Adakah Malaysia akan berhadapan dengan satu lagi minggu yang memalukan di mana persoalan terbesar yang berlegar dalam minda rakyat adalah sama ada Parlimen akan dibubarkan atau tidak?
Adakah Malaysia akan berhadapan dengan satu lagi minggu yang memalukan di mana persoalan terbesar yang berlegar dalam minda rakyat adalah sama ada Parlimen akan dibubarkan atau tidak?
Tidak menjadi perkara yang membanggakan buat Perdana Menteri Kesembilan, Ismail Sabri, atau Malaysia apabila persoalan mengenai sama ada Parlimen akan dibubarkan atau tidak ini telah berjaya melumpuhkan kerajaan, dengan para Menteri yang tidak tahu sama ada mereka perlu ke parlimen atau meninggalkan parlimen.
Kerana inilah saya telah meminta Ismail Sabri sebelum ini untuk mengumumkan yang keutamaan kerajaan pada masa ini adalah krisis ekonomi yang dihadapi rakyat akibat peningkatan harga barangan dan penyusutan nilai ringgit dan juga untuk menyiap-sediakan negara untuk musim tengkujuh dan bencana banjir – yang telah meragut 54 nyawa dan menyebabkan kerosakan yang bernilai RM6.5 billion pada tahun lepas – dan bukannya untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15, supaya tumpuan terhadap persoalan sama ada Parlimen akan dibubarkan sebelum atau selepas pembentangan Belanjawan 2023 ini dapat dialihkan ke arah perkara lain.
Ismail Sabri juga perlu sedar yang pengumuman pembatalan proklamasi darurat untuk dua kerusi Parlimen di Batu Sapi dan Grik dan satu kerusi DUN di Bugaya, Sabah, akan terus memarakkan spekulasi mengenai pembubaran Parlimen selepas pembentangan Belanjawan 2023 ini.
Saya telah tekankan bahawa Ahli-ahli Parlimen, tanpa mengira parti, perlu melindungi maruah dan nama baik Parlimen Malaysia dan tidak boleh membiarkan 38 orang Ahli Parlimen untuk mencemarkan nama Parlimen semata-mata kerana pimpinan “Kluster Mahkamah” dalam UMNO mahu melarikan diri daripada hukuman penjara akibat kesalahan rasuah mereka.
Amatlah tidak bertanggungjawab untuk mengadakan pilihan raya umum ketika negara sedang berhadapan dengan musim tengkujuh dan bencana banjir, di mana terdapat kemungkinan kehilangan nyawa dan kerosakan berbillion ringgit harta benda, dan seorang Perdana Menteri yang membubarkan Parlimen dalam keadaan seperti ini akan diingati untuk tindakan buruk ini selama bergenerasi.
Perdana Menteri Ismail Sabri patut mengumumkan yang Dewan Rakyat dan Dewan Negara akan bersidang seperti yang dirancang dari 3 Oktober sehingga 7 Disember dan tidak akan ada sebarang cubaan untuk memendekkan sidang perbahasan dan kelulusan Belanjawan 2023 di Parlimen, sama ada di peringkat di Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara melalui pembubaran Parlimen.