Seruan kepada semua pengundi di Sabah, Sarawak, dan Semenanjung untuk mencipta keajaiban politik kedua dalam Pilihan Raya Umum ke-15 untuk menunjukkan beza di antara kita sebagai pengundi Malaysia dan Najib Razak

Saya menyeru kepada semua pengundi di Sabah, Sarawak, dan Semenanjung Malaysia untuk bersatu padu dan mencipta keajaiban politik kedua dalam Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022 untuk menunjukkan beza di antara pengundi Malaysia dan bekas Perdana Menteri, Najib Razak, dan untuk mengembalikan Malaysia ke arah menjadi sebuah negara majmuk hebat bertaraf dunia dalam tiga ke empat dekad yang akan datang.

Keajaiban politik yang pertama telah berlaku semasa Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 apabila para pengundi di Malaysia mengejutkan dunia dengan menamatkan hegemoni politik UMNO/Barisan Nasional.

Adakah para pengundi di Malaysia mampu untuk mewujudkan keajaiban politik kedua untuk mengangkat Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10?

Malaysia bermula sebagai salah sebuah negara terkaya di Asia, tetapi dalam enam dekad yang lepas, kita telah ditinggalkan di belakang banyak negara-negara lain – Taiwan, Singapura, Hong Kong, Korea Selatan, dan Vietnam kerana kita tidak ada kerajaan yang bagus di Putrajaya, sebaliknya, rasuah dan salah guna kuasa terus berleluasa berbanding dengan negara-negara lain sehinggalah kita dikenali sebagai sebuah kleptokrasi di seluruh dunia.

Pada tahun 1965, satu dolar Singapura bersamaan dengan satu Ringgit Malaysia. Hari ini, satu dolar Singapura bersamaan dengan RM3.39 – menunjukkan kegagalan Malaysia dalam usaha membina negara bangsa dan kerana tidak ada kerajaan yang baik di Putrajaya.

Sabah tidak boleh menjadi hebat dan bertaraf dunia melainkan Malaysia juga menjadi hebat dan bertaraf dunia. Tidak ada cara untuk Sabah lari dari akibatnya sekiranya Malaysia terus merosot menjadi sebuah negara gagal dan kleptokratik dalam 30 ke 40 tahun yang akan datang seperti Sri Lanka atau Zimbabwe.

Anwar Ibrahim, calon Perdana Menteri ke-10 Pakatan Harapan, adalah satu-satunya calon dalam PRU15 yang mampu menjadikan Malaysia hebat semula. Calon-calon lain yang bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 – Zahid Hamidi dari UMNO/Barisan Nasional, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, atau Presiden PAS Hadi Awang – hanya akan menyaksikan lebih banyak rasuah, salah guna kuasa, dan kemerosotan Malaysia sebagai sebuah negara sehinggalah Malaysia menjadi sebuah negara gagal dan kleptokratik dalam tiga ke empat dekad dari sekarang.

Semasa menjadi Perdana Menteri, Najib Razak telah membawa malu kepada Malaysia dengan skandal gergasi 1MDB dan skandal-skandal mega yang lain, meninggalkan legasi hutang 1MDB sebanyak RM40 billion yang perlu ditanggung oleh anak-anak dan cucu-cucu kita dalam tiga ke empat dekad yang akan datang, dengan martabat kita sebagai sebuah negara majmuk hebat jatuh kepada sebuah kleptokrasi di Asia Tenggara.

Kita perlu perbetulkan banyak perkara salah yang telah dilakukan oleh Najib Razak, dan kita perlu bermula dengan Pilihan Raya Umum ke-15.

Marilah kita tunjukkan kepada dunia yang kita ini berbeza dengan Najib. Najib telah menyebabkan anak-anak dan cucu-cucu menanggung hutang 1MDB yang berpuluh billion, tetapi rakyat di Sabah, Sarawak, dan Malaya pada 19 November akan mengundi untuk memulakan proses – yang akan mengambil masa 30 ke 40 tahun – untuk Malaysia kembali menjadi sebuah negara majmuk hebat bertaraf dunia!

Marilah kita tunjukkan yang kita berbeza dengan Najib.

Najib telah membebankan anak-anak dan cucu kita dengan berpuluh billion ringgit hutang 1MDB selepas mencuri daripada dana awam untuk keluarga dan kroninya, tetapi rakyat Malaysia dari Sabah, Sarawak, dan seluruh Malaysia perlu mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November untuk memulakan proses panjang untuk menyekat kemerosotan Malaysia dalam 30 ke 40 tahun yang akan datang.

Marilah semua rakyat Malaysia yang patriotik bersatu padu untuk menghentikan kemerosotan Malaysia dan memastikan Malaysia dapat menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia dalam 30 ke 40 tahun dari sekarang.

Atas sebab ini, saya gesa pengundi di Batu Sapi untuk mengundi calon DAP di kawasan parlimen ini dan menghantar Liau Fui FUi sebagai seorang Ahli Parlimen Batu Sapi pada 19 November 2022.

Lim Kit Siang Veteran DAP