Saya tersilap langkah dan terjatuh di luar hotel saya di Kota Kinabalu pagi ini, tetapi kemalangan ini adalah perkara kecil berbanding dengan kejatuhan Malaysia dalam enam dekad yang lepas atau kejatuhan Malaysia dalam tiga ke empat dekad yang akan datang apabila Malaysia jatuh dari sebuah negara hebat bertaraf dunia ke sebuah negara gagal dan kleptokratik
Saya tersilap langkah dan terjatuh di luar hotel saya di Kota Kinabalu pagi ini, tetapi kemalangan ini adalah perkara kecil berbanding dengan kejatuhan Malaysia dalam enam dekad yang lepas atau kejatuhan Malaysia dalam tiga ke empat dekad yang akan datang apabila Malaysia jatuh dari sebuah negara hebat bertaraf dunia ke sebuah negara gagal dan kleptokratik seperti Sri Lanka atau Zimbabwe.
Tiga orang nampak saya terjatuh pagi ini di Kota Kinabalu, tetapi kira-kira 10 billion orang di seluruh dunia dalam empat dekad akan menyaksikan kejatuhan Malaysia dari sebuah negara majmuk hebat bertaraf dunia enam puluh tahun lepas kepada sebuah negara gagal dan kleptokratik pada tahun 2060.
Saya kini berusia 81 tahun dan bukan seorang calon dalam Pilihan Raya Umum ke-15, tetapi saya tetap sibuk, malah mungkin lebih sibuk berbanding dengan seorang calon dalam dua minggu di antara Hari Penamaan Calon dan Hari Mengundi yang akan datang pada 19 November.
Saya telah melawat Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor, Pahang, Melaka, Johor, Sabah, dan Sarawak, dan mungkin telah merekodkan sejumlah 15,000 kilometer perjalanan dalam tempoh dua minggu ini.
Kejatuhan Besar Malaysia pada tahun 2060 adalah jauh lebih membimbangkan berbanding dengan kemalangan saya di Kota Kinabalu pagi ini, dan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira umur, kaum, agama, atau kawasan, perlu melakukan apa sahaja yang terdaya untuk mengelakkan perkara ini dari terjadi. Malah, saya bersedia untuk berkorban nyawa untuk mengelakkan Kejatuhan Besar Malaysia pada tahun 2060.
Kerana inilah, daripada semua calon-calon Perdana Menteri Malaysia ke-10, Anwar Ibrahim adalah yang paling sesuai dan layak untuk menyelamatkan Malaysia kerana calon-calon lain ini tidak mengakui pun yang Malaysia bakal berhadapan dengan Kejatuhan Besar menjelang 2060, malah, ada yang menafikan yang Malaysia telah jatuh dari asalnya sebuah negara hebat bertaraf dunia kepada negara yang biasa-biasa sahaja selepas enam puluh tahun.
Salah satu sebab mengapa Malaysia telah gagal dalam pembinaan negara dalam enam dekad yang lepas adalah kerana tidak adanya kerajaan yang baik di Putrajaya.
Menjadi satu perkara yang memalukan untuk Malaysia apabila kita ditinggalkan di belakang China, India, dan Indonesia dalam mempunyai kerajaan yang lebih baik dengan sejumlah minima rasuah dan salah guna kuasa.
Rakyat Malaysia memerlukan seorang Perdana Menteri yang dapat memastikan Malaysia akan menjadi lebih baik berbanding dengan China, India, dan Indonesia dengan mempunyai kerajaan yang lebih baik dengan rasuah dan salah guna kuasa yang minima. Kerana inilah Malaysia memerlukan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 untuk memulakan proses untuk menjadikan Malaysia hebat semula.