Seruan kepada semua pengundi di Sabah, Sarawak, dan Semenanjung untuk mencipta keajaiban politik kedua dalam Pilihan Raya Umum ke-15 untuk menunjukkan beza di antara kita sebagai pengundi Malaysia dan Najib Razak
Saya kini berusia 81 tahun dan buat pertama kali dalam 53 tahun yang lepas sejak Pilihan Raya Umum 1969, tidak menjadi seorang calon. Tetapi saya terus sibuk, malah mungkin lebih sibuk dari seorang calon, bergerak ke seluruh negara untuk menggesa rakyat Malaysia, baik yang muda, pertengahan usia, atau tua, untuk terus berjuang demi sebuah Malaysia yang lebih baik.
Saya telah ke Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor, Pahang, Melaka, dan Johor dalam sembilan hari sejak Hari Penamaan pada 5 November 2022.
Kita mungkin berundur dari barisan hadapan ke belakang kerana usia tua, tetapi kita tidak boleh berputus asa dan perlu terus berjuang untuk sebuah Malaysia yang lebih baik. Saya akan tumpukan setiap titis tenaga dan kehidupan saya untuk memastikan Malaysia kembali kepada aspirasi Bapa Malaysia, untuk Malaysia menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu”.
Malaysia tidak berjaya memenuhi aspirasi ini dalam enam dekad yang lepas.
Kita gagal untuk menjadi “sinar cahaya” kepada dunia, sebaliknya menyertai menambahkan kegelapan di dunia di mana terdapatnya kezaliman, penindasan, dan korupsi. Malah, rasuah menjadi semakin teruk hari ini berbanding dengan hari-hari awal negara kita.
Kita telah jatuh, daripada sebuah negara hebat bertaraf dunia kepada sebuah negara yang biasa-biasa sahaja, dan sekiranya kita tidak mengubah nasib kita dan memilih sebuah kerajaan yang baik di Putrajaya untuk menghapuskan rasuah, salah guna kuasa, dan pengabaian kezaliman dalam negara, kita bakal menjadi sebuah negara gagal dan kelptokratik dalam 30 ke 40 tahun sebelum ulang tahun ke-100 negara.
Adakah mana-mana dari tiga calon Perdana Menteri ke-10 dari Barisan Nasional atau Perikatan Nasional – Zahid Hamidi dari UMNO/BN, Muhyiddin Yassin dari Bersatu, atau Hadi Awang dari PAS – bersetuju dan akan mengakui yang Malaysia tidak berjaya memenuhi aspirasi tokoh penubuhan negara seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, dan Tun Hussein Onn, untuk menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu”?
Tidak, ketiga-tiga mereka dari BN dan Perikatan Nasional tidak akan mengakui perkara ini, tetapi sekiranya mereka tidak berani mengakui kegagalan ini, bagaimanakah mereka hendak mengubah Malaysia untuk menjadi hebat sekali lagi?
Hanya calon Perdana Menteri ke-10 dari Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim, yang mengakui dan melihat bahawa selepas enam dekad, Malaysia telah tersasar dari jangkaan kita dan kita perlu segera hentikan kemerosotan ini sekiranya kita tidak mahu menjadi sebuah negara gagal dan kleptokratik dalam 30 ke 40 tahun yang akan datang.
Kerana inilah Pilihan Raya Umum ke-15 untuk memilih kerajaan yang baik di Putrajaya ini amat penting, begitu juga untuk mengangkat Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.
Semasa saya melawat Sandakan sebelum Hari Penamaan Calon, saya telah bertanya orang Sabah, dan juga orang di Malaysia, dua persoalan: Adakah Malaysia boleh diselamatkan dan berbaloi untuk diselamatkan.
Saya percaya Malaysia masih boleh diselamatkan dan mesti diselamatkan, tetapi kita perlu mulakan usaha ini secepat mungkin dalam Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022.
Marilah kita semua sebagai rakyat Malaysia, sama ada di dalam negara atau di luar negara dalam Diaspora Malaysia di seluruh dunia, menyelamatkan negara kita yang tercinta ini, tetapi usaha ini perlu bermula dengan Hari Mengundi dengan Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022.