Bolehkah semua gabungan dan parti-parti politik bersetuju yang Malaysia patut menjadi negara pertama di dunia untuk menyelesaikan masalah terbesar era maklumat — politik toksik penipuan, syak wasangka, dan kebencian yang bersifat perkauman dan keagamaan?
Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022 telah membawa kepada penubuhan “kerajaan perpaduan” tetapi bolehkah semua gabungan dan parti-parti politik bersetuju bahawa Malaysia perlu menjadi negara pertama di dunia yang menyelesaikan masalah terbesar dalam era maklumat — politik toksik penipuan, syak wasangka, dan kebencian yang menggunakan sentimen perkauman dan keagamaan — yang mempunyai potensi untuk merosakkan Malaysia atau menyebabkan Malaysia menjadi sebuah negara gagal dan berpecah belah dalam tiga atau empat dekad dari sekarang?
Tidak ada jaminan yang tanggungjawab untuk menetapkan semula hala tuju dengan mengembalikan Malaysia kepada prinsip yang diterapkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara dalam Perlembagaan dan Rukun Negara ini akan berjaya, dan misi ini bukanlah satu perkara yang dapat dicapai oleh seorang Perdana Menteri atau dicapai dalam satu kitaran pilihan raya umum, sebaliknya usaha ini akan memakan masa tiga atau empat dekad sebelum dapat dicapai.
Tetapi, kita perlu mula — dan Malaysia telah mula dengan cara yang betul dalam Pilihan Raya Umum ke-15.
Kini, tanggungjawab untuk memberikan bentuk, struktur, dan rupa untuk Malaysia Baharu ini terletak kepada rakyat Malaysia yang komited terhadap Impian Malaysia — dan usaha ini akan menjadi sia-sia sekiranya kita tidak mempunyai tenaga, stamina, kecekalan, dan komitmen untuk menyelamatkan Malaysia dari menjadi sebuah negara gagal dan berpecah belah serta sebuah kleptokrasi dalam tiga ke empat dekad yang akan datang.
Sekiranya politik toksik penipuan, syak wasangka, dan kebencian yang menunggang sentimen perkauman dan keagamaan ini boleh dipercayai, saya sudah tentunya boleh dikira sebagai rakyat Malaysia yang paling berkuasa dan paling kaya di dalam negara.
Sebelum PRU14, politik toksik sebegini telah menuduh bahawa kononnya saya akan menjadi Perdana Menteri Malaysia sekiranya Pakatan Harapan menang dalam pilihan raya umum ke-14.
Apabila penipuan dan fitnah ini terbukti salah pada 9 Mei 2018, penipuan dan fitnah baharu pula telah direka untuk menuduh yang kononnya sayalah kuasa sebenar di sebalik kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan di Putrajaya, dan kononnya Dr. Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim, Azizah Ismail, dan Mohamad Sabu semuanya hanyalah boneka saya — walaupun pada masa yang sama, saya juga difitnah sebagai pengkhianat “perjuangan orang Cina”.
Saya telah dituduh sebagai menerima RM1 billion dari Mahathir untuk mengizinkannya menyertai dan mengetuai Pakatan Harapan dan dituduh kononnya menerima RM1.2 billion dari sumber di Israel untuk mempromosi kepentingan mereka.
Terdapat pelbagai lagi tuduhan mengenai kekayaan yang mengalir kepada saya untuk menjadikan saya kononnya orang yang paling kaya di Malaysia — tetapi dana berbillion-billion ini hanya wujud di dalam dunia politik toksik penipuan dan kebencian yang disebarkan oleh para pemimpin politik yang terdesak dan oportunis.
Saya telah dituduh sebagai seorang komunis; dituduh sebagai bertanggungjawab menyebabkan rusuhan 13 Mei 1969, kononnya memimpin demonstrasi jalanan di Kuala Lumpur sambil melaungkan slogan anti-Melayu dan anti-Islam sedangkan saya tidak berada di Kuala Lumpur pun selepas Pilihan Raya Umum 10 Mei 1969; digambarkan sebagai syaitan, puaka, malah jembalang; kononnya saya ini anti Melayu, Islam, dan Raja; kononnya sayalah agen KGB, CIA, MI6, atau pihak perisikan Australia.
Saya juga telah dituduh sebagai kononnya mahu memisahkan Semenanjung Malaysia kepada dua bahagian, Pantai Timur untuk orang Melayu dan Pantai Barat untuk orang Cina.
DAP telah dimomokkan dengan pelbagai bentuk penipuan dan fitnah, tetapi Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng, adalah satu-satunya pemimpin politik di Malaysia yang pernah mengorbankan masa hadapan kerjaya politiknya sebagai Ahli Parlimen, malah ke penjara, dengan melintasi garisan etnik, untuk mempertahankan maruah seorang gadis Melayu bawah umur, ketika dia merupakan Ahli Parlimen Kota Melaka pada tahun 90-an.
Tidak ada pemimpin politik lain, sama ada dari UMNO, MCA, MIC, PAS, atau parti-parti lain yang pernah membuat pengorbanan sebegini.
DAP telah dituduh sebagai berada di sebalik langkah kerajaan Pakatan Harapan pada hujung tahun 2018 untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Perkauman (ICERD) sedangkan para Menteri dan pemimpin DAP tidak tahu-menahu apa-apa pun mengenai perkara ini. Perkara ini telah dibuktikan benar dengan kejadian yang berlaku baru-baru ini.
Malah, selepas PRU15, sebelum Anwar Ibrahim membentuk Kabinet dan kerajaannya, DAP telah dituduh sebagai menjadi “dominan” dalam kerajaan baharu Anwar Ibrahim.
Kita tidak boleh membiarkan politik toksik penipuan, syak wasangka, dan kebencian yang menunggang sentimen perkauman dan keagamaan untuk terus berleluasa kerana perkara ini berpotensi untuk memusnahkan negara kita atau menghumbankan Malaysia ke arah menjadi sebuah negara yang gagal dan berpecah belah.
Politik toksik ini perlulah dilawan dengan hujah, fakta, dan kebenaran.
Bolehkah semua gabungan dan parti-parti politik di Malaysia bangkit dan tinggalkan politik toksik penipuan, syak wasangka, kebencian, perkauman, dan keagamaan — yang merupakan masalah besar dalam era maklumat — untuk bersatu membina sebuah Malaysia yang lebih baik, yang merupakan sebuah negara bertaraf dunia di mana rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, atau politik, dapat berbangga sebagai rakyat Malaysia, dengan bersetuju bahawa perkara ini perlu menjadi Agenda Nasional Bersama untuk lima tahun yang akan datang?