi terburuknya dalam era maklumat masa kini dengan berita palsu dan fitnah yang diterbitkan sekelip mata.
Namun, keadaannya tidaklah penuh suram dan tanpa harapan.
Seperti mana Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 telah mencapai keajaiban politik dan menumbangkan gabungan UMNO-BN yang sebelum ini dilihat kebal, 23 Ogos 2022 memberikan harapan yang Pilihan Raya Umum ke-15 boleh membawa satu lagi keajaiban politik untuk menetapkan semula dan mengembalikan Malaysia kepada prinsip dan dasar yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara – di mana panel lima orang hakim Mahkamah Persekutuan telah menyertai empat orang hakim yang lain dalam bersetuju untuk menghantar bekas Perdana Menteri Najib Razak ke penjara atas kesalahan rasuah, menjadi satu bukti bahawa pemulihan kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman ini bukanlah hanya khayalan, sebaliknya merupakan satu usaha yang sedang berjalan.
Perkara ini menjadi bukti terkuat bahawa Malaysia telah muncul kembali dari empat dekad kegelapan, di mana prinsip pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, dan badan kehakiman yang bebas diselaputi awan gelap sehingga sebuah badan antarabangsa ke Malaysia yang diketuai oleh International Commission of Jurists pernah sekali menerbitkan laporan yang bertajuk “Keadilan Terancam” mengenai Malaysia!
Rakyat Malaysia kini perlu membuat pilihan – untuk mengundi memilih masa hadapan yang lebih baik, atau kembali kepada masa lampau yang buruk.