Pengembaraan seorang rakyat Malaysia patriotik dalam mengejar Impian Malaysia untuk menjadikan Malaysia salah satu negara yang terbaik di dunia
Saya berusia 81 tahun dan saya bukan seorang calon parlimen untuk Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022 ini.
Untuk pertama kali dalam 53 tahun sejak Pilihan Raya Umum 1969, saya berada di luar Pusat Penamaan Calon memandangkan hanya tiga orang sahaja dibenarkan masuk ke dalam Pusat Penamaan Calon – calon, pencadang, dan penyokong, yang mana saya bukan salah seorang dari tiga orang ini.
Saya meluangkan masa satu jam semasa tempoh penamaan ini untuk merenung kembali 57 tahun hidup saya dalam politik Malaysia, sama ada saya telah membazirkan keseluruhan hidup saya.
Di sekolah, dua perkara meninggalkan kesan mendalam kepada saya:
Pertama, kisah general Yue Fei, yang mana ibunya telah mencacah empat perkataan, jin Zhong boa guo (berkhidmat untuk negara dengan penuh kesetiaan), tetapi negara di sini merujuk kepada Malaysia dan bukannya China.
Kedua, kisah Wen Tianxhiang dan kata-kata agungnya,
人生自古誰無死 留取丹心照汗青。
Manusia, sejak dari awal zaman, semuanya telah menemui kematian; Tinggalkan hati keramat kita dalam naskhah sejarah.
Saya menonton filem ‘Soul of Nation’ sebanyak dua kali, pertama kali ketika saya di sekolah dan kali kedua ketika saya ditahan buat pertama kali di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Pusat Tahanan Muar.
Saya menonton filem ini ketika berusia 18 dan 28 tahun (memandangkan saya diundi menjadi Ahli parlimen Bandar Melaka dan ditahan di bawah ISA ketika saya berusia 28 tahun), tetapi, mengenang kembali 57 tahun hidup saya dalam politik Malaysia ketika saya kini berusia 81 tahun, kata-kata Wen Tianxiang membawa maksud yang berbeza.
Semasa kita berusia 18 atau 28 tahun, kata-kata Wen Tianxiang ini menjadi ideal dan objektif dalam kehidupan. Tetapi, apabila kita sudah mencecah usia 81 tahun, kata-kata ini menjadi kayu ukur untuk melihat sama ada kita telah membazirkan hidup kita atau menggunakannya sebaik mungkin.
Saya percaya perkara ini amat relevan untuk Pilihan Raya Umum ke-15, yang mungkin merupakan pilihan raya umum yang paling penting dan kritikal dalam sejarah Malaysia.
PRU ini mungkin peluang terakhir untuk menyelamatkan Malaysia dari terus merosot dari antara sebuah negara yang terbaik di dunia kepada negara yang biasa-biasa sahaja, dan terus merosot lagi menjadi sebuah negara gagal dan kleptokratik dalam tiga atau empat dekad yang akan datang.
Persoalan yang perlu ditanya oleh para pengundi di Melaka dan Malaysia kepada diri mereka sendiri pada Hari Mengundi, 19 November 2022 ini, adalah sama ada Malaysia masih boleh diselamatkan dan masih patut diselamatkan.
Dalam tahun-tahun awal kita, Malaysia adalah antara negara yang terbaik di dunia. Kita adalah negara Asia yang paling makmur selain Jepun, tetapi dalam enam dekad yang lepas, kita telah tersalah arah dan ditinggalkan di belakang Taiwan, Singapura, Hong Kong, Korea Selatan, dan Vietnam, dan jika kita terus berada dalam keadaan yang sama, kita bakal ditinggalkan di belakang lebih banyak negara-negara lain dalam tahun dan dekad yang akan datang.
Pada tahun 1965, satu dolar Singapura adalah bersamaan dengan satu ringgit Malaysia. Lima puluh tujuh tahun kemudian, satu dolar Singapura sudah bersamaan dengan RM3.39. Adakah perkara ini menunjukkan kejayaan atau kegagalan usaha pembinaan negara Malaysia?
Beberapa dekad yang lepas, Malaysia dilihat sebagai berada jauh di hadapan China, India, dan Indonesia dalam mempunyai kerajaan yang bagus dalam melawan rasuah. Tetapi kini China berkemungkinan mengatasi kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) sebelum tahun 2030 manakala Indonesia dan India mungkin akan mengatasi kedudukan Malaysia dalam TI-CPI sebelum 2040.
Mengapakah begini? Mengapakah rasuah dan salah guna kuasa sebegitu berleluasa di Malaysia dan tidak lama lagi akan menjadi lebih teruk berbanding di China, Indonesia, dan India?
Mengapakah Singapura boleh jadi hebat?
Salah satu sebabnya adalah rakyat Malaysia yang telah berhijrah ke Singapura kerana mereka tidak dapat mencari keadilan dan kehidupan bermaruah di Malaysia, dan mereka memilih untuk ke Singapura dan dalam berbuat demikian, menjadikan Singapura sebuah negara yang hebat.
Kita ada lebih dari sejuta rakyat Malaysia di UK, Amerika Syarikat, Kanada, Australia, dan New Zealand yang sedang membantu menjadikan negara-negara ini hebat dan bukannya Malaysia.
Inilah perjuangan PRU15 pada 19 November 2022 – untuk meletakkan sebuah kerajaan yang baik di Putrajaya untuk menjadikan Malaysia hebat semula dengan mengembalikan negara kita kepada prinsip-prinsip asas pembinaan negara – raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, integriti awam dengan rasuah minima, hormat terhadap hak asasi manusia, dan yang paling penting sekali, mengiktiraf yang Malaysia hanya boleh menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia sekiranya kerajaan dapat menyatukan masyarakat majmuk pelbagai kaum, agama, dan kawasan dalam negara.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-15, para pengundi akan menentukan sama ada kita akan dapat sebuah kerajaan yang baik di Putrajaya dan sama ada Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.
Calon-calon Perdana Menteri ke-10 yang lain adalah Zahid Hamidi dari UMNO/Barisan Nasional, dan Muhyiddin Yassin atau Hadi Awang dari Perikatan Nasional, bergantung kepada siapa di antara Bersatu dan PAS yang meraih lebih banyak kerusi parlimen dalam PRU15.
Zahid telah mengatakan dengan jelas dalam ucapannya di Perhimpunan MIC pada 10 Oktober yang agenda utama UMNO dan Barisan Nasional adalah untuk melepaskan para pemimpin UMNO dan BN dari didakwa di mahkamah atas kesalahan rasuah dan dihantar ke penjara. Biarlah para pengundi dalam PRU15 menunjukkan dengan jelas yang kita semua menolak rasuah dan mereka yang korup perlu ke penjara.
Perkara ini menjadi bukti bahawa apa-apa yang Zahid kemudiannya katakan mengenai “kestabilan” dan “kemakmuran” dalam Barisan Nasional tidak mempunyai sebarang kredibiliti, kerana sehingga hari ini, baik Zahid, UMNO, MCA, atau MIC, semuanya masih belum mengutuk dan mengecam skandal 1MDB yang telah mencemarkan nama Malaysia di seluruh dunia sebagai “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk”.
Muhyiddin adalah dalang utama konspirasi Langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan selepas 22 bulan manakala Hadi pula telah menunjukkan yang dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk menyebarkan penipuan dan fitnah – menuduh DAP sebagai kononnya anti Melayu, Islam, dan Raja, dan baru-baru ini memfitnah DAP sebagai komunis – demi kepentingan politiknya sendiri.
Zahid, Muhyiddin, dan Hadi semua tidak pernah mengakui yang Malaysia semakin lama semakin ditinggalkan di belakang lebih banyak negara, termasuklah oleh negara-negara OIC yang lain.
Hanya Anwar sahaja yang mempunyai visi dan komitmen untuk menjadikan Malaysia hebat dengan mengiktiraf dan menyatu-padukan masyarakat Malaysia pelbagai kaum, bahasa, budaya, dan agama, dengan meletakkan kerajaan yang bagus di Putrajaya, memerangi rasuah dan salah guna kuasa, dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk hebat yang bertaraf dunia.
Sekiranya kita terlepas peluang untuk menyelamatkan Malaysia dalam PRU15 ini, Malaysia akan mula merosot ke peringkat negara-negara gagal dan kleptokratik dalam tiga ke empat dekad dan kita mungkin akan memulakan Diaspora Malaysia kedua di dunia. Kita akan menerima nasib yang sama seperti Sri Lanka atau Zimbabwe.
Kerana inilah kita perlukan kadar keluar mengundi yang tinggi untuk memastikan adanya kerajaan yang baik di Putrajaya dan untuk memastikan Anwar Ibrahim dipilih sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.
Mengenang kembali, 57 tahun kehidupan saya dalam politik Malaysia terasa seperti sebuah pengembaraan seorang rakyat Malaysia yang patriotik dalam mengejar Impian Malaysia untuk menjadikan Malaysia salah satu negara yang terbaik di dunia. Tanpa mengira umur, kita perlu kerahkan setiap kudrat yang ada untuk merealisasikan Impian Malaysia untuk semua rakyat Malaysia.