Saya cabar Wee Ka Siong untuk membuktikan yang saya telah katakan bahawa Mahathir adalah Perdana Menteri yang paling korup atau tarik semula kenyataannya sekiranya dia tidak dapat membuktikannya

Saya cabar Presiden MCA, Wee Ka Siong, untuk membuktikan yang saya telah katakan bahawa Mahathir adalah Perdana Menteri yang paling korup atau tarik semula kenyataannya sekiranya dia tidak dapat membuktikannya.

New Straits Times melaporkan Wee mengatakan perkara berikut di Pulau Pinang semalam:

“Kita tidak patut dengar Lim. Sejak bila kita dengar Lim?

“Pada satu masa, dia umumkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri yang paling korup. Selepas itu, mereka berpelukan dan dia telah lupa apa yang dia tuduh terhadap Tun (Mahathir).

“Jadi jika anda tanya saya, DAP sentiasa tidak konsisten. Itu sahaja.”

Ka Siong menasihati saya untuk tidak bongkak dalam meramalkan peluang kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Saya minta maaf, tapi saya rasa Ka Siong disalah maklum.

Saya tidak pernah meramalkan kemenangan PH dalam PRU15, tetapi perkara ini adalah satu kemungkinan yang tidak boleh diketepikan.

Saya katakan di Pulau Pinang yang slogan “Kita Boleh” Pakatan Harapan ini mempunyai sekurang-kurangnya empat makna yang berbeza.

Pertamanya, Pakatan Harapan boleh memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 dan kembali ke Putrajaya untuk membentuk Kerajaan Persekutuan dan mengalahkan kedua-dua UMNO-Barisan Nasional dan Perikatan Nasional. Namun perkara ini bergantung kepada kadar keluar mengundi yang tinggi, kerana kadar keluar mengundi yang rendah seperti dalam Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor hanya akan memberikan manfaat kepada UMNO-MCA-MIC.

Kedua, Pakatan Harapan boleh mengangkat ketua Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.

Ketiga, kita boleh mengembalikan hak-hak Sabah dan Sarawak kepada seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963; dan

Keempat, yang paling penting sekali, kita boleh mengubah salah tadbir urus sebelum ini, di mana Malaysia telah gagal untuk memenuhi visi Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, untuk Malaysia menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu”, sebaliknya menjadi negara biasa-biasa sahaja. Supaya kita dapat bergerak ke hadapan untuk mencapai Impian Malaysia untuk menjadi salah satu negara yang terbaik di dunia, sama ada dalam bidang politik, ekonomi, kerajaan yang bersih dan jujur, pekerjaan, pendidikan, kesihatan, perumahan, budaya, atau sukan.

Adakah Ka Siong cuba mengatakan yang tidak ada peluang untuk Pakatan Harapan memenangi PRU15 dan untuk Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-10?

Adakah Ka Siong cuba mengatakan yang Malaysia memang telah ditakdirkan untuk kekal sebagai sebuah negara biasa-biasa sahaja selepas enam dekad diperintah kerajaan UMNO-MCA-MIC, yang Malaysia akan terus ditinggalkan di belakang negara-negara lain – dari segi politik demokrasi, kuasa ekonomi, piawaian pendidikan yang tinggi, dan perang terhadap rasuah – sehingga menjadi sebuah negara gagal menjelang ulang tahun ke-100 negara?

Saya bersedia untuk berjumpa dengan Ka Siong untuk memahami mengapa para pemimpin MCA tidak pernah mengecam skandal 1MDB, yang telah menyebabkan Malaysia dikenali di seluruh dunia sebagai sebuah “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk”.

Saya percaya, sekiranya tokoh penubuhan MCA dan Presiden-presiden awalnya seperti Tan Cheng Lock dan Tan Siew Sin masih hidup hari ini, mereka tidak akan mempunyai sebarang keraguan untuk mengecam skandal 1MDB – kerana perkara ini adalah salah satu perkara yang bertentangan dengan prinsip Presiden UMNO yang ketiga yang merupakan Perdana Menteri kedua, Tun Razak.

Adakah Ka Siong tidak pernah mendengar kisah Tun Razak mengenai “kolam renang” seperti yang diceritakan oleh anak bongsunya, Nazir Razak, di dalam bukunya yang bertajuk “What’s In A Name” (hal 51), di mana Nazir menulis:

“Semasa kecil, saya bersama dengan abang-abang saya pernah ke pejabat bapa kami dengan satu permintaan: kami meminta kepadanya untuk membina sebuah kolam renang di dalam perkarangan Seri Taman. Abang sulung saya, Najib, merupakan ketua rombongan ini, mengumpulkan kami semua untuk meyakinkan bapa kami, sambil berdiri di hadapan meja bapa kami di pejabatnya. Bapa saya mendengar cadangan kami ini dengan teliti dan kemudiannya dengan tenang, menolaknya. “Bagaimanakah rupanya,” beliau bertanya, sambil mengangkat keningnya, “sekiranya Perdana Menteri membelanjakan wang rakyat untuk membina sebuah kolam renang untuk keluarganya?”

Tun Razak tidak akan membelanjakan wang rakyat untuk membina kolam renang untuk keluarganya, tetapi Najib memberikan kita semua satu skandal 1MDB RM50 billion yang terkenal di seluruh dunia!

Namun, semua rakyat Malaysia masih keliru. Mengapa Ka Siong dan MCA (dan juga MIC) menyokong Najib dan skandal 1MDB?

Lim Kit Siang Veteran DAP