Komitmen DAP penuh selama 24 tahun untuk menyokong Anwar bakal membawa Malaysia yang lebih baik

Semasa Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong memberi perkenan untuk melantik Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10, saya telah menghantar mesej kepada Anwar untuk mengucapkan tahniah kepadanya.

Anwar menelefon saya untuk mengucapkan terima kasih dan saya mengambil peluang untuk memberitahunya yang tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 adalah untuk menjadikan Malaysia hebat semula.

Komitmen penuh DAP untuk menyokong Anwar ini adalah sejak 24 tahun sejak daripada 2 September 1988 — ketika mana Anwar dipecat dari Kabinet dan memulakan kempen reformasinya — untuk membawa perubahan demi sebuah Malaysia yang lebih baik.

Saya telah menelefon Anwar ketika itu untuk bertanya sama ada terdapat sebarang asas untuk tuduhan-tuduhan terhadapnya itu dan apabila dia nafikan, saya maklumkan yang DAP akan menyokong Anwar sepenuhnya untuk membina sebuah Malaysia yang mempunyai demokrasi yang matang, kebebasan, hormat terhadap hak asasi manusia, integriti awam, meritokrasi, penghapusan pelbagai bentuk kezaliman dan ketidakadilan yang ada dalam negara, kekuatan ekonomi, kecemerlangan dalam pendidikan, dan kesuburan kepelbagaian bahasa, agama, dan budaya yang berasaskan kepada prinsip-prinsip pembinaan negara yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara — Raja-Raja Melayu sebagai teras sistem raja berperlembagaan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama rasmi, dan peruntukan khas dalam Perlembagaan untuk menghapuskan kemiskinan dan kemunduran.

24 tahun yang lepas merupakan satu tempoh yang amat panjang. Walaupun dengan pelbagai cabaran, kesengsaraan, dan pengorbanan, termasuklah selepas dipenjarakan dua kali dan penantian selama 22 bulan untuk memegang amanah rakyat, Anwar tidak pernah tunduk dengan cabaran dan penindasan yang dihadapinya, dan DAP terus berpegang teguh terhadap komitmen yang dibuat pada September 1998.

Malaysia memerlukan seorang pemimpin baharu yang mampu untuk memimpin negara kita untuk menjadi terkenal di seluruh dunia — untuk perkara yang baik, bukan seperti mana ketika terkenal sebagai sebuah “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk” sebelum ini.

Negara kita telah tertinggal di belakang, dari cita-cita asalnya untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia, sebaliknya menjadi hanya sebuah negara pertengahan yang biasa sahaja selepas enam dekad, dan kini berada dalam ancaman untuk menjadi sebuah negara gagal, berpecah belah, dan kleptokratik menjelang ulang tahun ke-100 negara dalam empat dekad yang akan datang.

Tugas Anwar baru sahaja bermula, untuk menyatukan sebuah negara yang terpisah yang diancam polarisasi masyarakat berasaskan kaum dan agama, untuk membangkitkan Malaysia dari sebuah kleptokrasi kepada salah satu negara yang terbaik dari segi perang melawan rasuah dan salah guna kuasa.

Anwar layak menerima sokongan semua rakyat Malaysia untuk menjadikan negara kita hebat dan tersohor di persada dunia.

Lim Kit Siang Veteran DAP