MP DAP membantah Pindaan Perlembagaan 1976 untuk menurunkan taraf Sabah dan Sarawak dari “wilayah” kepada “negeri” sedangkan MP kerajaan dari Sabah dan Sarawak mengundi untuk menyokong Pindaan Perlembagaan ini
Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022 adalah satu Pilihan Raya Parlimen untuk memilih siapa yang akan membentuk Kerajaan Persekutuan di Putrajaya dan memutuskan siapa yang akan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10, bukannya satu pilihan raya negeri Sabah untuk memilih Kerajaan Negeri Sabah dan Ketua Menteri Sabah.
DAP sentiasa berada di barisan hadapan untuk mempertahankan hubungan yang sihat di antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri dalam enam dekad yang lepas.
Kerana inilah ketika semua Ahli-ahli Parlimen Sabah dan Sarawak dari barisan kerajaan menyokong Pindaan Perlembagaan pada 13 Julai 1976 untuk menurunkan taraf Sabah dan Sarawak dari “wilayah” kepada “negeri”, semua Ahli-ahli Parlimen DAP (termasuk saya) telah menentang dan mengundi untuk menolak pindaan ini.
Kini, Sabah dan Sarawak mahukan lebih banyak pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak dari sebuah “negeri” ke sebuah “wilayah”.
Mengapa pinda Perlembagaan Malaysia pada tahun 1976 untuk menurunkan status Sabah dan Sarawak dari “wilayah” kepada “negeri”?
Bolehkah semua parti-parti politik dalam kerajaan menjelaskan, mengapa pada tahun 1976. Ahli-ahli Parlimen mereka menyokong pindaan untuk menurunkan taraf Sabah dan Sarawak dari sebuah “wilayah” kepada “negeri”?
Perkara ini sama seperti kes Batu Sumpah yang ditemui di Keningau.
Selama hampir setengah abad, Batu Sumpah Keningau hampir dilupakan sepenuhnya sama ada oleh para pemimpin kebangsaan mahupun pemimpin Sabah dan tidak pernah dibangkitkan di Parlimen Malaysia sehinggalah saya melawat Keningau pada bulan Mac 2010 bersama dengan dua orang lagi Ahli Parlimen DAP, Teo Nie Ching dan Lim Lip Eng.
Sebelum itu, saya sendiri tidak pernah dengar Batu Sumpah Keningau ini kerana tidak ada sesiapa pun pernah menyebut apa-apa mengenainya, malah Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional Sabah sendiri pun tidak pernah menyebut apa-apa mengenai Batu Sumpah ini.
Di Batu Sumpah Keningau ini terpahat satu jaminan bersejarah yang diberikan kepada rakyat Sabah di pedalaman mengenai penyertaan Sabah ke dalam Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 – tentang jaminan kebebasan beragama, hal ehwal tanah akan selama-lamanya menjadi bidang kuasa negeri, dan hak adat akan selama-lamanya menjadi dihormati dan dilindungi oleh kerajaan.
Selepas lawatan saya ke Batu Sumpah Keningau pada bulan Mac 2010, jelas sekali janji-janji mengenai tiga hak yang diberikan kepada rakyat Sabah di pedalaman ini tidak ditepati dan dipenuhi.
Hasilnya, saya menjadi Ahli Parlimen pertama yang membangkitkan isu mengenai Batu Sumpah Keningau di Parlimen dan sejak dari waktu itu, Ahli-ahli Parlimen dari Sabah secara konsisten telah membangkitkan isu-isu ini di Parlimen.
Kami juga telah melancarkan kempen Kesedaran Batu Sumpah, di mana kata-kata penulis Czech yang terkenal, Milan Kundera; “Perjuangan manusia melawan kuasa adalah perjuangan memori melawan lupa” menggambarkan keseluruhan kempen kesedaran ini.
Perkara ini menjadi bukti yang dalam enam dekad yang lepas, DAP telah menjadi pejuang hak Sabah dan Sarawak yang lebih baik berbanding dengan Ahli-ahli Parlimen kerajaan dari Sabah sendiri.
Calon Perdana Menteri ke-10 Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim, telah mengumumkan di Sarawak yang sekiranya Pakatan Harapan kembali ke Putrajaya pada selepas Pilihan Raya Umum ke-15, kita akan menyelesaikan semua isu mengenai hak-hak Sabah dan Sarawak selari dengan Perjanjian Malaysia 1963.
Sekiranya Pakatan Harapan telah diberikan lima tahun, dan tidak ditumbangkan melalui konspirasi Langkah Sheraton yang tidak demokratik dan tidak sah, kerajaan PH pastinya akan berjaya memenuhi janji-janji pilihan rayanya untuk mengembalikan hak-hak Sabah dan Sarawak selari dengan Perjanjian Malaysia 1963.
Ramai yang telah mendakwa yang kerajaan Pakatan Harapan gagal untuk mengembalikan hak-hak Sabah dan Sarawak — tetapi kerajaan PH hanya ada 22 bulan sebelum ditumbangkan sedangkan manifesto pilihan rayanya dirancang untuk dilaksanakan dalam tempoh lima tahun.
Dua kerajaan pintu belakang Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri bersama-sama mempunyai tempoh selama 31 bulan — lebih panjang berbanding dengan 22 bulan kerajaan PH – tetapi adakah mereka telah mengembalikan hak-hak Sabah dan Sarawak selari dengan peruntukan Perjanjian Malaysia 1963? Jawapannya sangat jelas, TIDAK.
Siapakah yang patut dipercayai – kerajaan PH atau dua kerajaan pintu belakang Muhyiddin dan Ismail Sabri?