Rakyat Malaysia di seluruh dunia menyokong untuk Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 untuk menjadikan Malaysia hebat sekali dan menetapkan semula hala tuju negara, dari hala tuju sebuah negara gagal dan berpecah belah menjelang 2060 kepada satu “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu”
Selepas mencatatkan perjalanan sejauh 15,000 kilometer sejak hari Penamaan Calon pada 5 November 2022, melawati Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor, Pahang, Melaka, Johor, Sabah, dan Sarawak untuk berkempen untuk calon-calon Pakatan Harapan dan Presiden Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim, bercakap dalam dua ke tiga ceramah setiap malam, saya mengambil penerbangan terakhir dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang pada jam 11:20 malam, hari Khamis 17 November 2022 untuk membantu calon Pakatan Harapan/DAP untuk Tanjong, Lim Hui Ying, dalam hari terakhir kempen yang telah berlangsung selama dua minggu.
Saya amat letih berjalan ke sana sini tetapi saya tidak berputus semangat, walaupun terjatuh di hadapan hotel di Kota Kinabalu pada pagi Selasa kerana tersilap langkah, saya tekad untuk meneruskan kempen Pakatan Harapan untuk menyelamatkan Malaysia dari menjadi sebuah negara gagal dan berpecah belah dalam tiga ke empat dekad yang akan datang.
Selepas terjatuh di depan hotel di Kota Kinabalu pada pagi Selasa, saya telah ke Kuching, Bintulu, Semenyih, dan Bangi.
Kerana keletihan, saya telah tidur dalam kapal terbang dan dikejutkan oleh pengumuman yang kapal terbang telah mendarat di KLIA. Jam tangan saya – jam yang biasa sahaja, bukan jam yang bernilai jutaan ringgit yang dipakai oleh Presiden UMNO/BN, Zahid Hamidi – menunjukkan waktu sudah 1 pagi.
Saya ingatkan mereka tersalah umum Lapangan Terbang Pulau Pinang sebagai KLIA dan jam tangan saya telah bermasalah.
Jadi saya terkejut apabila saya mendapati pengumuman dan jam saya kedua-duanya betul, kerana kapal terbang ini terpaksa berpatah balik ke KLIA akibat cuaca buruk di Pulau Pinang yang menyebabkan kapal terbang yang sudah tidak banyak bahan bakar ini tidak dapat mendarat.
Jadi, kami tersangkut di KLIA sehingga jam 4 pagi apabila penerbangan ini dijadualkan semula.
Ketika inilah, saya dapati yang penerbangan tersebut agak penuh, dengan rakyat Malaysia pulang dari London, Sydney, dan pelbagai tempat-tempat lain di seluruh dunia untuk mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 pada hari Sabtu, 19 November 2022.
Jelas sekali rakyat Malaysia dari seluruh dunia menyokong Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 untuk menjadikan Malaysia hebat semula dengan menetapkan semula hala tuju negara – dari hala tuju sebuah negara gagal dan berpecah belah pada tahun 2060 – untuk menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu” seperti yang dicita-citakan oleh Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman.
Malaysia boleh mencatatkan pencapaian yang lebih baik dan bukannya hanya menjadi sebuah negara yang biasa-biasa sahaja selepas enam dekad pembinaan negara – atau lebih buruk lagi, menjadi sebuah negara gagal dan berpecah belah dalam tiga ke empat dekad lagi.
Janganlah kita biarkan terjadinya satu lagi Diaspora Malaysia yang hanya akan menguntungkan negara-negara lain, kerana rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, bahasa, agama, budaya, kawasan, atau umur, sepatutnya kekal di Malaysia dan bersama-sama menjadikan negara kita yang hebat, bukannya negara lain.
Saya menyeru kepada para pengundi di dalam dan di luar negara untuk memastikan kadar keluar mengundi dalam PRU kali ini melepasi paras 80% supaya Anwar Ibrahim dapat menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 dan supaya kita dapat selamatkan Malaysia dari menjadi sebuah negara yang gagal, berpecah belah, dan kleptokratik dalam tiga ke empat dekad yang akan datang.
Marilah kita semua mengundi pada hari Sabtu ini, bukan sahaja untuk lima tahun yang akan datang, tetapi untuk 30 ke 40 tahun yang akan datang, demi anak-anak kita dan cucu-cucu kita supaya mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih baik dari kita semua.