PRU15 adalah pilihan raya umum yang paling penting dan kritikal untuk Malaysia atas empat sebab
Pilihan Raya Umum ke-15 akan menjadi pilihan raya umum yang paling penting dan kritikal dalam sejarah Malaysia atas empat sebab:
Pertama, PRU ini akan menentukan siapa yang akan membentuk Kerajaan Persekutuan di Putrajaya. Setakat ini, terdapat tiga gabungan politik yang boleh membentuk Kerajaan Persekutuan di Putrajaya selepas hari mengundi pada 19 November 2022 – UMNO/BN, Perikatan Nasional, atau Pakatan Harapan.
Semasa Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober, UMNO dan BN yakin akan dapat membentuk Kerajaan Persekutuan di Putrajaya. Tiga minggu di antara pembubaran Parlimen dan hari penamaan calon telah mengubah situasi politik, dan sejak dari Hari Penamaan Calon, UMNO-BN tidak lagi seyakin sebelum ini.
Terdapat banyak sebab untuk perkara ini, termasuklah perubahan mood politik dalam negara dengan realisasi bahawa kembalinya Kerajaan Persekutuan UMNO-BN di Putrajaya akan menyaksikan lebih banyak kes-kes rasuah dan salah guna kuasa di Malaysia.
Presiden UMNO/BN menyatakan dengan jelas yang PRU15 adalah untuk menyelamatkan pemimpin UMNO/BN dari didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah dan menyelamatkan mereka dari dipenjarakan. Semua manifesto BN mengenai kemakmuran dan kestabilan ini hanyalah untuk mengaburi mata daripada agenda untuk melepaskan pemimpin UMNO/BN, termasuklah Najib Razak sebelum dia selesai menjalani hukuman penjara 12 tahunnya dan membayar denda RM210 juta.
Kedua, PRU15 akan menentukan siapa yang menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10. Ismail Sabri digambarkan sebagai poster-boy BN dalam PRU15 tetapi dia sendiri tidak percaya yang dia akan menjadi Perdana Menteri sekiranya UMNO/BN menang.
Sekiranya Zahid Hamidi tidak menjadi calon dalam PRU15, poster-boy BN menjadi Perdana Menteri selepas kemenangan UMNO/BN ini mungkin lebih boleh dipercayai.
Apabila Zahid mengatakan yang siapa yang akan menjadi Perdana Menteri adalah budi bicara Yang di Pertuan Agong dan tidak patut dipersoalkan, perkara ini adalah indikasi jelas yang Zahid Hamidi belum berputus asa dari cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.
Selain dari Zahid, calon-calon lain untuk menjadi PM-10 adalah sama ada Muhyiddin Yassin atau Hadi Awang, bergantung kepada sama ada Bersatu atau PAS yang meraih lebih banyak kerusi parlimen dalam Perikatan Nasional pada 19 November 2022.
Muhyiddin Yassin adalah orang di sebalik konspirasi politik Langkah Sheraton yang telah menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan yang diundi secara sah dan demokratik selepas hanya 22 bulan dan menggantung sidang Parlimen atas alasan pandemik Covid-19 kerana tidak berani berhadapan dengan undi tidak percaya, sedangkan Perdana Menteri ketiga, Hussein Onn, meminta diberikan undi kepercayaan di Parlimen selepas menggantikan Razak Hussein yang meninggal dunia.
Hadi lagi teruk. Moralnya jauh lebih rendah berbanding dengan penyanyi Jamal Abdillah, yang telah memohon maaf kerana menyebarkan penipuan mengenai DAP.
Hadi masih belum memohon maaf kerana menyebarkan penipuannya terhadap DAP, yang kononnya DAP ini komunis, anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja.
Hadi hanya akan membentuk sebuah kerajaan yang penuh dengan penipu.
Akhir sekali, kita ada calon Perdana Menteri ke-10 dari Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim, yang jelas sekali berada jauh di hadapan ketiga-tiga calon yang lain.
Ketiga, Pilihan raya ini mungkin merupakan peluang terakhir untuk menghalang Malaysia dari menjadi sebuah negara gagal dan kleptokratik menjelang ulang tahun ke-100 negara dalam empat dekad.
Dalam enam dekad yang lepas, Malaysia telah terpesong dari cita-cita asal kita. Kita telah ditinggalkan di belakang Taiwan, Singapura, Hong Kong, Korea Selatan, dan Vietnam. Pada kadar sedia ada, kita bakal ditinggalkan di belakang lebih banyak negara.
Pada tahun 1965, satu dolar Singapura bersamaan dengan satu Ringgit Malaysia, tetapi 57 tahun kemudian pada bulan November 2022, satu dolar Singapura bersamaan dengan RM3.39.
China berkemungkinan akan mengatasi kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International sebelum tahun 2030, manakala Indonesia dan India dijangka mengatasi kedudukan Malaysia dalam TI-CPI dalam dekad hadapan sekiranya kita tersilap pilih dalam PRU15.
Zahid, Muhyiddin, dan Hadi akan membawa Malaysia ke masa hadapan yang gelap sebagai sebuah negara gagal dalam tiga ke empat dekad yang akan datang.
DAP dan Pakatan Harapan mahu Malaysia menjadi salah sebuah negara yang terbaik di dunia, dan inilah visi Anwar Ibrahim, bukan Zahid, Muhyiddin, atau Hadi.
Keempat, saya menyeru para pengundi di Sarawak, Sabah, dan Semenanjung Malaysia untuk mengundi demi generasi masa hadapan dan bukan hanya untuk lima tahun yang akan datang.
Tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan, kita semua menitiskan air mata, keringat, dan darah untuk tujuan yang sama – untuk memastikan anak-anak dan cucu-cucu kita mendapat kehidupan, kebebasan, keadilan, dan kemakmuran yang lebih baik.
Kita mahukan meritokrasi, keadilan, dan kebebasan di Malaysia. Marilah kita jadikan Malaysia hebat!
Mengapa patut bakat-bakat Malaysia berhijrah ke negara lain – sama ada Singapura, United Kingdom, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, atau Kanada – untuk menjadikan negara-negara ini yang lebih baik? Mereka patut boleh kekal di Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat.