Dari Lahad Datu, saya menyeru para pengundi di Malaysia untuk mencipta tsunami politik dengan kadar keluar mengundi melebih 80 peratus pada Hari Mengundi 19 November yang akan datang untuk memilih Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 dan untuk menyelamatkan negara kita dari menjadi sebuah negara gagal dan kleptokratik dalam 30 ke 40 tahun yang akan datang
Saya menyeru para pengundi di Malaysia untuk mencipta tsunami politik dengan kadar keluar mengundi lebih dari 80 peratus pada hari mengundi 19 November 2020 untuk memilih Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 dan untuk menyelamatkan negara kita dari menjadi sebuah negara gagal dan kleptokratik dalam 30 ke 40 tahun yang akan datang.
Biarlah tsunami politik kadar keluar mengundi melebihi 80% ini bermula dengan Lahad Datu dengan kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 – satu tsunami politik yang boleh menyaingi cabaran musim tengkujuh dan bencana banjir yang sedang melanda pelbagai tempat di seluruh negara.
Mood politik sedang berubah pantas sejak pembubaran Parlimen pada 10 Oktober 2022, di mana Presiden UMNO/Barisan Nasional, Zahid Hamidi, telah mengatakan Pilihan Raya Umum ke-15 adalah “ibu kepada segala pilihan raya” untuk menyelamatkan para pemimpin UMNO/BN dari didakwa di mahkamah atas tuduh rasuah dan dipenjarakan!
Biar rakyat Malaysia tunjukkan kepada semua pemimpin politik dari semua parti politik pada 19 November 2022, yang sekiranya mereka korup, mereka patut berada dalam penjara, seperti Najib Razak yang kini meringkuk dalam Penjara Kajang atas sekumpulan pertama pertuduhan kes rasuah 1MDB, di mana dia telah didapati bersalah oleh sembilan orang hakim di setiap peringkat mahkamah, dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dengan denda sebanyak RM210 juta.
Kini sudah jelas, yang rakyat Malaysia tidaklah berpandangan cetek seperti Zahid yang mahukan pilihan raya umum untuk menyelamatkan UMNO/BN dari didakwa di mahkamah atas kesalahan rasuah dan dipenjarakan. Tetapi matlamat sebenar Pilihan Raya Umum ke-15 ini sepatutnya untuk “menghentikan kereputan” dalam usaha membina negara Malaysia dan untuk menyelamatkan Malaysia dari terus merosot, daripada sebuah negara hebat bertaraf dunia pada hari-hari awal negara kita kepada sebuah negara biasa-biasa sahaja hari ini, untuk tidak menjadi sebuah negara gagal dan kleptokratik dalam 30 ke 40 tahun yang akan datang.
Semasa Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober, UMNO dan BN amat yakin yang mereka akan kembali sebagai Kerajaan Persekutuan di Putrajaya.
Tiga minggu selepas Hari Penamaan Calon pada 5 November 2022, UMNO/BN tidak lagi sebegitu yakin yang PRU15 akan memihak kepada mereka.
Dalam dua minggu dari Hari Penamaan Calon hingga Hari Mengundi pada 19 November, suasana politik telah berubah sepenuhnya, dan persoalannya adalah sama ada masih ada masa untuk mewujudkan tsunami politik pada 19 November untuk menghantar Pakatan Harapan ke Putrajaya dengan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.
Perkara ini bergantung kepada kadar keluar mengundi yang tinggi kerana kadar keluar mengundi yang rendah hanya akan memberikan kelebihan kepada UMNO/BN, seperti yang ditunjukkan dalam pilihan raya negeri Melaka dan Johor sebelum ini.
Marilah kita jadikan Malaysia hebat semula, bermula dengan Lahad Datu.
Dalam zaman persekolahan saya pada tahun 50-an, dua perkara meninggalkan kesan mendalam kepada saya:
Pertama, kisah general Yue Fei, yang mana ibunya telah mencacah empat perkataan, jin Zhong boa guo (berkhidmat untuk negara dengan penuh kesetiaan), tetapi negara di sini merujuk kepada Malaysia dan bukannya China.
Kedua, kisah Wen Tianxhiang dan kata-kata agungnya,
人生自古誰無死 留取丹心照汗青。
Manusia, sejak dari awal zaman, semuanya telah menemui kematian; Tinggalkan hati keramat kita dalam naskhah sejarah.
Marilah semua pengundi di Malaysia mengambil semangat Yue Fei dan Wen Tianxiang.
Jadikan tsunami politik kadar keluar mengundi melebihi 80% ini bermula dengan Lahad Datu dengan kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 – satu tsunami politik yang boleh menyaingi cabaran musim tengkujuh dan bencana banjir yang sedang melanda pelbagai tempat di seluruh negara.
Saya percaya ini amat relevan dengan Pilihan Raya Umum ke-15, yang mungkin merupakan pilihan raya umum yang paling penting dan kritikal dalam sejarah negara.
Pilihan raya ini mungkin peluang terakhir untuk kita selamatkan Malaysia dari merosot, daripada sebuah negara hebat bertaraf dunia pada hari-hari awal negara kita kepada sebuah negara biasa-biasa sahaja hari ini, untuk tidak menjadi sebuah negara gagal dan kleptokratik dalam 30 ke 40 tahun yang akan datang.
Persoalan yang pengundi di Lahad Datuk dan di seluruh negara perlu tanya kepada diri mereka sendiri sebelum Hari Mengundi pada 19 November ini adalah sama ada Malaysia boleh diselamatkan dan patut diselamatkan. Saya percaya Malaysia masih boleh diselamatkan dan patut diselamatkan.
Dalam tahun-tahun awal negara kita, Malaysia adalah antara negara terbaik di dunia. Kita adalah negara yang paling makmur di Asia, selain dari Jepun, tetapi dalam enam dekad yang lepas, kita telah tersesat jalan dan ditinggalkan di belakang Taiwan, Singapura, Hong Kong, Korea Selatan, dan Vietnam, dan jika kita terus berada di dalam hala tuju ini, kita bakal ditinggalkan di belakang lebih banyak negara lagi.
Pada tahun 1965, satu dolar Singapura bersamaan dengan satu Ringgit Malaysia. Lima puluh tujuh tahun kemudian, satu dolar Singapura bersamaan dengan RM3.39.
Adakah perkara ini menunjukkan kejayaan atau kegagalan usaha membina negara?
Beberapa dekad yang lepas, Malaysia dilihat sebagai berada jauh di hadapan China, India, dan Indonesia dalam mempunyai kerajaan yang bagus dalam melawan rasuah.
Tetapi kini China berkemungkinan mengatasi kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) sebelum tahun 2030 manakala Indonesia dan India mungkin akan mengatasi kedudukan Malaysia dalam TI-CPI sebelum 2040.
Mengapakah begini? Mengapakah rasuah dan salah guna kuasa sebegitu berleluasa di Malaysia dan tidak lama lagi akan menjadi lebih teruk berbanding di China, Indonesia, dan India?
Mengapakah Singapura boleh jadi hebat?
Salah satu sebabnya adalah rakyat Malaysia yang telah berhijrah ke Singapura kerana mereka tidak dapat mencari keadilan dan kehidupan bermaruah di Malaysia, dan mereka memilih untuk ke Singapura dan dalam berbuat demikian, menjadikan Singapura sebuah negara yang hebat.
Kita ada lebih dari sejuta rakyat Malaysia di UK, Amerika Syarikat, Kanada, Australia, dan New Zealand yang sedang membantu menjadikan negara-negara ini hebat dan bukannya Malaysia.
Inilah perjuangan PRU15 pada 19 November 2022 – untuk meletakkan sebuah kerajaan yang baik di Putrajaya untuk menjadikan Malaysia hebat semula dengan mengembalikan negara kita kepada prinsip-prinsip asas pembinaan negara – raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, integriti awam dengan rasuah minima, hormat terhadap hak asasi manusia, dan yang paling penting sekali, mengiktiraf yang Malaysia hanya boleh menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia sekiranya kerajaan dapat menyatukan masyarakat majmuk pelbagai kaum, agama, dan kawasan dalam negara.