Hadi Awang telah mencabuli prinsip Rukun Negara dalam serangannya terhadap DAP — terutamanya empat dari lima prinsip Rukun Negara
Saya terkejut seperti mana orang lain juga apabila membaca serangan terkini Presiden PAS, Hadi Awang, yang menuduh “DAP yang tidak beragama dan tidak bermoral” sebagai mempromosi Islamofobia.
Dia telah mencabuli Rukun Negara dalam serangannya terhadap DAP ini — terutamanya empat dari lima prinsip, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang, dan Kesopanan dan Kesusilaan.
Hadi amatlah salah apabila menuduh DAP sebagai “tidak beragama dan tidak bermoral”, apatah lagi apabila dia menuduh DAP sebagai bersifat Islamofobia.
Adakah ini sebabnya mengapa Hadi enggan menerima Rukun Negara sebagai prinsip asas pembinaan negara untuk Malaysia?
Saya bersetuju dengan cabaran Ketua Penerangan PKR yang merupakah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, kepada PAS untuk membuat laporan polis atas tuduhan mereka yang mengatakan DAP mempromosikan Islamofobia sekiranya mereka mempunyai sebarang bukti. Malah, sekiranya benar tuduhan ini, menjadi tanggungjawab Hadi kepada negara untuk melaporkan perkara ini kepada pihak polis.
Serangan terkini Hadi terhadap DAP ini menimbulkan persoalan mengenai siapakah watak sebenar Hadi Awang.
Semasa kempen PRU15, Hadi telah menuduh yang DAP ini kononnya anti Melayu, Islam, dan Raja, perkara-perkara yang bukan sahaja bersifat fitnah tetapi merupakan penipuan terang-terangan. Kini dia menuduh pemimpin DAP sebagai komunis pula.
Saya telah menjadi seorang Ahli Parlimen selama 50 tahun sebelum ini dan menjadi seorang Ketua Pembangkang selama kira-kira 30 tahun, dan saya tidak pernah pula tahu yang saya adalah seorang komunis.
Bagaimanakah Cawangan Khas PDRM yang amat efisien sekalipun tidak tahu yang saya seorang komunis, tetapi Hadi tahu?
Adakah Hadi masih ingat mengenai apa yang dikatakannya semasa pilihan raya kecil Teluk Intan pada bulan Mei 2014?
Hadi telah memuji Dyana Sofya Mohd Daud, calon DAP untuk PRK Teluk Intan kerana memilih DAP sebagai parti politik pilihannya walaupun sebagai seorang Melayu.
Abdul Hadi membidas pengkritik yang telah mengkritik PAS kerana bekerjasama dengan DAP, mengatakan yang PAS mempunyai lebih banyak persamaan dengan DAP berbanding dengan UMNO.
Dia mengatakan: “Kita percaya Dyana berani untuk menjadi seorang calon, apatah lagi seorang calon DAP.”
Abdul Hadi mengingatkan ahli-ahli PAS bahawa DAP telah membantu PAS semasa Barisan Nasional cuba untuk menumbangkan parti Islamis tersebut dari memerintah Kelantan semasa Darurat Kelantan 1977.
Dia mengatakan walaupun terdapat banyak perbezaan di antara DAP dan PAS, seperti mengenai apa yang halal dan haram, alkohol, khinzir, hudud, kedua-dua parti ini bersetuju bersama untuk menghapuskan perkara-perkara seperti kemiskinan, penindasan, dan rasuah.
Hadi patut memberitahu rakyat Malaysia apa yang berlaku selepas PRK Teluk Intan pada tahun 2014, di mana pimpinan PAS tiba-tiba memutuskan yang mereka mempunyai lebih banyak persamaan dengan UMNO, menyokong Najib Razak dan skandal 1MDB?
Adakah PAS di bawah Hadi menyokong rasuah dan secara khususnya, skandal kewangan 1MDB?
Yang manakah Hadi Awang yang sebenar — Hadi Awang di PRK Teluk Intan pada tahun 2014 atau Hadi Awang dalam PRU-15 pada tahun 2022?
Bagaimanakah seorang pemimpin Islam yang tulen boleh berlakon sebegini?
Kini Hadi sedang menyerang para pemimpin Melayu dalam DAP, menuduh mereka sebagai “Melayu liberal dan bodoh”.
DAP dan para pemimpin Melayu DAP tidak menolak Islam, tetapi mereka menolak Hadi sebagai seorang pemimpin Islam, sebagaimana Arab Saudi, yang mana Hadi tidak dapat lawat walaupun dia adalah Duta Khas Perdana Menteri semasa dalam kerajaan Ismail Sabri.
Adakah Hadi bersetuju dengan mukadimah Rukun Negara yang menyatakan Malaysia “mendukung cita-cita” untuk “mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya”, “menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai-bagai corak”, dan “membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden”?
Adakah Hadi bersetuju yang kita patut menggunakan nilai-nilai terbaik dari empat tamadun hebat — Melayu/Islam, Cina, India, dan Barat — yang bertemu di Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia?
Adakah dia akan bersetuju dengan cadangan yang saya buat dua hari lepas, supaya semua gabungan dan parti-parti politik bersetuju bahawa Malaysia patut menjadi negara pertama di dunia untuk menyelesaikan masalah terbesar dalam era maklumat — politik toksik penipuan, syak wasangka, fitnah, perkauman, dan keagamaan?
Sebelum PRU14, politik toksik sebegini telah menuduh bahawa kononnya saya akan menjadi Perdana Menteri Malaysia sekiranya Pakatan Harapan menang dalam pilihan raya umum ke-14.
Apabila penipuan dan fitnah ini terbukti salah pada 9 Mei 2018, penipuan dan fitnah baharu pula telah direka untuk menuduh yang kononnya sayalah kuasa sebenar di sebalik kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan di Putrajaya, dan kononnya Dr. Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim, Azizah Ismail, dan Mohamad Sabu semuanya hanyalah boneka saya — walaupun pada masa yang sama, saya juga difitnah sebagai pengkhianat “perjuangan orang Cina”.
Saya telah dituduh sebagai menerima RM1 billion dari Mahathir untuk mengizinkannya menyertai dan mengetuai Pakatan Harapan dan dituduh kononnya menerima RM1.2 billion dari sumber di Israel untuk mempromosi kepentingan mereka.
Terdapat pelbagai lagi tuduhan mengenai kekayaan yang mengalir kepada saya untuk menjadikan saya kononnya orang yang paling kaya di Malaysia — tetapi dana berbillion-billion ini hanya wujud di dalam dunia politik toksik penipuan dan kebencian yang disebarkan oleh para pemimpin politik yang terdesak dan oportunis.
Saya telah dituduh sebagai seorang komunis; dituduh sebagai bertanggungjawab menyebabkan rusuhan 13 Mei 1969, kononnya memimpin demonstrasi jalanan di Kuala Lumpur sambil melaungkan slogan anti-Melayu dan anti-Islam sedangkan saya tidak berada di Kuala Lumpur pun selepas Pilihan Raya Umum 10 Mei 1969; digambarkan sebagai syaitan, puaka, malah jembalang; kononnya saya ini anti Melayu, Islam, dan Raja; kononnya sayalah agen KGB, CIA, MI6, atau pihak perisikan Australia.
Saya juga telah dituduh sebagai kononnya mahu memisahkan Semenanjung Malaysia kepada dua bahagian, Pantai Timur untuk orang Melayu dan Pantai Barat untuk orang Cina.
DAP telah dimomokkan dengan pelbagai bentuk penipuan dan fitnah, tetapi Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng, adalah satu-satunya pemimpin politik di Malaysia yang pernah mengorbankan masa hadapan kerjaya politiknya sebagai Ahli Parlimen, malah ke penjara, dengan melintasi garisan etnik, untuk mempertahankan maruah seorang gadis Melayu bawah umur, ketika dia merupakan Ahli Parlimen Kota Melaka pada tahun 90-an.
Tidak ada pemimpin politik lain, sama ada dari UMNO, MCA, MIC, PAS, atau parti-parti lain yang pernah membuat pengorbanan sebegini.
DAP telah dituduh sebagai berada di sebalik langkah kerajaan Pakatan Harapan pada hujung tahun 2018 untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Perkauman (ICERD) sedangkan para Menteri dan pemimpin DAP tidak tahu-menahu apa-apa pun mengenai perkara ini. Perkara ini telah dibuktikan benar dengan kejadian yang berlaku baru-baru ini.
Malah, selepas PRU15, sebelum Anwar Ibrahim membentuk Kabinet dan kerajaannya, DAP telah dituduh sebagai menjadi “dominan” dalam kerajaan baharu Anwar Ibrahim.
Para pemimpin politik yang bertanggungjawab tidak boleh membiarkan politik toksik penipuan, syak wasangka, dan kebencian yang menunggang sentimen perkauman dan keagamaan untuk terus berleluasa kerana perkara ini berpotensi untuk memusnahkan negara kita atau menghumbankan Malaysia ke arah menjadi sebuah negara yang gagal dan berpecah belah.
Politik toksik ini perlulah dilawan dengan hujah, fakta, dan kebenaran.
Adakah Hadi akan bersetuju yang semua gabungan dan parti-parti politik di Malaysia bangkit dan tinggalkan politik toksik penipuan, syak wasangka, kebencian, perkauman, dan keagamaan — yang merupakan masalah besar dalam era maklumat — untuk bersatu membina sebuah Malaysia yang lebih baik, yang merupakan sebuah negara bertaraf dunia di mana rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, atau politik, dapat berbangga sebagai rakyat Malaysia, dengan bersetuju bahawa perkara ini perlu menjadi Agenda Nasional Bersama untuk lima tahun yang akan datang?