Malaysia kini berada dalam era baharu politik gabungan – saya cadang kerajaan gabungan PH (82), PN (73), dan Blok Borneo (35) di bawah pimpinan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri untuk membentuk sebuah gabungan bagi memulihkan kemerosotan Malaysia dan menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia dan untuk melawan rasuah

Malaysia mempunyai sebuah Parlimen tergantung selepas pengundian dalam Pilihan Raya Umum ke-15 semalam.

Malaysia kini berada dalam era baharu politik gabungan dan saya cadang supaya sebuah kerajaan gabungan Pakatan Harapan (82 Ahli Parlimen), Perikatan Nasional (73 Ahli Parlimen), dan Blok Borneo (35 Ahli Parlimen) di bawah pimpinan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri untuk membentuk sebuah gabungan bagi memulihkan kemerosotan Malaysia dan menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia dan untuk melawan rasuah.

Gabungan untuk menjadikan Malaysia hebat ini akan mempunyai 190 orang Ahli Parlimen, yang melebihi dua-pertiga dari 222 kerusi Parlimen dan boleh meminda Perlembagaan Malaysia untuk mengembalikan hak-hak Sarawak dan Sabah kepada seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Gabungan UMNO-Barisan Nasional telah menyaksikan kekalahan terburuknya dalam sejarah dan Zahid Hamidi patut meletakkan jawatannya sebagai Presiden UMNO/BN dan memberi ruang untuk UMNO/BN untuk kembali kepada prinsip asal pembinaan negara yang dipegang oleh empat orang Presiden terawal UMNO dan tokoh-tokoh negara seperti Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein, Hussein Onn, Tan Cheng Lock, Tan Siew Sin, Dr Lim Chong Eu, dan V.T. Sambanthan.

Saya telah menasihatkan Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh untuk memainkan peranan penasihat dan tidak bertanding sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke-15. Sekiranya mereka dengar nasihat saya, mereka pastinya akan dapat mengelakkan kejadian memalukan semalam.

Saya telah mulakan perjalanan politik saya 57 tahun yang lepas dalam hari-hari hegemoni UMNO, di mana keretakan kecil sudah menjadi satu krisis nasional.

Pilihan Raya Umum ke-15 semalam mungkin kelihatan seperti satu bencana untuk Malaysia, tetapi ia sepatutnya dilihat sebagai pemangkin untuk Malaysia menjadi sebuah negara normal, yang hebat dan bertaraf dunia.

Lim Kit Siang Veteran DAP