Pemecatan Zaharin dari UMNO oleh Zahid adalah pembuka pertempuran PRU15 – di antara mereka yang menyokong dan mereka yang menentang rasuah dan kleptokrasi di Malaysia
Pemecatan Zaharin dari UMNO oleh Presiden UMNO, Zahid Hamidi, adalah pembuka pertempuran Pilihan Raya Umum ke-15 – pertembungan di antara mereka yang menyokong dan mereka yang menentang rasuah dan kleptokrasi di Malaysia.
Zaharin, bekas setiausaha UMNO Bandar Tun Razak, mengatakan selepas pemecatannya: “Saya kini bebas untuk melawan pemimpin Umno yang korup”.
Saya tidak sedar yang Zaharin melawan pemimpin UMNO yang korup, tetapi tidak ada sebarang keraguan yang selepas 23 Ogos 2022, apabila bekas Perdana Menteri, Najib Razak, dihantar ke penjara selepas rayuan terhadap kes rasuahnya ditolak sebulat suara oleh panel lima orang hakim di Mahkamah Persekutuan, satu era baharu telah bermula di Malaysia.
23 Ogos 2022 akan diingati dalam sejarah Malaysia sebagai titik di mana rakyat Malaysia dapat berharap semula bahawa perubahan dan reformasi yang diundi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 adalah tidak sia-sia dan masih ada harapan untuk membawa perubahan institusi dan reformasi yang dimahukan dan bahawa undi rakyat Malaysia pada 9 Mei 2018 tidaklah sia-sia walaupun selepas disabotaj selepas 22 bulan melalui konspirasi Langkah Sheraton.
Namun, rakyat Malaysia perlu terus komited, bertekad, dan bersabar kerana perjuangannya masih lagi panjang, melangkaui berdekad yang akan datang dengan beberapa kitaran pilihan raya umum lagi.
Tetapi, terdapat dua perkara yang jelas:
Pertama, tidak ada sebarang keraguan yang Najib Razak tidak akan berhadapan dengan tuduhan rasuah 1MDB di Mahkamah di Malaysia sekiranya tidak berlakunya pertukaran kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-14; dan
Kedua, Najib tidak akan dihantar ke penjara sekiranya awan gelap yang menyelubungi doktrin pemisahan kuasa di antara pihak Eksekutif, Legislatif, dan Kehakiman tidak beredar untuk menunjukkan yang pihak Kehakiman mampu untuk bangkit dan menetapkan semula hala tuju negara kepada prinsip dan dasar yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara.
Ketua Bahagian UMNO Alor Setar, Yusof Ismail, yang telah digantung keahliannya dari UMNO untuk enam tahun, mengatakan yang penggantungan keahliannya ini adalah petanda amaran kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri, sekiranya dia tidak membubarkan Parlimen untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 dengan segera.
Hanya masa yang akan menentukan sama ada Yusuf tepat.