Sekiranya Parlimen tidak dibubarkan dalam dua atau minggu yang akan datang, pilihan raya umum ke-15 akan dibuat pada tahun hadapan
Sekiranya Parlimen tidak dibubarkan dalam dua atau minggu yang akan datang, pilihan raya umum ke-15 akan dibuat pada tahun hadapan.
Pimpinan tertinggi UMNO yang sedang bermesyuarat di Kuala Lumpur mengenai persoalan ini mahu PRU15 diadakan sesegera mungkin, tanpa mempedulikan masalah yang dihadapi rakyat dari segi peningkatan harga barangan dan kesusutan nilai ringgit, dan juga musim tengkujuh dan bencana banjir, yang sudah pun bermula di sesetengah tempat dalam negara, yang pada tahun lepas, telah mengorbankan 54 nyawa dengan kerosakan harta benda yang dinilaikan sehingga RM6.5 billion.
Perkara yang mendapat perhatian tertinggi “Kluster Mahkamah” dalam UMNO yang mendominasi pimpinan UMNO bukanlah penderitaan rakyat, sebaliknya bagaimana untuk mereka melarikan diri dari hukuman penjara atas tuduhan rasuah yang dihadapi mereka dan bagaimana untuk mereka menyelamatkan diri selepas mengubah Malaysia menjadi sebuah kleptokrasi.
Inilah contoh terbaik betapa berbezanya pimpinan UMNO hari ini dengan UMNO dalam hari-hari empat Presiden terawal UMNO – Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein, dan Hussein onn.
Presiden-presiden terawal UMNO ini tahu untuk membezakan di antara perkara yang betul dengan perkara yang salah dan mereka tahu apa yang tidak boleh dilakukan sekiranya mereka ingin menjaga kepentingan rakyat.
Perkara terakhir yang akan dibiarkan berlaku oleh empat Presiden terawal UMNO ini adalah untuk membiarkan Malaysia menjadi sebuah kleptokrasi.
Merekalah yang akan menjadi yang terawal yang mengecam skandal 1MDB dan skandal-skandal kewangan yang lain dalam negara, jauh bezanya dengan UMNO pada hari ini, di mana tiada seorang pun yang berani mengecam skandal 1MDB dalam dekad yang lepas.
Tidak boleh dibayangkan yang empat orang Presiden UMNO yang terawal ini akan bersetuju bahawa keutamaan tertinggi kerajaan hari ini adalah untuk mengadakan pilihan raya umum semasa rakyat berhadapan dengan krisis ekonomi dan ancaman bencana banjir pada tahun ini.
Namun, perkara ini tidaklah mengejutkan memandangkan pimpinan UMNO yang kini didominasi oleh “Kluster Mahkamah” hanya menumpukan usaha mereka untuk menyelamatkan pemimpin UMNO dari penjara dan bukannya untuk menjaga kepentingan rakyat.
Selepas 30 bulan dengan kekecewaan dan perasaan berputus asa selepas konspirasi Langkah Sheraton, terdapat perubahan perasaan.
Tidak ada sesiapa pun yang menjangkakan bekas Perdana Menteri Najib Razak akan dihantar ke penjara pada 23 Ogos 2022.
Mesej pada 23 Ogos 2022 ini amatlah jelas: bahawa Malaysia masih boleh diselamatkan dan kita tidak boleh berputus asa untuk berjuang demi sebuah Malaysia yang lebih baik untuk anak-anak dan cucu-cucu kita, untuk menetapkan semula dasar dan prinsip pembangunan negara kepada dasar dan prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara – Malaysia sebagai sebuah negara beraja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, dengan prinsip pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, tadbir urus baik, integriti awam, meritokrasi, hormat terhadap hak asasi manusia, dan perpaduan negara dari masyarakat majmuk berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya di mana tidak ada perbezaan di antara rakyat kelas pertama atau kelas kedua.
Inilah perjuangan kita dalam PRU15.