Hadi memberikan semakin banyak sebab setiap hari mengenai mengapa dia tidak sesuai untuk menjadi Perdana Menteri sebuah Malaysia yang majmuk
Terdapat empat orang calon Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 – Pengerusi UMNO/Barisan Nasional, Zahid Hamidi; Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin; Presiden PAS, Hadi Awang; dan Presiden Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim.
Tidak ada calon kelima untuk Perdana Menteri ke-10 – malah bukan juga Ismail Sabri walaupun dia adalah “poster boy” UMNO/BN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 ini.
Saya tidak percaya yang Ismail Sabri sendiri merasakan yang dia akan menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 sekiranya UMNO/BN menang pilihan raya ini, melihat bagaimana Menteri-menteri UMNOnya dicantas dan tidak dicalonkan, dan kenyataan Zahid baru-baru ini yang mengatakan bahawa menjadi budi bicara Yang di Pertuan Agong untuk memutuskan siapa yang akan menjadi Perdana Menteri.
Pengundian pada Hari Mengundi, 19 November akan menentukan siapa, di antara Muhyiddin dan Hadi, yang akan menjadi pesaing utama untuk menjadi calon Perdana Menteri ke-10 Perikatan Nasional – bergantung kepada sama ada Bersatu atau PAS yang mendapat lebih banyak kerusi Parlimen.
Mengenai Gerakan pula, saya jangka semua calon mereka akan kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 ini, persoalannya adalah berapa ramai calon Gerakan yang akan kehilangan deposit mereka.
Tetapi Hadi sedang memberikan semakin banyak sebab mengapa dia tidak sesuai untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia, tak kiralah berapa banyak kerusi sekalipun dimenangi PAS pada 19 November ini.
Seorang Perdana Menteri Malaysia perlulah seorang berpegang kepada janjinya dan boleh menjadi tauladan integriti dan kejujuran. Dia tidak boleh menyebarkan penipuan dan fitnah sewenang-wenangnya.
Hadi telah menuduh DAP sebagai anti Melayu, Islam, dan Raja. Adakah dia mempunyai apa-apa bukti dan mengapa dia masih tidak menunjukkan sebarang bukti-bukti ini?
Baru-baru ini dia sering membuat serangan terhadap DAP, malah menuduh para pemimpin DAP sebagai komunis dan tidak percaya tuhan.
Dia menuduh para pemimpin Melayu yang bertanding di atas tiket DAP sebagai kononnya dipergunakan oleh DAP untuk memenangi undi Melayu-Islam.
Hadi mengatakan: “Saya bimbang kerana ramai calon Melayu dipergunakan DAP.
Bagaimanakah Hadi boleh bercita-cita untuk menjadi seorang Perdana Menteri apabila dia sewenang-wenangnya menabur fitnah dan tidak faham perkataan-perkataan mudah?
Adakah Hadi masih ingat mengenai apa yang dikatakannya dalam pilihan raya kecil Teluk Intan pada Mei 2014?
Hadi ketika itu memuji calon DAP untuk PRK Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud, kerana menjadikan DAP sebagai parti politik pilihannya walaupun seorang Melayu.
Abdul Hadi ketika itu membidas mereka yang mengkritik PAS kerana memilih untuk bekerjasama dengan DAP, mengatakan yang PAS mempunyai lebih banyak persamaan dengan DAP berbanding dengan UMNO.
Dia mengatakan: “Kita percaya Dyana berani untuk menjadi seorang calon, apatah lagi seorang calon DAP.”
Pihak lawan Dyana telah melabelnya sebagai “pengkhianat bangsa” dan tidak bersyukur kerana menyertai DAP, terutamanya memandangkan ibunya sendiri seorang ahli UMNO.
Abdul Hadi mengingatkan ahli-ahli PAS bahawa DAP telah membantu PAS semasa Barisan Nasional cuba untuk menumbangkan parti Islamis tersebut dari memerintah Kelantan semasa Darurat Kelantan 1977.
Dia mengatakan walaupun terdapat banyak perbezaan di antara DAP dan PAS, seperti mengenai apa yang halal dan haram, alkohol, khinzir, hudud, kedua-dua parti ini bersetuju bersama untuk menghapuskan perkara-perkara seperti kemiskinan, penindasan, dan rasuah.
Hadi patut memberitahu rakyat Malaysia apa yang berlaku selepas PRK Teluk Intan pada tahun 2014, di mana pimpinan PAS tiba-tiba memutuskan yang mereka mempunyai lebih banyak persamaan dengan UMNO, menyokong Najib Razak dan skandal 1MDB?
Adakah Islam mengajar pemimpinnya untuk menyebarkan fitnah dan penipuan dan untuk bekerjasama dengan mereka yang terlibat dengan rasuah?
Saya tidak rasa begitu. Seperti semua agama yang hebat, Islam menegakkan kebenaran, kebebasan, dan keadilan.
Hadi menghina kebijaksanaan dan moral pemimpin dan calon Melayu DAP dengan menuduh yang mereka dipergunakan oleh orang Cina.
Untuk makluman Hadi, dalam DAP, kita semua adalah rakyat Malaysia, walaupun pada masa yang sama kita adalah orang Melayu, Cina, India, Dayak, atau Kadazan, atau Islam, Buddha, Hindu, atau Kristian, tetapi tidak ada sesiapa yang mempergunakan sesiapa yang lain untuk kepentingan sendiri.
DAP telah melahirkan pemimpin yang melintasi garisan kaum dan agama untuk mempertahankan maruah seorang gadis Melayu bawah umur, yang dipenjara akibat usaha ini, dalam bentuk Lim Guan Eng, yang merupakan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang.
Adakah PAS telah melahirkan mana-mana pemimpin yang telah ke penjara untuk mempertahankan hak dan maruah seorang Melayu, apatah lagi melintasi garis pemisahan kaum dan agama untuk mempertahankan hak dan maruah seorang rakyat Malaysia yang berbeza kaum dan agama dengannya?
Hadi juga tidak memahami maksud “sekular”, kerana perkataan ini tidak bermakna anti-agama atau tidak bertuhan, tetapi seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, di mana Islam adalah agama rasmi persekutuan tetapi agama-agama lain dapat diamalkan dengan bebas dan aman.
Amat malang apabila Hadi cuba untuk menafsir “sekular” sebagai “menolak tuhan” atau “anti-agama” sedangkan perkara ini tidak pernah dimaksudkan sebegini di Malaysia, kerana perkataan ini melambangkan kebebasan beragama di malaysia.
Hadi menuduh pemimpin DAP sebagai “komunis”.
Saya telah menjadi Ahli Parlimen selama lebih dari 50 tahun dan menjadi Ketua Pembangkang sekira 30 tahun sebelum ini. Saya tidak pernah tahu yang saya seorang komunis. Bilakah Hadi mendapat tahu yang saya ini komunis?
Saya berminat untuk tahu apakah perkara yang tiba-tiba menjadikan saya seorang komunis selepas PRK Teluk Intan pada tahun 2014?
Cawangan Khas PDRM tidak tahu yang saya kononnya seorang komunis. Hadi tidak memaklumkan Cawangan Khas yang saya komunis dengan segala bukti-bukti yang kononnya ada?
Sekiranya tidak, Hadi telah gagal dalam tanggungjawabnya sebagai rakyat Malaysia.
Hadi berterusan mencuba untuk mencari sebab-sebab baharu untuk terus memecah belah rakyat Malaysia dan bukannya mencari titik persamaan untuk menyatukan rakyat Malaysia yang berlatar belakang pelbagai kaum, agama, budaya dan kawasan.
Adakah seorang sebegini layak untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10?