Tidak patut ada penculikan proses demokrasi berparlimen dan era baharu politik gabungan di Malaysia patut dimulakan dengan betul untuk kita merealisasikan cita-cita Bapa Malaysia untuk Malaysia menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu”
Dalam 24 jam yang lepas, Impian Malaysia — untuk Malaysia kita membetulkan semula kegagalan dalam enam dekad yang lepas dan mengembalikan kedudukan Malaysia untuk berada dalam kalangan negara-negara hebat dunia dan bukannya kekal menjadi sebuah negara yang biasa-biasa sahaja atau lebih buruk lagi, merosot menjadi sebuah negara gagal, berpecah belah, dan kleptokratik dalam empat yang akan datang — telah kembali segar.
Pada 19 November 2022, keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 menunjukkan walaupun terdapat kekecewaan, rakyat Malaysia di dalam negara dan dari seluruh dunia masih belum berputus asa dengan aspirasi mereka untuk melihat Malaysia belajar dari kesilapan dalam enam dekad yang lepas supaya Malaysia dapat sekali lagi menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia.
Tetapi, 20 November 2022 telah membawa kekecewaan kepada ramai rakyat Malaysia, apabila terdapat cubaan untuk menculik proses demokrasi berparlimen, di mana sebuah gabungan yang tidak mempunyai jumlah kerusi yang terbesar telah cuba untuk merampas jawatan Perdana Menteri.
Namun, pada 21 November 2022, rakyat Malaysia dapat bernafas lega sekali lagi dengan tanda-tanda jelas yang cubaan menculik proses demokrasi berparlimen ini mungkin tidak akan berjaya dan Anwar Ibrahim akan berjaya menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.
Tidak patut ada sebarang penculikan proses demokrasi berparlimen di Malaysia dan era baharu politik gabungan di Malaysia patut dimulakan dengan betul supaya kita dapat realisasikan cita-cita Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, untuk Malaysia menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu”.
Malaysia telah mencapai “keajaiban politik” dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 dengan menamatkan kleptokrasi dan hegemoni politik UMNO/BN yang kelihatan kebal sebelum ini, tetapi “keajaiban politik” ini telah digagalkan oleh dua kerajaan pintu belakang.
Bolehkah rakyat Malaysia mencapai “keajaiban politik” kedua dalam Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022, dan adakah hari ini, 22 November 2022 akan dicatat dalam sejarah Malaysia sebagai salah satu tarikh terpenting di mana Malaysia memasuki era baharu politik gabungan dengan permulaan yang tepat, memenuhi aspirasi Tunku Abdul Rahman untuk Malaysia menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu” dan mengembalikan kedudukan Malaysia sebagai salah satu negara majmuk yang hebat di dunia, di mana terhadap rasuah yang minima, ekonomi yang kuat, standard pendidikan bertaraf dunia, alam sekitar yang mampan, dan Malaysia menjadi contoh pertemuan empat tamadun hebat — Melayu/Islam, Cina, India, dan Barat — kepada seluruh dunia?
Rakyat akan menantikan jawapannya hari ini.