Adakah Parlimen akan dibubarkan pada hari esok atau lusa?
Persoalan utama yang berlegar dalam fikiran rakyat Malaysia hari ini adalah bukan sama ada Malaysia bakal berhadapan dengan musim tengkujuh dan bencana banjir yang dahsyat akibat perubahan iklim, yang berkemungkinan mengorbankan lebih ramai dari 54 kehilangan nyawa dan kerosakan bernilai RM6.5 billion yang disaksikan pada tahun lepas, atau krisis ekonomi yang dihadapi rakyat Malaysia atas peningkatan harga barang makanan dan penyusutan nilai ringgit, atau pembentangan Belanjawan 2023, sebaliknya, tumpuan bertumpu kepada persoalan sama ada Parlimen akan dibubarkan esok atau lusa.
Saya bakal terkejut sekiranya Parlimen dibubarkan esok atau lusa, kerana perkara ini bermakna kita mempunyai seorang Perdana menteri dengan tempoh berkhidmat yang paling pendek, 14 bulan, dan juga seorang Perdana Menteri yang amat tidak bertanggungjawab yang melarikan diri dari tanggungjawabnya untuk membantu rakyat Malaysia berhadapan dengan bencana banjir dan membantu meringankan beban ekonomi yang dihadapi rakyat akibat peningkatan harga dan penyusutan nilai ringgit.
Apa yang lebih teruk lagi, kita akan mempunyai seorang Perdana Menteri yang bersedia untuk menghina Parlimen dengan mengawalkan persidangan Parlimen Oktober 2022 dan pembentangan Belanjawan 2023, memberi laluan untuk perbahasan dan kelulusan rang undang-undang selama seminggu, yang kemudiannya akan luput apabila Parlimen dibubarkan.
Sekiranya Perdana Menteri mahu tunduk kepada tekanan “Kluster Mahkamah” dalam UMNO untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 lebih awal lagi, dia sepatutnya menasihati Yang di Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen sebelum Ahli-ahli Parlimen dari seluruh negara berkumpul di Kuala Lumpur pada 3 Oktober untuk memulakan sidang baharu ini.
Adakah kita mempunyai Perdana Menteri yang paling teruk dalam sejarah? Kita akan tahu tidak lama lagi.
“Kluster Mahkamah” dalam UMNO mungkin tersilap dalam memikirkan yang sekarang adalah masa yang terbaik bagi UMNO untuk mengadakan PRU15.
Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat yang UMNO tidak sekuat dahulu dan UMNO sedang berhadapan dengan pelbagai isu yang menyebabkan pimpinannya tidak lagi mampu untuk berhadapan dan menjawab persoalan daripada rakyat.
Salah satu masalah ini adalah rasuah, yang dikatakan oleh Nazir Razak dalam satu syarahan awam: “Sekiranya rasuah ini ibarat penyakit, ia adalah kanser peringkat empat, inilah tempat kita (Malaysia) sekarang,”
Dia mengatakan yang Malaysia tidak mempunyai pilihan selain dari mengisytiharkan perang terhadap rasuah.
Saya percaya bahawa 23 Ogos 2022, ketika mana panel lima orang hakim Mahkamah Persekutuan menyertai empat orang hakim sebelum mereka dalam menghantar bekas Perdana Menteri, Najib Razak, ke mahkamah, sebagai satu titik penting untuk menentukan sama ada Malaysia mampu untuk menetapkan semula dan kembali kepada prinsip asas pembinaan negara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara – prinsip-prinsip raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, integriti awam, meritokrasi, hormat terhadap hak asasi manusia, dan perpaduan negara dari masyarakat majmuk berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya di mana tidak ada pemisahan rakyat kelas pertama atau kelas kedua berasaskan kaum, agama, atau kawasan.
Sekiranya saya tepat, mengadakan PRU15 pada masa sekarang mungkin satu perkara yang buruk untuk UMNO.