Sokongan kepada rancangan Anwar untuk mengadakan undi percaya di Parlimen pada 19 Disember memandangkan Hadi sedang mencuba mewujudkan satu lagi konspirasi Langkah Sheraton untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim
Saya menyokong cadangan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, untuk mengadakan undi percaya di Parlimen pada 19 Disember 2022 memandangkan Presiden PAS, Hadi Awang, sedang mencuba untuk mewujudkan satu lagi konspirasi seperti Langkah Sheraton untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Anwar.
Hadi telah mendakwa sebelum ini yang dia adalah dalang di sebalik konspirasi Langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan yang pertama selepas 22 bulan pada bulan Februari 2020 dan langkah pertama dalam konspirasi ini adalah dengan isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Perkauman (ICERD).
Isu ICERD pada tahun 2018 telah membolehkan Hadi untuk menyebarkan penipuan dan fitnah yang kononnya DAP ini anti Melayu, Islam, dan Raja, dan kononnya DAP berada di sebalik cadangan ratifikasi ini, sedangkan sebenarnya para menteri dan pemimpin DAP sendiri terkejut dengan pengumuman Perdana Menteri ketika itu, Mahathir Mohamad, di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada bulan September 2018 yang mengatakan bahawa Malaysia bersedia untuk meratifikasi perjanjian dan konvensyen utama PBB yang berkenaan dengan hak asasi manusia.
Hadi masih lagi belum memohon maaf untuk segala penipuan dan fitnah yang ditaburnya mengenai DAP dalam kerajaan Pakatan Harapan yang pertama mengenai isu ICERD. Kini dia telah mula pula menabur penipuan dan fitnah baharu mengenai DAP dalam “kerajaan perpaduan” Anwar Ibrahim — membuat serangan baharu terhadap DAP dengan menuduh “DAP yang tidak percaya tuhan dan tidak bermoral sebagai mempromosikan Islamofobia”.
DAP tidak bersalah dengan tuduhan Islamofobia Hadi seperti mana DAP tidak bersalah dengan fitnah-fitnah Hadi sebelum ini yang cuba mengatakan bahawa DAP berada di sebaliknya usaha untuk meratifikasi ICERD pada tahun 2018.
Mengapakah Hadi kini menjadi seorang penipu besar sebegini?
Adakah ini sebabnya dia diharamkan untuk melawat Arab Saudi, walaupun dia sebelum ini merupakan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah?
Saya menyokong ratifikasi ICERD, tetapi hanya selepas majoriti kaum dan agama di Malaysia menyokong ratifikasi ini dan memahami bahawa konvensyen ini tidak membawa ancamana kepada mana-mana kaum, agama, atau Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya merupakan satu langkah ke hadapan untuk kita menyertai dunia dalam mempromosikan hak asasi manusia.
Hadi masih belum dapat memberikan satu contoh sekali pun di mana martabat Islam telah tergugar dalam kalangan 55 dari 57 negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang telah meratifikasi ICERD, atau memberikan satu contoh dalam kalangan 36 dari 38 buat negara dengan sistem monarki yang telah menyaksikan sistem monarki tergugat akibat daripada ratifikasi ICERD!
Tuduhan terkini Hadi bahawa DAP bersalah mempromosikan Islamofobia amatlah tidak masuk akal dan lucu.
Sejak daripada penubuhannya 56 tahun yang lepas pada tahun 1966, DAP sentiasa menyokong penuh Perkara 3 Perlembagaan yang menetapkan Islam “sebagai agama rasmi Persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan dengan bebas dan harmoni dalam Persekutuan”.
Adakah sesebuah parti yang Islamofobik akan menyokong Perkara 3 Perlembagaan?
Jelas sekali, Hadi dan kuncu-kuncunya tidak memahami maksud “Islamofobia” tetapi mereka bercakap seakan-akan mereka ini pakar.
Bolehkah Hadi jelaskan bilakah dia mula menyedari yang DAP ini Islamofobik pula?
Apa yang Hadi bimbangkan kini adalah DAP telah mempunyai tiga orang Ahli Parlimen Melayu yang dipilih dalam Pilihan Raya Umum ke-15, bukti yang menunjukkan bahawa penipuan, fitnah, dan berita palsu ini sebenarnya boleh dipatahkan dalam jangka masa panjang.
Apa yang diperlukan oleh negara kita hari ini adalah kestabilan dan untuk kita menghentikan kemerosotan negara kita — dari sebuah negara hebat bertaraf dunia kepada sebuah negara biasa-biasa sahaja selepas enam puluh tahun — yang kini berada dalam hala tuju untuk menjadi sebuah negara gagal, berpecah belah, dan kleptokratik dalam empat dekad yang akan datang.
Kita boleh biarkan konspirasi Langkah Sheraton yang kedua untuk berjaya, kerana perkara ini akan membawa Malaysia beberapa dekad ke belakang. Sebaliknya kita perlu pastikan yang kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim bertahan selama sekurang-kurangnya lima tahun, untuk menetapkan asas untuk Malaysia menjadi hebat sekali lagi dengan mengembalikan negara kita kepada asas pembinaan negara bangsa yang telah dirangka oleh tokoh kemerdekaan untuk membina sebuah Malaysia yang pelbagai kaum, bahasa, agama, dan budaya.