Seruan kepada Ismail Sabri untuk mengumumkan yang Dewan Rakyat dan Dewan Negara akan bersidang dari 3 Oktober sehingga 7 Disember seperti yang dirancang dan tidak akan ada sebarang cubaan darinya untuk membubarkan Parlimen di antara tempoh ini
Dewan Rakyat mula bersidang hari ini diselubungi dengan keraguan – sama ada Malaysia akan menjadi bahan jenaka dunia, membuka sidang Parlimen dengan persoalan sama ada Parlimen akan dibubarkan walaupun tidak ada sebarang usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dan bukannya untuk membincangkan krisis ekonomi yang dihadapi negara akibat peningkatan harga barang dan kesusutan nilai ringgit, atau musim tengkujuh dan bencana banjir yang bakal tiba yang telah mengorbankan 54 nyawa dan menyebabkan kerosakan harta benda yang bernilai sehingga RM6.5 billion pada tahun lepas.
Ahli-ahli Parlimen, tidak kiralah dari parti mana sekalipun, perlu mempertahankan maruah dan nama baik Parlimen Malaysia dan tidak boleh membenarkan 36 orang Ahli Parlimen UMNO untuk memburukkan nama Parlimen demi pimpinan “Kluster Mahkamah” dalam UMNO yang mahu melarikan diri daripada hukuman penjara akibat pertuduhan rasuah.
Pemimpin UMNO dalam “Kluster Mahkamah” telah menunjukkan yang mereka tidak peduli terhadap kehilangan nyawa, harta benda, dan kesusahan rakyat dalam musim tengkujuh dan banjir, dan sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan juga dalam musim tengkujuh dan banjir ini, setiap kehilangan nyawa yang terjadi adalah nyawa yang dikorbankan untuk sikap tidak peduli oleh “Kluster Mahkamah” UMNO.
Menjadi satu perkara yang amat tidak bertanggungjawab untuk mengadakan pilihan raya umum dalam musim tengkujuh dan bencana banjir, di mana berlakunya kehilangan nyawa dengan berbillion ringgit kerosakan harta benda dan mana-mana Perdana Menteri yang mahu membubarkan Parlimen untuk tujuan ini akan diingati dengan perbuatan yang memalukan ini untuk bergenerasi yang akan datang.
Oleh itu, saya menyeru Perdana Menteri, Ismail Sabri, untuk mengumumkan yang Dewan Rakyat dan Dewan Negara akan bersidang dari 3 Oktober sehingga 7 Disember seperti yang dirancang dan tidak akan ada sebarang cubaan darinya untuk membubarkan Parlimen dalam tempoh ini.