Sarawak tidak boleh menjadi “stabil, makmur, dan cemerlang” sekiranya Malaysia menjadi sebuah negara gagal dan kleptokratik dalam 30 ke 40 tahun yang akan datang
Dalam perjalanan ke Bau, saya ternampak slogan GPS yang menyeru pengundi untuk menyokong mereka untuk memastikan Sarawak “stabil, makmur, dan cemerlang”.
Perkara ini membuat saya terfikir mengenai tahun 1976, di mana Perlembagaan Malaysia dipinda untuk menurunkan taraf Sarawak dan Sabah dari “wilayah” ke “negeri”.
Siapakah yang menyokong pindaan perlembagaan ini?
Senarai Ahli-ahli Parlimen yang menyokong dan membantah Pindaan Perlembagaan Parlimen 1976 ini ada di laman web Parlimen dan mana-mana orang yang berminat boleh melihat mereka yang menyokong Pindaan Perlembagaan 1976 ini adalah para pemimpin parti-parti komponen GPS sendiri, dan saya serta Ahli-ahli Parlimen DAP yang lain yang menentang pindaan ini.
DAP tidak pernah bersetuju Sarawak diturun taraf dari sebuah “wilayah” menjadi sebuah “negeri”.
Mengapakah parti-parti GPS bersetuju pada tahun 1976 untuk menurunkan taraf Sarawak dari sebuah “wilayah” kepada sebuah “negeri”?
Jika tidak kerana Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 yang menumbangkan hegemoni politik UMNO-BN dan membawa masuk kerajaan Pakatan Harapan – yang malangnya hanya bertahan selama 22 bulan sebelum ditumbangkan secara haram dan tidak sah melalui Langkah Sheraton – Sarawak tidak akan mendapat semula statusnya sebagai “wilayah” dan akan terus dianggap sebagai sebuah “negeri”.
Pada masa yang sama, DAP bersetuju penuh bahawa Sarawak – malah, Sabah, dan juga setiap negeri-negeri dalam Malaysia, sama ada Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka, atau Johor, patut menjadi “stabil, makmur, dan cemerlang” – tetapi perkara ini tidak mungkin berlaku sekiranya Malaysia menjadi sebuah negara gagal dan kleptokratik dan sebuah kakistokrasi.
Inilah intipati perjuangan Pilihan Raya Umum ke-15 – untuk Sarawak, Sabah, dan semua negeri-negeri dalam Malaysia boleh menjadi “stabil, makmur, dan cemerlang”, dan perkara ini tidak mungkin berlaku sekiranya Malaysia menerima nasib sebagai sebuah negara gagal seperti Sri Lanka dan Zimbabwe.
Semasa Malaysia dibentuk enam dekad yang lalu, kita adalah antara negara yang paling makmur di Asia.
Tetapi kita telah tersilap langkah dan memasuki hala tuju menjadi sebuah negara gagal, kleptokrasi, dan kakistokrasi. Kita telah ditinggalkan di belakang Taiwan, Singapura, Hong Kong, Korea Selatan, dan Vietnam. Sekiranya Malaysia berterusan dalam keadaan yang sama, kita akan ditinggalkan di belakang lebih banyak negara dalam 30 ke 40 tahun yang akan datang dan Malaysia akan menjadi sebuah negara gagal, sebuah kleptokrasi dan kakistokrasi menjelang ulang tahun ke-100 negara.
Pada tahun 1968, satu dolar Singapura bersamaan dengan satu ringgit Malaysia. Kini satu dolar Singapura bersamaan dengan RM3.39.
Perkara ini menunjukkan kegagalan Malaysia!
Apakah masalahnya dengan Malaysia?
Mudah – tidak ada kerajaan yang baik di Putrajaya. Terdapat rasuah dan salah guna kuasa yang berleluasa sehinggalah Malaysia terkenal akibat perkara ini di seluruh dunia.
PRU15 adalah untuk memilih kerajaan yang baik di Putrajaya. Setakat ini, hanya tiga gabungan politik dalam PRU15 yang boleh membentuk Kerajaan Persekutuan di Putrajaya – UMNO/Barisan Nasional, Perikatan Nasional yang dibentuk oleh Bersatu dan PAS, dan Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, DAP, Amanah, dan UPKO.
Selain dari tiga gabungan ini, tidak ada mana-mana gabungan politik lain yang mampu membentuk Kerajaan Persekutuan di Putrajaya selepas PRU15.
Adakah kita mahukan Presiden UMNO/BN, Zahid Hamidi, sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10? Zahid mengatakan pada 10 Oktober, ketika Parlimen dibubarkan, yang PRU15 adalah “ibu kepada segala pilihan raya” untuk membebaskan para pemimpin UMNO/BN dari didakwa di mahkamah akibat kesalahan rasuah dan dihantar ke penjara. Semua percakapan Zahid selepas itu mengenai kestabilan dan kemakmuran hanyalah satu helah untuk menutup agenda utama UMNO/BN dalam PRU15.
Atau adakah kita mahu Muhyiddin Yassin atau Hadi Awang sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 – bergantung kepada sama ada Bersatu atau PAS yang berjaya meraih lebih banyak kerusi dalam PRU15.
Zahid, Muhyiddin, atau Hadi semuanya tidak mampu untuk membentuk kerajaan yang baik di Putrajaya. Hanya calon Perdana Menteri Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim, sahaja mampu untuk membentuk kerajaan yang baik di Putrajaya untuk menghentikan kemerosotan Malaysia di mata dunia dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan, budaya, dan sukan supaya Sarawak, Sabah, dan semua negeri-negeri dalam Malaysia dapat menjadi “stabil, makmur, dan cemerlang”.
Kerana inilah saya menyeru para pengundi di Sarawak untuk bersatu padu dengan pengundi di Sabah dan Semenanjung Malaysia untuk keluar mengundi dan memastikan adanya kadar keluar mengundi yang tinggi dan memastikan supaya kita mendapat sebuah kerajaan yang baik di Putrajaya supaya Malaysia dapat menjadi “stabil, makmur, dan cemerlang” di mana Sarawak, Sabah, dan semua negeri-negeri di Malaysia dapat bersama-sama menjadi “stabil, makmur, dan cemerlang”!