UMNO/BN mahu PRU15 diadakan semasa musim tengkujuh dan banjir supaya pengundi tidak sedar kepentingan PRU15 ini
Para pemimpin UMNO/Barisan Nasional mahu Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan semasa musim tengkujuh dengan hujan lebat dan bencana banjir supaya pengundi di Malaysia tidak sedar mengenai kepentingan pilihan raya umum ini.
Ketiga-tiga ceramah saya di Bau, Stampin, dan sekarang di Bandar Kuching terjejas dengan hujan lebat, seperti mana ceramah-ceramah saya di Bintangor dan Sibu malam semalam.
Tanpa kesedaran mengenai kepentingan PRU15, Presiden UMNO/BN, Zahid Hamidi, berharap dia dapat menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 secara senyap-senyap.
Zahid adalah seorang dari empat calon Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 – tiga orang lagi calon adalah Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, Presiden PAS, Hadi Awang, dan Anwar Ibrahim, Pengerusi gabungan Pakatan Harapan yang terdiri dari PKR, DAP, Amanah, dan UPKO.
Zahid tidak bimbang mengenai perihal Malaysia terus ditinggalkan di belakang lebih banyak negara dalam enam dekad yang lepas kerana dia hanya mahukan PRU15 untuk melepaskan para pemimpin UMNO dan Barisan Nasional dari didakwa atas tuduhan rasuah di mahkamah dan dihantar ke penjara.
Muhyiddin pula adalah musuh kepada kebebasan dan demokrasi, memandangkan dialah dalang di sebalik konspirasi Langkah Sheraton yang telah menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari 2020 selepas 22 bulan mentadbir. Ketakutan terbesarnya semasa menjadi Perdana Menteri selama 17 bulan adalah undi tidak percaya di Parlimen, yang menyebabkan dia menggantung sidang Parlimen secara haram menggunakan alasan pandemik Covid-19.
Hadi Awang pula ada seorang pemimpin politik yang tidak menghormati kebenaran atau beza di antara perkara yang betul dan salah, dia berterusan menyebarkan penipuan dan fitnah yang kononnya DAP anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja dan baru-baru ini kononnya pemimpin DAP seperti saya pula “komunis”!
Menarik untuk diketahui bilakah Hadi mula mendapati yang saya ini seorang komunis.
Saya telah terlibat dalam politik di Malaysia selama 57 tahun, menjadi Ahli Parlimen di lima negeri berbeza dan menjadi Ketua Pembangkang selama 30 tahun.
Bagaimana saya sendiri tidak tahu yang saya seorang komunis tetapi Hadi tahu?
Bagaimana Hadi dapat tahu perkara yang Cawangan Khas sendiri pun tidak tahu, jika Cawangan Khas tahu, sudah tentu saya akan ditahan dan dihapuskan dari politik sejak dari dahulu lagi.
Tuduhan Hadi yang mengatakan saya seorang komunis ini mencerminkan peribadinya sebagai seorang penipu yang tidak hormat terhadap kebenaran, dan bukannya mengenai saya, kerana saya tidak pernah terkait dengan pergerakan komunis dalam 57 tahun aktiviti politik saya.
Jelas sekali, Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi Pakatan Harapan, jauh berada di hadapan Zahid, Muhyiddin, dan Hadi, jauh lebih sesuai dan layak untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.
Hanya Anwar sahaja yang mengakui yang Malaysia telah jatuh dari kedudukan sebagai salah satu negara terbaik semasa negara kita mula-mula dibentuk pada tahun 60-an kepada sebuah negara biasa-biasa yang korup, dan hanya Anwar yang mengakui bahawa kita tidak boleh membiarkan negara kita terus merosot menjadi sebuah negara gagal, sebuah kleptokrasi dan kakistokrasi, dalam tiga ke empat dekad yang akan datang.
Malaysia masih boleh dan patut diselamatkan – inilah makna sebenarnya PRU15.
Bagaimana untuk kita sampaikan mesej ini kepada semua pengundi di Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan, dalam musim tengkujuh ini?
Hujan lebat dan bencana banjir telah menghalang usaha DAP dan Pakatan Harapan untuk menjelaskan makna dan kepentingan PRU15 kepada para pengundi dalam sejarah negara.
Kami perlukan bantuan.
Saya minta semua pengundi di Malaysia untuk membantu DAP dan Pakatan Harapan untuk menjelaskan kepada semua pengundi tentang kepentingan PRU15 ini, supaya tiga ke empat dekad dari sekarang, anak-anak dan cucu-cucu kita dapat hidup dalam negara yang boleh dikira sebagai yang terbaik di dunia dan bukannya sebuah negara gagal yang merupakan sebuah kleptokrasi dan kakistokrasi.