Wan Junaidi adalah antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang terbaik dalam sejarah Malaysia, tidak seperti Menteri-menteri lain yang tidak berguna dalam Kabinet gergasi yang lepas
Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November 2022 akan menjadi pilihan raya umum yang paling penting dan kritikal dalam sejarah Malaysia.
Pilihan raya ini mungkin merupakan peluang terakhir untuk menghalang Malaysia dari menjadi sebuah negara gagal dan kleptokratik menjelang ulang tahun ke-100 negara dalam empat dekad, selepas gagal dalam enam dekad yang lepas untuk menjadi salah satu dari negara yang terbaik di dunia – sebaliknya menjadi negara yang biasa-biasa sahaja.
Terdapat hanya empat calon Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 yang akan ditentukan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 – Presiden UMNO/Barisan Nasional, Zahid Hamidi; Muhyiddin Yassin dari Bersatu, atau Hadi Awang dari PAS, atau calon keempat, Anwar Ibrahim dari Pakatan Harapan.
Zahid mengatakan pada hari Parlimen dibubarkan, 10 Oktober 2022, bahawa PRU15 adalah “ibu kepada segala pilihan raya” dan mahu PRU ini menyelamatkan para pemimpin UMNO dan BN dari didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah dan dihantar ke penjara. Inilah objektif utama UMNO/BN dalam PRU15 dan janji manifesto mereka adalah perkara sampingan yang tidak patut dipercayai.
Sehingga hari ini, Zahid masih belum menafikan yang dia membuat ucapan sebegini di Perhimpunan MIC pada 10 Oktober 2022. Kita mempunyai video untuk membuktikan ucapannya ini.
Muhyiddin Yassin pula adalah orang di sebalik konspirasi politik Langkah Sheraton yang telah menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan yang diundi secara sah dan demokratik selepas hanya 22 bulan dan membawa masuk dua kerajaan “pintu belakang”.
Muhyiddin datang negeri asal saya, Johor. Perdana Menteri ketiga Malaysia, Hussein Onn, juga dari Johor, meminta undi percaya terhadapnya dari Parlimen apabila Perdana Menteri kedua, Razak Hussein, meninggal dunia pada tahun 1976, tetapi Muhyiddin pula menggantung sidang Parlimen kerana takut dengan undi tidak percaya di Parlimen.
Calon ketiga untuk Perdana Menteri ke-10 Malaysia adalah Presiden PAS, Hadi Awang, jika PAS menang lebih banyak kerusi parlimen berbanding dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional. Walaupun dia adalah Presiden PAS, nilai moralnya lebih rendah berbanding dengan penyanyi Jamal Abdillah, yang berani memohon maaf secara terbuka kepada DAP kerana menyebarkan penipuan mengenai DAP, tetapi Hadi tidak berani berbuat demikian.
Calon Perdana Menteri ke-10 yang keempat pula adalah Anwar Ibrahim, yang berada jauh di hadapan Zahid, Muhyiddin, dan Hadi.
Pertamanya, Zahid, Muhyiddin, dan Hadi tidak mengakui yang dalam enam dekad yang lepas, Malaysia telah jatuh dari tempatnya sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia kepada negara kelas kedua yang biasa-biasa sahaja.
Mereka tidak dapat menjelaskan mengapa pada tahun 1965, satu dolar Singapura bersamaan dengan satu Ringgit Malaysia, tetapi 57 tahun kemudian pada bulan November 2022, satu dolar Singapura bersamaan dengan RM3.39.
Mereka juga tidak dapat menjelaskan mengapa Malaysia telah ditinggalkan di belakang Taiwan, Singapura, Hong Kong, dan Korea Selatan dari segi ekonomi, atau mengapa China berkemungkinan akan mengatasi kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International sebelum tahun 2030, manakala Indonesia dan India dijangka mengatasi kedudukan Malaysia dalam TI-CPI dalam dekad hadapan sekiranya kita tersilap pilih dalam PRU15.
Bagaimanakah mereka ini hendak menghentikan kemerosotan negara sekiranya mereka tidak berani untuk mengakui yang dalam enam dekad yang lepas, kita telah terpesong dari ke arah menjadi sebuah negara hebat ke arah menjadi sebuah negara biasa-biasa?
Zahid, Muhyiddin, dan Hadi akan membawa Malaysia ke masa hadapan yang gelap sebagai sebuah negara gagal dalam tiga ke empat dekad yang akan datang.
Atas sebab ini, saya menyeru pengundi di Sarawak, Sabah, dan Semenanjung Malaysia untuk mengundi demi generasi masa hadapan dan bukan hanya untuk lima tahun yang akan datang.
Tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan, kita semua menitiskan air mata, keringat, dan darah untuk tujuan yang sama – untuk memastikan anak-anak dan cucu-cucu kita mendapat kehidupan, kebebasan, keadilan, dan kemakmuran yang lebih baik.
Kita mahukan meritokrasi, keadilan, dan kebebasan di Malaysia. Marilah kita jadikan Malaysia hebat!
Mengapa patut bakat-bakat Malaysia berhijrah ke negara lain – sama ada Singapura, United Kingdom, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, atau Kanada – untuk menjadikan negara-negara ini yang lebih baik? Mereka patut boleh kekal di Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat.
Bukannya Malaysia tidak mempunyai bakat yang mencukupi.
Sebagai contoh, Wan Junaidi Tuanku Jaafar adalah antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas Hal Ehwal Parlimen dan Undang-undang yang terbaik dalam sejarah negara, tidak seperti Menteri-menteri lain dalam Kabinet gergasi sebelum ini.
Saya tidak nampak sebab untuk sesiapa yang berbakat, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan, untuk tidak diberikan peluang di Malaysia.